bab 1-mas kahwin

35
1 1.0 PENDAHULUAN Perkahwinan adalah suatu ikatan yang terbentuk antara lelaki dan perempuan yang berlandaskan syariat Islam dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam. Perkahwinan juga merupakan suatu ikatan yang teguh dan terjalin di antara lelaki dan perempuan melalui lafaz akad nikah yang sah bagi menjalani sebuah kehidupan berumah tangga iaitu sebagai suami isteri. Perkahwinan disyariatkan dalam Islam adalah bertujuan untuk melahirkan dan mengembangkan zuriat manusia dengan cara yang halal sebagai satu penyambung keturunan dan mendapatkan kesejahteraan hidup di dunia juga di akhirat kelak. Rafidah (2007) berpendapat bahawa perkahwinan adalah asas utama kepada pembinaan keluarga. Oleh sebab itulah Islam amat mengambil berat soal-soal yang berkaitan dengan perkahwinan dan memberikan tunjuk ajar dalam menjalani kehidupan berkeluarga. Para sahabat juga turut mengamalkan perkahwinan tetapi kebanyakan dalam kalangan mereka berkahwin lebih daripada seorang wanita. Justeru, kajian yang akan dijalankan adalah untuk megupas dengan lebih mendalam tentang konsep mas kahwin menurut syariat Islam. Mas kahwin merupakan suatu aspek yang sangat penting dan wajib diketahui oleh setiap individu khususnya bagi pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga. Pemberian maskahwin yang menjadi lambang keihklasan dan kasih suci dari seorang suami akan membantu mengecapi kebahagiaan hidup

Upload: ryudoyuki

Post on 19-Jun-2015

7.716 views

Category:

Documents


7 download

TRANSCRIPT

Page 1: BAB 1-Mas Kahwin

1

1.0 PENDAHULUAN

Perkahwinan adalah suatu ikatan yang terbentuk antara lelaki dan perempuan yang

berlandaskan syariat Islam dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam

Islam. Perkahwinan juga merupakan suatu ikatan yang teguh dan terjalin di antara

lelaki dan perempuan melalui lafaz akad nikah yang sah bagi menjalani sebuah

kehidupan berumah tangga iaitu sebagai suami isteri. Perkahwinan disyariatkan dalam

Islam adalah bertujuan untuk melahirkan dan mengembangkan zuriat manusia dengan

cara yang halal sebagai satu penyambung keturunan dan mendapatkan kesejahteraan

hidup di dunia juga di akhirat kelak.

Rafidah (2007) berpendapat bahawa perkahwinan adalah asas utama kepada

pembinaan keluarga. Oleh sebab itulah Islam amat mengambil berat soal-soal yang

berkaitan dengan perkahwinan dan memberikan tunjuk ajar dalam menjalani

kehidupan berkeluarga. Para sahabat juga turut mengamalkan perkahwinan tetapi

kebanyakan dalam kalangan mereka berkahwin lebih daripada seorang wanita.

Justeru, kajian yang akan dijalankan adalah untuk megupas dengan lebih

mendalam tentang konsep mas kahwin menurut syariat Islam. Mas kahwin merupakan

suatu aspek yang sangat penting dan wajib diketahui oleh setiap individu khususnya

bagi pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga. Pemberian maskahwin yang

menjadi lambang keihklasan dan kasih suci dari seorang suami akan membantu

mengecapi kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan, mendapat rahmat dan

keredhaan Allah s.w.t serta mengelakkan berlakunya perceraian rumah tangga.

Page 2: BAB 1-Mas Kahwin

2

2.0 TUJUAN KAJIAN

Kajian ini adalah bertujuan untuk mengupas dengan lebih mendalam tentang perihal

berkaitan mas kahwin dalam syariat Islam. Selain dari itu, penulis ingin mendedahkan

kepada masyarakat pentingnya mengetahui konsep mas kahwin dalam perkahwinan

bagi menjaga kemaslahatan kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri.

3.0 SKOP KAJIAN

Kajian ini lebih memfokuskan konsep mahar mas kahwin menurut syariat Islam. Di

samping itu, kajian ini juga bertujuan untuk mendedahkan kepada masyarakat Islam

khususnya, bahawa Islam tidak pernah mensyariatkan kadar minima dan maksima

bagi pemberian mas kahwin untuk sesuatu perkahwinan. Segala maklumat yang

berkaitan dengan dapatan kajian adalah diperolehi dengan membuat resensi

perpustakaan sahaja.

4.0 KAEDAH KAJIAN

Dalam kajian yang telah dilakukan ini, penulis menggunanakan kaedah kajian

keperpustakaan yang bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan

berdasarkan kepada kajian-kajian yang lepas. Kaedah keperpustakaan atau resensi

perpustakaan amat penting dalam sesuatu kajian kerana untuk mengetahui hasil

kajian-kajian yang lepas. Kajian- kajian yang lepas ini adalah berbentuk buku, ulasan

karya, data mentah, menuskrip dan lain-lain yang diambil sama ada daripada majalah,

jurnal, makalah ataupun bahan penulisan ilmiah yang lain.

Page 3: BAB 1-Mas Kahwin

3

5.0 HASIL KAJIAN

5.1 Pengenalan

Agama Islam amat mementingkan kesejahteraan dan kesyumulan hidup setiap

umatnya. Kaum wanita umpamanya amat dihargai dan diperhatikan kedudukan dan

kemuliannya dalam masyarakat. Hal ini terbukti dengan melihat sendiri pemberian

dan penetapan hak dalam agama Islam yang bertujuan untuk menjaga kemaslahatan

kaum wanita. Antara hak-hak wanita ialah seperti yang akan difokuskan dalam kajian

ini iaitu pemberian mas kahwin dalam perkahwinan. Pemberian mahar kepada kaum

wanita merupakan suatu perkara yang wajib ditunaikan oleh kaum adam yang

menginginkan isteri dalam kehidupannya. Justeru, pemberian mahar tidak boleh

dipandang remeh oleh kaum adam waima tiada penetapan kadar yang spesifik dalam

agama Islam.

5.2 Dapatan kajian

5.2.1 Definisi Mas Kahwin

Mas kahwin atau mahar adalah berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu al-sadaq,

al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-aqd

(http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/munakahat).

Manakala, menurut istilah syara’, mahar ialah merupakan satu pemberian yang

wajib diberikan oleh seorang suami kepada isterinya dengan sebab pernikahan

(Mustafa & Ali Asy-Syarbaji, 2005).

Page 4: BAB 1-Mas Kahwin

4

Menurut Akta Tafsiran undang-Undang Wilayah Persekutuan (1984) menjelaskan

bahawa mas kahwin ialah suatu pembayaran yang wajib dibayar di bawah hukum

syara’ oleh suami kepada isteri sewaktu akad perkahwinan, sama ada berupa wang

yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa sebarang

cagaran, atau berupa sesuatu yang bernilai menurut hukum syara’ (http://

www.islam.gov.my/portal).

Mas kahwin juga merupakan pemberian wang tunai atau barang yang bernilai

dan berfaedah yang wajib diberikan oleh bakal suami kepada bakal isteri dengan

sebab akad nikah (Syeikh Ghazali Abd.Rahman, 1997).

Shihabudin (2005), mas kahwin atau mahar adalah merupakan suatu hadiah

yang ikhlas oleh bakal suami kepada bakal isteri yang bertujuan untuk menyenangkan

perasaannya. Ia juga adalah hak milik mutlak seseorang isteri. Namun demikian,

dalam masa yang sama isteri boleh membebaskan seluruh mas kahwin atau

sebahagian daripadanya kepada suaminya.

Pengertian tentang mas kahwin turut dijelaskan seperti mana yang terdapat

dalam karya penulisan oleh Abd.Rahman (2003) iaitu secara etimologi mahar

membawa maksud mas kahwin. Manakala dari sudut terminologi pula, beliau

menyatakan bahawa mahar merupakan suatu pemberian yang wajib dari seorang

calon suami kepada calon isterinya. Pemberian mahar yang ditunaikan adalah sebagai

lambang ketulusan hati dan cinta kasih suami kepada isterinya. Selain itu, pemberian

mahar boleh dalam bentuk benda ataupun jasa.

Page 5: BAB 1-Mas Kahwin

5

5.2.2 Dalil-Dalil Yang Berkaitan Dengan Mas Kahwin

5.2.2.1 Dalil- Dalil Daripada Al-Quran

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu mas kahwin mereka”.

(Surah An-Nisa:4)

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia

menjadi isteri kamu), maka berikanlah mahar kepadnya (ajr) sebagai satu ketetapan

yang difardhu (diwajibkan oleh Allah s.w.t)”.

(Surah An-Nisa: 24)

Firman Allah S.W. yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kalian mempusakai wanita dengan

jalan paksa. Dan janganlah kalian menyusahkan mereka kerana hendak mengambil

kembali sebahagian dari apa yang telah kalian berikan kepadanya”.

(Surah An-Nisa: 19)

Page 6: BAB 1-Mas Kahwin

6

5.2.2.2 Dalil-Dalil Daripada Hadis Rasulullah SAW

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Hai manusia, sesungguhnya aku pernah mengizinkan kalian nikah mut’ah dengan

wanita dan Allah telah mengharamkan yang demikian itu hingga hari kiamat.

Barangsiapa mempunyai sesuatu yang ada di tangan mereka, maka hendaklah dia

membiarkannya dan janganlah kalian mengambil kembali sedikit pun dari apa (mas

kahwin) yang telah kalian berikan kepada mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sahal bin Saad r.a berkata: Seorang perempuan datang menemui Nabi SAW dan

menyatakan bahawa dia telah menyerahkan urusan dirinya kepada Allah dan Rasul-

Nya. Nabi bersabda: Aku tidak mempunyai keperluan terhadap perempuan. Seorang

lelaki berkata: Kahwinkahlah aku dengannya. Rasulullah menjawab: Berikan

kepadanya pakaian. Lelaki itu berkata: Aku tidak memilikinya. Rasulullah berkata:

Berikanlah kepadnya walau sebentuk cincin besi. Beliau memberitahu bahawa dia

juga tidak memiliki sebentuk cincin besi. Adakah engkau mempunyai al-Quran?

Lelaki itu menjawab: Ada ini dan ini. Rasulullah bersabda: Aku kahwinkan engkau

dengan perempuan ini dengan mas kahwinnya al-Quran yang ada pada engkau.

(Ar-Rabi’ bin Sibrah bin Ma’bad Al-Juhaini, Sahih Muslim)

Setelah melihat dan meneliti setiap dalil yang dikemukakan sama ada daripada

Al-Quran atau Hadis Rasulullah, maka jelaslah di sini bahawa mahar (mas kahwin)

adalah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya sewaktu

akad perkahwinan.

Page 7: BAB 1-Mas Kahwin

7

Mas kahwin dibolehkan sekalipun pemberiannya hanyalah berupa sebentuk cincin

dari besi atau dengan mengajarkan al-Quran. Islam tidak pernah meletakkan nilai atau

kadar yang sepatutnya diberikan oleh suami kepada isteri sebagai maharnya.

Selain itu, dalil-dalil yang telah dikemukakan tadi jelas menunjukkan bahawa

wanita sememangnya berhak ke atas mas kahwin yang diberikan kepadanya hatta

daripada ayahnya atau orang lain.

5.3 Pandangan Ulamak Tentang Mas Kahwin

Menurut Khoiruddin (2005) dalam hal berkaitan mas kahwin, pendapat dan

pandangan para ulamak Islam juga seringkali dirujuk untuk mengukuhkan lagi apa

yang telah di.jelaskan dalam kitab al-Quran dan Hadis Rasulullah. Di samping itu,

pandangan para ulamak amat penting unutk merujuk sesuatu hukum yang tidak

diperincikan dengan jelas dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah. Terdapat empat

mazhab yang digunapakai iaitu mazhab Shafi’i, mazhab Maliki, mazhab Hambali dan

mazhab Hanafi.

Mazhab Shafi’i, menjelaskan pemberian mas kahwin adalah sesuatu yang

wajib. Manakala sifat bagi mas kahwin tersebut hendaklah mempunyai nilai atau

sesuatu yang berharga. Walau bagaimanapun, sunat jika seorang suami memberikan

mas kahwin kepada isteri dengan jumlah yang tidak melebihi dari mas kahwin yang

pernah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada isteri-isterinya, dan mas kahwin anak

perempuannya, iaitu tidak lebih daripada lima ratus dirham. Dalam hal ini juga, Imam

Shafi’i turut menegaskan bahawa pemberian oleh suami yang berupa sepotong besi

Page 8: BAB 1-Mas Kahwin

8

atau upah mengerjakan sesuatu seperti upah menjahit boleh diterima sebagai mahar

untuk isteri.

Dalam kitab al-Muwatta’, oleh imam Maliki pula, telah menjelaskan bayaran

mas kahwin adalah berdasarkan tiga situasi yang berlainan. Pertama, mas kahwin

wajib dibayar oleh suami kepada isteri yang telah disentuhnya walaupun wanita

berkenaan menghidap penyakit kusta atau gila. Kedua, sekiranya berlaku kematian

yang melibatkan lelaki yang akan menikah, maka mas kahwin tidak perlu dibayar

kepada wanita yang akan dinikah kepadanya. Manakala yang ketiga, suami yang

belum dewasa kalau mempunyai harta, wajib memberikan mas kahwin kepada isteri

sekalipun berlaku perceraian sebelum suami sempat menyentuh isteri. Wanita tersebut

masih berstatus gadis dan berhak mendapat setengah daripada mas kahwin yang akan

dibayar.

Seterusnya, Imam Abu Hanifah dari mazhab Hanafi, menjelaskan bahawa mas

kahwin adalah suatu kewajipan tambahan dalam akad nikah yang sama statusnya

dengan pemberian nafkah. Beliau turut menegaskan mas kahwin tidak harus ada

ketika majlis akad nikah dilangsungkan. Oleh yang demikian, sekiranya sudah selesai

akad nikah, maka mas kahwin wajib dibayar oleh suami kepada isterinya.

Berbeza pula dengan pendapat daripada Imam Hambali. Menurut beliau, mas

kahwin adalah hak pertama bagi isteri yang menjadi kewajipan terhadap suami untuk

menunaikannya. Namun demikian, Hanbali menejelaskan mas kahwin tidak

semestinya ada sewaktu melakukan transaksi atau akad. Sebaliknya, suami tidak

wajib membayar selagi mana dia belum menyentuh isterinya. Oleh yang demikian,

Page 9: BAB 1-Mas Kahwin

9

pemberian mas kahwin adalah bukan pada waktu akad nikah, tetapi setelah suami

bergaul dengan isterinya.

Setelah melihat kesemua pendapat dan pandangan yang dilontarkan oleh

keempat-empat ulamak tadi, maka jelaslah bahawa wujudnya perbezaan masa untuk

melunaskan pembayaran mas kahwin dalam sesuatu perkahwinan. Namun, apa yang

pasti, mas kahwin adalah pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya

samada sewaktu akad atau selepas menyentuh isterinya.

5.4 Jenis-Jenis Mas Kahwin (Mahar)

5.4.1 Mahar Musamma

Mahar musamma ialah mahar yang disebut dengan jelas jumlah dan jenisnya dalam suatu

majlis akad nikah seperti mana yang selalu diamalkan dalam perkahwinan masyarakat kita

pada hari ini (http:// www.islam.gov.my/portal).

Abd.Rahman (2003: 92-93) menyatakan bahawa mahar musamma ialah mahar

yang sudah disebut atau dijanjikan kadar dan besarnya ketika akad nikah. Atau, mahar

yang dinyatakan kadarnya pada waktu akad nikah.

Ulama bersepakat terdapat dua cara perlaksanaan mahar musamma iaitu secara

penuh apabila suami dan isteri telah bercampur (bersenggama). Manakala cara yang

ke dua pula ialah dibayar apabila salah seorang dari suami dan isteri meninggal.

Page 10: BAB 1-Mas Kahwin

10

Para ulamak telah bersepakat menyatakan bahawa mahar musamma wajib dibayar

oleh suami kepada isteri apabila berlaku salah satu daripada perkara-perkara berikut

iaitu sama ada berlaku persetubuhan di antara suami dan isteri atau pun kematian

terhadap salah seorang daripada mereka.

Kesimpulannya, mahar musamma sememangnya wajib dibayar seluruhnya

apabila suami telah bercampur dengan isterinya walaupun pernikahan tersebut batal

disebabkan oleh isterinya adalah mahran sendiri, atau anak gadis yang disangka janda

dan hamil hasil dari pernikahan dengan suami yang terdahulu. Walau bagaimanapun,

sekiranya isteri diceraikan sebelum berlakunya persetubuhan maka mahar hanya wajib

dibayar separuh sahaja daripada jumlah yang telah dipersetujui.

5.4.2 Mahar Misil

Menurut Fatimah (1997), mahar misil adalah merupakan mahar yang ditetapkan

mengikut kesuaian dan peringkat social bagi seseorang wanita. Penetapan dan

pemberian mahar misil seperti yang dijelaskan merangkumi beberapa aspek iaitu

sama ada dari sudut kecantikan, kecerdasan, keagamaan, keperawanan, kejandaan dan

sebagainya. Selain itu, aspek keturunan juga dititikberatkan. Pemberian mahar misil

ini bertujuan untuk menjaga status wanita agar tidak berasa rndah diri di mata

saudara- saudara perempuannya.

Mahar misil juga dikenali dengan nama lainnya iaitu mahar sepadan. Mahar

sepadan ialah sejenis mahar (mas kahwin) yang diberikan oleh suami kepada isteri

yang tidak disebut jumlah dan jenisnya dalam suatu akd nikah. Sekiranya mahar misil

Page 11: BAB 1-Mas Kahwin

11

digunakan dalam suatu akad nikah, maka mahar (mas kahwin) tersebut hendaklah

diqiaskan atau disamakan dengan mahar perempuan yang setaraf dengannya dalam

kalangan ahli keluarganya sama ada adik perempuan seibu sebapa atau sebapa dan ibu

saudaranya sendiri.

Selain daripada itu, mahar misil ditentukan berdasarkan kepada beberapa

aspek seperti rupa paras, kekayaan, keagamaan, keadaan setempat, ketaqwaan,

keilmuan, kecerdasan fikiran, keluhuran budi serta status dan perkara-perkara lain

yang boleh dijadikan sebagai penilaian. Ini kerana penetapan kadar bagi mahar misil

adalah berbeza mengikut perbezaan antara sifat-sifat yang dinyatakan tadi (http://

www.islam.gov.my/portal).

Menurut Mustofa & Ali-Asy-Syarbaji, (2005) terdapat beberapa situasi yang

mewajibkan mahar misil. Antaranya ialah yang pertama akad nikah bagi sesuatu

perkahwinan menjadi rosak. Hal ini berlaku kerana salah satu daripada syarat sah

akad nikah tidak dipenuhi. Contohnya, perempuan yang dikahwini tanpa wali dan

berlaku persetubuhan selepas akad yang rosak itu. Pada masa tersebut, mahar misil

wajib dibayar kepada perempuan itu, disebabkan rosaknya akad dan kedua-dua

pasangan wajib dipisahkan.

Seterusnya yang kedua, apabila mas kahwin dibatalkan. Hal ini berlaku

apabila terjadinya perselisihan di antara suami dan isteri dalam sebutannya atau

kadarnya. Sebagai contoh, isteri menyatakan kadar mahar ialah sebanyak dua ribu,

tetapi suami pula menyatakan hanya seribu. Dalam hal ini, kedua-dua pasangan

hendaklah bersumpah, dan secara automatik mas kahwin dibatalkan dan wajib

dikenakan mahar misil.

Page 12: BAB 1-Mas Kahwin

12

Manakala yang ketiga pula ialah, apabila mas kahwin yang disebut dengan

sebutan yang merosakkan. Terdapat enam sebab yang menjadikan mas kahwin yang

disebut rosak iaitu sama ada mas kahwin yang disebut bukanlah harta yang diiktiraf

seperti babi, arak dan peralatan yang melalaikan. Seterusnya, harta yang adalah bukan

hak milik mutlak suami. Sebab yang ketiga, lelaki mengahwini dua orang perempuan

atau lebih dengan satu mas kahwin sahaja. Seterusnya, seorang wali mengahwinkan

seorang kanak-kanak dengan mahar yang terlalu tinggi dan menggunakan harta

kanak-kanak tersebut. Manakala yang kelima pula, apabila seorang perempuan

meminta walinya untuk mengahwinkannya tanpa mas kahwin. Sebab yang terakhir

ialah, suami menyatakan dalam akad supaya sebahagian daripada mahar yang

diberikan kepada isteri diserahkan kepada orang lain (Khoiruddin, 2005).

Sekiranya dilihat dengan mata kasar tanpa memahami dengan mendalam,

mungkin timbul persepsi bahawa mahar misil agak merumitkan jika dibandingkan

dengan mahar musamma. Walau bagaimanpun, setiap perkara yang telah termaktub

dalam syariat Islam pasti mengandungi alasan dan hikmah disebalik pensyariatannya.

5.5 Kadar Mas Kahwin Dalam Islam

Seperti yang telah dinyatakan dalam bab yang terdahulu, Islam tidak menetapkan dan

mensyariatkan jumlah atau kadar bagi pemberian mas kahwin dalam perkahwinan.

Tiada had minima dan maksima dalam mas kahwin. Selagi mana perkara itu boleh

dikategorikan sebagai harta atau yang boleh ditukarkan dengan harta, tetap boleh

menjadi mas kahwin sama ada sedikit atau banyak, tunai atau hutang. Selain itu,

Page 13: BAB 1-Mas Kahwin

13

perkara yang boleh mendatangkan manfaat seperti sejadah, duit seribu ringgit dan

rumah (Mustofa & Ali-Asy-Syarbaji, 2005).

Hal ini jelas dibuktikan berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan sebaliknya dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain

daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) denga harta kamu secara

bernikah….”

(An-Nisa’: 24)

Berdasarkan ayat di atas, maka jelaslah bahawa tiada penentuan kadar dalam sesuatu

mas kahwin dan merupakan harta secara mutlak (umum).

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam memberi maskahwin wanita. Sesungguhnya

jika sekiranya (berlebih-lebihan dalam membayar maskahwin itu) menjadi

penghormatan di dunia atau ketakwaan disisi Allah, nescaya Muhammad SAW

adalah lebih utama dan berhak meninggikan mahar itu daripada kamu. Baginda tidak

memberi maskahwin kepada seorang perempuan daripada isteri-isterinya dan tidak

juga memberi maskahwin kepada seorang perempuan daripada anak-anaknya

melebihi daripada dua belas uqiyyah.

(Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasaie, Ahmad dan Ibnu Majah.)

Walau bagaimanpun, adalah disunatkan kepada suami untuk memberikan mas

kahwin tidak kurang daripada sepuluh dirham, dan tidak lebih daripada lima ratus

dirham. Ini kerana, kadar yang disunatkan itu adalah bertjuan untuk mengelakkan

daripada berlakunya perselisihan pendapat.

Page 14: BAB 1-Mas Kahwin

14

Para ulamak dan fuqaha juga mempunyai pendapat dalam penentuan kadar mas

kahwin. Abd.Rahman (2003) ada menyatakan tentang pendapat dan kesepakatan

ulama dalam hal yang berkaitan. Antaranya Imam Shafie, Ahmad, Ishaq, Abu Tsaur

dan beberapa fuqaha dari Madinah dalam kalangan tabi’in menjelaskan bahawa

pemberian sesuatu mahap perkahwinan adalah tiada kadar dan batasan rendahnya.

Malah, setiap sesuatu yang mempunyai nilai dan harga dapat dijadikan sebagai mas

kahwin.

Namun begitu, terdapat sesetengah fuqaha yang lain berpendapat bahawa mas

kahwin yang diberikan mempunyai batas terendahnya. Imam Malik dan para

pengikutnya adalah contoh golongan fuqaha yang menyatakan mas kahwin yang

paling rendah dan sedikit ialah terdiri daripada satu perempat dinar emas murni, atau

perak seberat tiga dirham atau apa sahaja barang yang sama beratnya dengan jumlah

emas dan perak tadi. Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat kadar mas kahwin

yang paling rendah ialah sepuluh dirham.

Sidi (1981) menyatakan bahawa seorang wanita yang menjadi calon isteri

juga dibolehkan untuk menentukan jumlah kadar mas kahwin bagi perkahwinannya.

Ini kerana kedudukan mas kahwin dalam perkahwinan seolah-olah sebagai pengganti

dirinya yang secara rela diserahkan kepada suaminya. Penetapan kadar mas kahwin

oleh calon isteri bukanlah sesuatu yang bersifat kaku dan akhirnya boleh

memberatkan suaminya. Tambahan pula, Islam menuntut seseorang wanita yang

hendak berkahwin supaya meletakkan kadar yang rendah agar tidak membebani

suaminya. Sesungguhnya, ciri-ciri wanita solehah salah satunya ialah yang rendah

maharnya.

Page 15: BAB 1-Mas Kahwin

15

5.6 Kadar Penetapan Mas Kahwin di Malaysia

Malaysia adalah sebuah negara Islam yang sememangnya tidak akan lari

daripada mengamalkan ajaran-ajaran Islam. Segala hukum-hakam yang berkaitan

dengan syariat Islam telah digunapakai sejak dari dahulu lagi, termasuklah dalam hal

berkaitan munakahat atau nikah dan kahwin. Justeru, penyelidik ingin mendedahkan

kepada masyarakat tentang realiti bahawa, kadar mas kahwin di Malaysia adalah

ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing dan jumlahnya juga

adalah berbeza-beza.

Rajah 1.0 Kadar Mas Kahwin Bagi Anak Dara

Page 16: BAB 1-Mas Kahwin

16

Rajah 2.0 Kadar Mas Kahwin Bagi Wanita Janda

Kedua-dua rajah yang dipaparkan di atas menunjukkan statistik yang terkini

tentang kadar mas kahwin yang telah ditetapkan di Malaysia mengikut negeri masing-

masing. (http://www.bakal.pengantin.com). Bagi mengetahui kadar yang ditetapkan

secara terperinci, sila rujuk di lampiran A.

Penetapan kadar mahar atau mas kahwin bagi seluruh negeri adalah

bergantung juga sama ada wanita tersebut anak gadis atau janda. Ternyata wanita

yang masih dara dan wanita janda mempunyai kadar mahar yang berbeza.

Dalam hal ini penulis berpendapat bahawa perbezaan kadar terhadap kedua-

dua golongan tersebut mempunyai alasannya yang tersendiri. Status seseorang wanita

yang hendak dikahwini mempengaruhi kadar mas kahwin yang akan diberikan.

Seperti yang telah diterangkan dengan jelas dalam bahagian jenis- jenis mas kahwin

(mahar), ternyata salah satu daripadanya iaitu mahar misil ditetapkan berdasarkan

kepada kriteria dan ciri-ciri calon isteri. Oleh yang demikian, status anak dara ataupun

janda mempengaruhi pemberian mas kahwin yang akan diberikan oleh bakal suami.

Page 17: BAB 1-Mas Kahwin

17

5.7 Isu Berkaitan Kadar Mas Kahwin

5.7.1 Mas Kahwin Yang Berat

Isu berkaitan mas kahwin yang berat bukanlah satu perkara baru dalam kalangan

masyarakat pada masa kini. Fenomena ini bukan sahaja melanda negara kita, malah

turut terjadi di negara-negara Islam yang lain. Dalam hal ini, para fuqaha menyatakan

bahawa kebenaran untuk memperbanyakkan jumlah dan kadar mas kahwin adalah

sesuatu yang dipersoalkan. Adakah wajar jika nilai yang ditetapkan sehingga

mencecah berjuta ringgit?

Justeru itu, para fuqaha bersetuju menyatakan bahawa orang yang tidak

mempunyai kemampuan atau tidak memiliki sesuatu pun, adalah tidak dibenarkan

untuk menunaikan permintaan mas kahwin yang terlampau tinggi ini. Namun

demikian, sekiranya pihak lelaki mampu untuk memberikan mas kahwin yang telah

ditetapkan, maka hal ini pastinya akan meninggalkan kesan jangka masa panjang

dalam rumahtangga pasangan tersebut (Shihabuddin, 2005).

Sebagai contoh, setelah suami selesai membayar mas kahwin sewaktu akad

nikah dilangsungkan, maka bermulalah fasa perkongsian hidup bagi kedua-dua

pasangan. Beban yang dipikul oleh suami sewaktu menunaikan permintaan mas

kahwin yang tinggi terus-menerus dipikul olehnya. Bayangkan, suami terpaksa

berhutang keliling pinggang. Tidak cukup dengan itu, malah kedua orang tuanya turut

berkorban kerana terpaksa menggadaikan harta benda semata-mata untuk memenuhi

permintaan yang terlampau tinggi daripada pihak perempuan (Ali Hassan, 1992).

Page 18: BAB 1-Mas Kahwin

18

Situasi ini belarutan walaupun telah melayari bahtera rumahtangga. Suami mula

berubah sikap kerana memikirkan bagaimana cara untuk melangsaikan hutang yang

keliling pinggang. Dalam masa yang sama, layanan sebagai seorang suami tidak

diberikan kepada si isteri, dan berlakulah adegan bermasam muka, perselisihan faham

yang akhirnya mengundang pergaduhan dan menyebabkan perceraian. Akhirnya,

rumahtangga yang diidam-idamkan kebahagiannya sehingga ke akhir hayat terlerai

sekelip mata.

Jelaslah di sini bahawa, mas kahwin yang terlampau tinggi tidak akan

menjamin kebahagian kedua-dua belah pihak walaupun pihak isteri mendapat manfaat

daripadanya. Malah, mas kahwin yang tinggi ini juga, bukanlah satu jaminan untuk

mengikat suami. Oleh yang demikian, selaku ibu bapa kepada anak perempuan yang

hendak dinikahi, seharusnya berfikir dengan waras dan mengambil kira keadaan bakal

menantu agar tidak membebankannya dengan mas kahwin yang terlampau tinggi yang

akhirnya mengundang padah.

Keterlaluan dalam menetapkan kadar mas kahwin bukan sahaja sesuatu yang

membebankan, malah seolah-olah menggambarkan harga bagi seseorang wanita.

Mereka beranggapan bahawa meletakkan mas kahwin yang tinggi adalah lambing

kemuliaan keluarga dan keagungan wanita tersebut. Walhal, mereka langsung tidak

memikirkan apakah implikasi yang akan timbul akibat tindakan yang tidak wajar itu.

Tidak sedikit pun terlintas di fikiran mereka, untuk belas kasihan terhadap

pihak suami yang akan memikul tanggungjawab untuk menjaganya seumur hidup.

Malah, mereka tidak menyedari hakikat tindakan yang menyalahi sunnah Rasulullah

s.a.w itu, turut merosakkan masyarakat, memudaratkan diri sendiri dan terjerumus ke

Page 19: BAB 1-Mas Kahwin

19

jalan yang tidak mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t (Mustofa & Ali-Asy-

Sharbaji, 2005).

Terdapat beberapa kesan buruk yang akan menimpa masyarakat hasil daripada

keterlaluan dalam menetapkan mas kahwin ini. Antaranya ialah, para pemuda dalam

kalangan yang berpendapatan rendah dan miskin tidak mampu untuk berkahwin.

Apabila mereka tidak mampu untuk berkahwin mengikut syara’, mereka akan

terdorong untuk melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam

seperti berzina, merogol dan perkara keji yang lain. Keinginan untuk memiliki isteri

secara sah telah bertukar menjadi sesuatu yang merosakkan dirinya.

Kesan yang sama juga akan berlaku terhadap kaum wanita yang lain. Apabila

ibu bapa meletakkan mas kahwin yang tinggi dan tidak mampu dipenuhi oleh pihak

lelaki, maka terjadilah perkara yang tidak diingini. Ramai wanita menjadi andartu dan

mereka tidak memiliki teman yang boleh memenuhi tuntutan fitrahnya. Jiwa yang

kosong akan terus melanda dan menghantui mereka sehinggakan ada di antaranya

tidak dapat tidur lena. Pergolakan jiwa dan keinginan untuk merasai kasih sayang

seorang suami juga akhirnya mengundang masalah yang lain dalam kehidupannya.

Oleh yang demikian, tidak ada kebaikan dan keberkatan pun yang akan

diperolehi sekiranya tinadakan yang terlampau dalam menuntut mas kahwin dalam

perkahwinan. Malah, menetapkan mas kahwin yang terlalu tinggi adalah makruh dari

segi hukum syarak. Tetapi sekiranya direndahkan dan dipermudahkan, adalah sunat

dan akan memperoleh keberkatan dan keredhaan daripadanya.

Page 20: BAB 1-Mas Kahwin

20

6.0 Cadangan

Dalam kajian ini juga penulis akan mengutarakan beberapa cadangan dan buah fikiran

yang difikirkan dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan penetapan kadar

mas kahwin. Selain mengambil kira pendapat-pendapat oleh beberapa penulis buku

yang terkenal, ada juga pendapat yang dicadangkan oleh penulis sendiri. Antara

cadangan-cadangan yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut:

6.1 Mengadakan Mesyuarat

Penulis berpendapat supaya pihak kerajaan khususnya Jabatan Agama Islam haruslah

mengadakan mesyuarat bagi membincangkan tentang penetapkan kadar mas kahwin

bagi seluruh negeri di Malaysia. Dengan adanya mesyuarat dan perbincangan yang

dilakukan, kata sepakat dapat dicapai dalam menentukan kadar mas kahwin yang

sewajarnya setelah mengambil kira aspek-aspek yang berkaitan.

6.2 Ibu Bapa Ubah Gaya Pemikiran Dan Prinsip

Selain dari itu, penulis mencadangkan agar ibu bapa hendaklah mengubah gaya

pemikiran dan prinsip yang telah diwarisi dan diamalkan sejak turun-temurun. Prinsip

tidak mahu kalah dengan orang lain sehingga menuntut kadar mas kahwin terlampau

tinggi seharusnya dikikis kerana tindakan tersebut membebankan pihak lelaki. Sudah

tiba masanya untuk ibu bapa mengubah gaya pemikiran yang sedimikian kepada

pemikiran yang lebih rasional sejajar dengan tahap pendidikan yang dimiliki adalah

perlu bagi menjamin kesejahteraan dan kebahagian rumahtangga anak- anak mereka

kelak.

Page 21: BAB 1-Mas Kahwin

21

6.3 Memahami Status Mas Kahwin

Seterusnya menurut Khoiruddin (2005) untuk mengetahui status mas kahwin dalam

Islam, terdapat dua perkara yang perlu difahami terlebih dahulu. Antaranya ialah asal

usul mas kahwin dan amalan tradisi masyarakat Arab pra- Islam tentang perkahwinan.

Dengan mengambil kira kedua-dua perkara yang dinyatakan, secara tidak langsung

umat Islam akan faham tentang status mas kahwin dalam Islam. Selain itu, kesedaran

akan timbul dalam diri mereka bahawa betapa perlunya untuk meletakkan mas kahwin

yang rendah.

6.4 Pendedahan Tentang Konsep Mas Kahwin Menurut Islam

Penulis juga turut mencadangkan supaya pihak Jabatan Agama Islam memberikan

pendedahan dan penekanan yang lebih tentang konsep mas kahwin menurut Islam

terutamanya sewaktu perlaksanaan Kursus Pra Perkahwinan. Seperti yang telah

diketahui umum, setiap pasangan yang hendak berkahwin wajib mengikuti Kursus Pra

Perkahwinan terlebih dahulu. Tindakan ini akan membuka mata dan minda kaum

wanita khususnya tentang perlunya bertolak-ansur dengan kaum lelaki.

6.5 Kadar Mas Kahwin Menjadi Kadar Yang Minima

Manakala cadangan yang terakhir menurut Musa (2009) mencadangkan supaya kadar

mas kahwin yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia sewajarnya dijadikan sebagai

kadar minimum sesuatu mas kahwin. Sekiranya kedua belah pihak bersetuju

memberikan lebih dari kadar minimum yang ditetapkan tersebut, terpulanglah kepada

mereka kerana agama Islam tidak pernah menghalang untuk berbuat demikian asalkan

dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Page 22: BAB 1-Mas Kahwin

22

7.0 Rumusan Kajian

Secara keseluruhannya, penulis dapat menyimpulkan bahawa objektif kajian telah

tercapai di mana pendedahan tentang konsep mas kahwin menurut syariat Islam

kepada khalayak. Selain itu, kajian ini menimbulkan kesedaran dalam masyarakat

untuk memahami tentang betapa pentingnya mengetahui konsep mas kahwin menurut

ketetapan syariat Islam.

8.0 Penutup

Kajian ini telah membincangkan tentang tujuan, skop, kaedah dan hasil kajian yang

diperolehi daripada resansi perpustakaan. Selain itu, beberapa cadangan untuk

penambahbaikkan turut dimuatkan. Dengan ini juga, objektif kajian juga telah

tercapai.

Berdasarkan kepada resensi perpustakaan yang dijalankan, ternyata mas

kahwin atau mahar adalah merupakan sesuatu pemberian yang ikhlas dan suci yang

ditunaikan oleh suami kepada isterinya. Selain itu pemberian mas kahwin menjadi

lambang kasih sayang serta tanda bahawa sesungguhnya suami sanggup menerima

isteri sebagai suri seumur hidupnya.

Justeru, keterlampauan dan berlebih-lebihan dalam menetapkan kadar mas

kahwin bagi sesuatu perkahwinan seharusnya dielakkan dan difikirkan dahulu

sebelum melaksanakannya. Banyak implikasi dan permasalahan yang akan timbul

Page 23: BAB 1-Mas Kahwin

23

sekiranya perkara ini hanya dipandang sebelah mata oleh semua pihak tidak kira

kaum wanita, ibu bapa termasuklah tampok pimpinan negara.

Mas kahwin yang terlampau tinggi dan berlebih-lebihan, bukan sekadar

menimbulkan kesan yang mendalam kepada kaum lelaki, malah turut mendatangkan

implikasi yanhg negatif kepada kaum wanita, meruntuhkan institusi kekeluargaan,

merosakkan kesejahteraan dan struktur masyarakat, menjejaskan agama dan negara.

Oleh yang demikian, sebagai orang Muslim, seharusnya kita menjadikan al-

Quran dan al-Sunnah sebagai panduan dan rujukan seumur hidup agar segala tindakan

yang hendak kita laksanakan akan sentiasa mengikut landasan yang betul. Agama

Islam telah menetapkan garis panduan yang cantik dan teratur untuk mencorakkan

kehidupan yang berlandaskan syariat Islam selain mendapat keberkatan dan

keredhaan daripada Allah S.W.T.

Page 24: BAB 1-Mas Kahwin

24

9.0 Rujukan

Al-Quran dan terjemahannya. 2002. (An-Nisa’:4,19 & 24) Damsyik: Darul Makrifah

Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Shafie. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Abd.Rahman Ghazaly. 2003. Fiqh Munakahat. Jakarta: Prenada Media.

Ali Hassan. 1992. Munakahat Membahas Soal-Soal Perkahwinan & Rumahtangga. Kuala Lumpur: Penerbitan Kintan Sdn.Bhd.

Fatimah Omar. 1997. Soal- Jawab Bakal Pengantin Khusus Untuk Wanita. KualaLumpur: Al-Hidayah Publisher.

Ghazali Abd.Rahman. 1997. Memasuki Gerbang Perkahwinan. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Khoiruddin Nasution. 2004. Hukum Perkahwinan 1. Yogjakarta: Academia + Tazzafa.

Mustofa Al-Khin & Mustofa Al-Bugho. 2005. Kitab Fikah Mazhab Shafie. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mohamad Ilyas Asy-Syibli. 1997. 30 Rahsia Wanita- Syurga Dunia & Akhirat. Selangor: Pustaka Ilmi.

Page 25: BAB 1-Mas Kahwin

25

Rafidah Sitam. 2007. Kursus Pra Perkahwinan: Sejauh Manakah Pasangan Yang Telah Berkahwin Mempraktikkannya Ke Arah Pembentukan Keluarga Bahagia. Latihan Ilmiah Diploma, Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak.

Sidi Ghazalba. 1981. Di ambang Pintu Perkahwinan. Kuala Lumpur: PenerbitanPustaka Antara.

Shihabudin, A.M.P. 2005. Gerbang Perkahwinan. Kuala Lumpu: Jasmin Enterprise.

Joe. 2010. Erti Mas Kahwin dan Kadar Mas Kahwin Seluruh Malaysia. http://www bakalpengantin.com.html [26 Mei 2010].

Musa Awang. 2009. Kadar Minimum Mas Kahwin Wajar Diselaraskan. http://www .peguamsyarie.com [26 Mei 2010].

2010. Mahar .Menurut Perspektif Islam. http://www.islam.gov.my [26 Mei 2010].