arphan_alboga hebat!

Upload: qweetzpiqut90

Post on 05-Apr-2018

270 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    1/19

    LAPORAN KAJIAN TINDAKAN

    SI KAYA ARPHAN DAN SI MISKIN ALBOGA:

    KAEDAH MENGINGAT UNSUR-UNSUR BAHAN SEMIKONDUKTOR

    JENIS-N DAN JENIS-P BAGI KELAS 4 PKEE

    Oleh:

    Idham Bin Hussin

    Sekolah Menengah Teknik Tawau,

    91000 Tawau

    Abstrak

    Kajian ini dijalankan untuk membantu murid-murid yang mengambil

    mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik

    untuk mengingati unsur-unsur yang digunakan dalam pembentukan

    bahan semikonduktor jenis-N dan semikonduktor jenis-P dalam

    topik Semikonduktor di Tingkatan 4. Kajian ini melibatkan seorang

    guru dan 18 orang murid dari kelas 4PKEE1 di Sekolah Menengah

    Teknik Tawau, Sabah. Kajian ini diilhamkan daripada pemerhatian

    dan pengalaman guru mengajar dalam kelas yang mendapati

    murid menghadapi masalah yang dinyatakan. Hasil Ujian Pra yang

    dijalankan ke atas murid dalam topik berkaitan, mengesahkan

    tanggapan guru. Murid sukar mengingat kesemua unsur yang

    didopkan dengan unsur semikonduktor Silikon dan Germanium

    bagi menghasilkan kedua-dua jenis semikonduktor tersebut. Teknik

    yang digunakan sebagai intervensi dalam kajian ini adalah SI

    KAYA ARPHAN DAN SI MISKIN ALBOGA, yang mengaplikasikan

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    2/19

    kod mnemonik, iaitu teknik yang biasa digunakan oleh guru-guru, di

    samping menggabungkannya dengan kaedah pengisahan atau

    penceritaan bagi memudahkan murid mengingat ciri-ciri penting

    lain semasa pembentukan bahan semikonduktor tersebut. Kajian

    ini memakan masa selama 12 minggu. Penggunaan kaedah ini

    didapati mampu meningkatkan ingatan dan kefahaman murid

    berdasarkan pencapaian mereka dalam Ujian Pasca yang

    diberikan.

    1.0 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu

    Apabila saya mengajar topik Semikonduktor dalam mata pelajaran Pengajian

    Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Tingkatan 4, saya dapati teori-teori yang perlu

    diajar kepada murid adalah mudah. Melalui soalan-soalan lisan yang diajukan guru

    selepas proses P&P, biasanya murid dapat memahami dan menerangkan semula

    konsep-konsep yang telah dipelajari.

    Sejurus selepas proses P&P, biasanya murid dapat mengingat proses-proses yang

    terlibat dalam pembentukan bahan semikonduktor jenis-N dan semikonduktor jenis-

    P dengan mudah, seperti pendopan (penggabungan) unsur-unsur penderma

    elektron (donor) dan unsur-unsur penerima elektron (acceptor) ke dalam unsur

    semikonduktor tulen iaitu Silikon atau Germanium.

    Masalah mula timbul apabila saya mengimbas kembali topik berkenaan pada sesi

    P&P berikutnya atau pada minggu selepasnya. Saya dapati murid sukar mengingat

    unsur-unsur penderma dan penerima elektron yang terlibat. Hal ini berlaku mungkin

    disebabkan bilangan unsur yang terlibat adalah banyak iaitu sebanyak 8 hingga 10

    unsur berlainan. Sehubungan dengan itu mereka hanya meneka-neka sahaja

    pasangan unsur berkenaan dan tidak pasti dengan jawapan mereka.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    3/19

    Saya bertambah kecewa apabila ramai murid yang gagal menjawab soalan

    berkaitan topik ini disebabkan mereka gagal mengingati pasangan unsur yang betul

    dalam pembentukan semikonduktor jenis-N dan jenis-P, sedangkan kemahiran

    mengingat adalah aras kemahiran belajar yang paling rendah.

    Pengalaman dari tahun-tahun lepas juga menunjukkan bahawa masalah ini tetap

    berulang dalam kalangan murid dari setahun ke setahun.

    2.0 Isu Keprihatinan

    Situasi yang berlaku telah menimbulkan rasa sedih bercampur kecewa dalam diri

    saya. Tanggungjawab utama saya sebagai guru untuk mengajar ilmu dan memberi

    kefahaman kepada murid seolah-olah telah gagal saya laksanakan. Sememangnya

    subjek PKEE adalah suatu subjek yang agak sukar dan banyak menggunakan logik.

    Banyak hukum, teorem, konsep dan formula yang perlu diingat dan dipelajari.

    Justeru, saya telah berusaha menggunakan bahasa yang semudah mungkin untuk

    menerangkan sesuatu konsep atau hukum kepada murid, supaya mereka mudah

    memahaminya. Memang mereka ingat dan faham semasa di kelas, tetapi

    malangnya ingatan dan kefahaman ini hanya bertahan sehari dua sahaja. Selepas

    itu ianya hilang tanpa bekas!

    Saya sedar saya perlu berbuat sesuatu. Jika masalah ini tidak dapat diatasi, murid

    mungkin menghadapi risiko kehilangan 3 hingga 5 markah dalam Kertas 1, dan

    kehilangan 5 hingga 10 markah dalam Kertas 2 subjek PKEE di peringkat SPM.

    Memarahi atau menasihati mereka tidak banyak membantu sebab guru-guru lain

    pun lebih banyak memarahi dan menasihati mereka. Murid-murid ini memerlukan

    suatu panduan atau kaedah yang mudah dan praktikal yang dapat mereka

    aplikasikan.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    4/19

    Oleh yang demikian, kajian tindakan ini khusus saya buat dengan tujuan untuk

    membantu murid supaya dapat mengingat unsur-unsur yang terlibat dalam

    pembentukan bahan semikonduktor jenis-N dan jenis-P. Seterusnya saya harapkan

    hasil kajian ini akan dapat pula membantu mereka membuat lakaran dan

    menerangkan dengan lebih terperinci proses-proses yang terlibat, seperti

    pembentukan ikatan kovalen antara atom. Jadi mereka tidak akan kehilangan

    markah yang sangat penting dalam peperiksaan, terutamanya SPM. Hal ini akan

    membantu murid memperoleh markah yang baik jika topik ini keluar dalam

    peperiksaan.

    3.0 Objektif Kajian

    3.1 Objektif Am

    Tujuan kajian ini adalah untuk meningkatkan kefahaman dan ingatan murid

    terhadap unsur campuran yang membentuk semikonduktor jenis-N dan

    semikonduktor jenis-P.

    3.2 Objektif Khusus

    (i) Meningkatkan kemahiran murid dalam mengingat fakta dan proses yang

    terlibat dalam penghasilan bahan semikonduktor dengan tepat.

    (ii) Mempelbagaikan teknik P&P guru agar dapat membantu menarik minat dan

    meningkatkan kefahaman murid.

    (iii) Membantu meningkatkan pencapaian murid dalam peperiksaan dalaman

    sekolah dan juga peperiksaan SPM.

    (iv) Memberi idea kepada murid agar dapat mengubahsuai serta

    mengaplikasikan teknik yang serupa untuk mengingat isi-isi penting dalam

    subjek-subjek lain.

    (v) Mengubah persepsi murid yang menganggap subjek PKEE ini sukar

    dipelajari dan dikuasai.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    5/19

    4.0 Kumpulan Sasaran

    Kajian ini melibatkan 18 orang murid kelas 4PKEE1 yang terdiri daripada 15 orang

    murid lelaki dan 3 orang murid perempuan.

    5.0 Pelaksanaan Kajian

    5.1 Topik Semikonduktor Diajar di Kelas dengan Kaedah Biasa

    Langkah 1

    Guru menerangkan teori semikonduktor kepada murid. Murid harus diberi

    penerangan supaya mereka dapat memahami konsep :

    (i) Elektron valens.

    (ii) Unsur semikonduktor tulen, Silikon dan Germanium, mempunyai 4 elektron

    valens.

    (iii) Untuk stabil, atom unsur perlu mempunyai 8 elektron valens (struktur oktet).

    (iv) Untuk stabil, atom-atom unsur semikonduktor perlu bekerjasama sesama

    sendiri dengan berkongsi elektron valens dengan atom-atom jiran bagi

    membentuk struktur oktet.

    (v) Perkongsian elektron valens ini membentuk ikatan kovalen antara atom.

    (Lihat Rajah 1)

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    6/19

    Rajah 1: Pembentukan Ikatan Kovalen antara Atom Semikonduktor Tulen

    Langkah 2

    Guru menerangkan proses pembentukan semikonduktor jenis-N, iaitu pendopan

    (penggabungan) atom pentavalens yang mempunyai 5 elektron valens seperti

    Arsenik dengan semikonduktor tulen Silikon atau Germanium. Elektron bebas

    (bercas negatif) yang terhasil berasal dari atom Arsenik. Oleh itu Arsenik dikatakan

    sebagai atom penderma. Selain Arsenik, atom pentavalens lain seperti Phosphorus

    dan Antimoni juga akan menghasilkan kesan yang sama. (Lihat Rajah 2)

    Semikonduktor jenis-N

    N Negatif

    Rajah 2: Pembentukan Semikonduktor Jenis-N.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    7/19

    zLangkah 3

    Guru menerangkan proses pembentukan semikonduktor jenis P, iaitu pendopan

    atom trivalens yang mempunyai 3 elektron valens seperti Aluminium ke dalam

    Silikon atau Germanium. Lubang (bercas positif) yang terhasil disebabkan atom

    Aluminium yang kekurangan 1 elektron untuk mencapai struktur oktet bila

    bergabung dengan 4 atom Silikon. Oleh itu Aluminium dikatakan sebagai atom

    penerima. Selain Aluminium, atom trivalens lain seperti Boron dan Galium juga akan

    menghasilkan kesan yang sama. (Lihat Rajah 3)

    Semikonduktor jenis - P

    P Positif

    Rajah 3: Pembentukan Semikonduktor Jenis-P.

    Refleksi untuk Langkah 1 3

    Semasa mengajar tajuk ini di kelas, P&P berjalan lancar. Isi pelajaran adalah

    straight forward dan mudah diikuti murid. Murid kurang bertanya dan kelihatan

    seperti mereka dapat memahami isi pelajaran yang diajar. Pertanyaan guru

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    8/19

    sepanjang tempoh pengajaran ada yang dapat dijawab dengan betul dan ada yang

    salah tetapi dapat dibetulkan oleh murid-murid lain. Selepas diulangi dua, tiga kali

    dengan menggunakan kombinasi atom-atom yang berlainan, murid dapat

    menentukan jenis semikonduktor yang dihasilkan.

    5.2 Tinjauan Masalah Sebelum Intervensi Dilakukan

    Tinjauan masalah sebelum pelaksanaan intervensi diperoleh daripada pemerhatian

    guru terhadap tingkah laku murid semasa sesi P&P, respons murid terhadap soalan

    guru serta Ujian Pra yang dilakukan seminggu selepas topik kajian diajar kepada

    murid.

    5.2.1 Pemerhatian

    Sebelum intervensi, tingkah laku murid semasa sesi P&P adalah pelbagai. Ada

    yang fokus dan ada yang tidak. Ada pula yang kelihatan takut-takut dan kurang

    keyakinan. Murid yang duduk di bahagian hadapan kelas lebih memberi perhatian,

    mungkin kerana berada dekat dengan guru.

    5.2.2 Pertanyaan Lisan

    Murid bersikap pasif dan kurang bertanya semasa guru membuat penerangan.

    Respons terhadap soalan guru juga lambat dan mereka ragu-ragu dengan jawapan

    yang diberi. Murid kurang keyakinan diri.

    5.2.3 Ujian Pra

    Keputusan Ujian Pra kurang memberangsangkan. Terdapat 10 daripada 18 orang

    murid telah mendapat pangkat D ke bawah. Analisis Keputusan Ujian Pra dapat

    dilihat dari Jadual 1.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    9/19

    Jadual 1 : Keputusan Ujian Pra

    GRED BILANGAN MURID

    A (27 30) 4

    B (24 26) 2

    C (21 23) 2

    D (18 20) 5

    E ( 15 17) 1

    GAGAL (0 14) 1

    TIDAK HADIR 3

    JUMLAH 18

    Refleksi Bagi Ujian Pra

    Berdasarkan pemerhatian guru dan keputusan Ujian Pra, dapat disimpulkan

    bahawa kadar pemahaman murid terhadap isi pelajaran di kelas adalah sederhana.

    Ada yang dapat mengikuti pelajaran sepenuhnya, ada yang tidak. Walaupun dapat

    mengingat dengan baik pada mulanya tetapi ingatan mereka terhadap isi pelajaran

    semakin berkurangan. Keadaan ini amat mengecewakan. Walaupun terdapat

    sebilangan kecil murid (6 orang yang mendapat gred A dan B) yang memahami isi

    pelajaran serta dapat mengingati proses dan nama-nama unsur yang terlibat,

    namun secara keseluruhannya sebahagian besar murid sudah lupa. Jadi mereka

    menjawab soalan Ujian Pra ini mengikut gerak hati dan meneka semata-mata.

    Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    10/19

    5.3 Intervensi: Memperkenalkan Teknik Si Kaya Arphan dan Si Miskin

    Alboga

    Langkah 1

    Guru menerangkan semula teori semikonduktor kepada murid tentang

    pembentukan semikonduktor jenis-N dan semikonduktor jenis-P.

    Langkah 2

    Guru menerangkan penggunaan teknik Si Kaya Arphan dan Si Miskin Alboga

    kepada murid.

    ARPHAN adalah kod mnemonik (kod senang ingat) bagi unsur-unsur yang

    mempunyai 5 elektron valens (pentavalens):

    AR = ARSENIK

    PH = PHOSPHORUS

    AN = ANTIMONI

    ALBOGA pula adalah kod mnemonik bagi unsur-unsur yang mempunyai 3

    elektron valens (trivalens):

    AR = ALUMINIUM

    BO = BORON

    GA = GALIUM

    Teknik mnemonik adalah teknik yang biasa digunakan secara meluas oleh guru di

    pelbagai peringkat untuk memudahkan murid mengingat nama-nama dan membuat

    pengelasan. Teknik ini memang amat berkesan jika selalu dilakukan pengukuhan

    dari semasa ke semasa. Keberkesanannya bergantung kepada penggunaan

    akronim yang menarik dan unik, yang dapat merangsang daya ingatan murid.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    11/19

    Untuk menambahkan informasi yang dapat diingat dan dikaitkan dengan teknik ini,

    saya menggunakan kaedah pengisahan atau penceritaan. Tujuannya supaya kita

    dapat mengambil maklumat lain yang penting dalam proses pembentukan bahan

    semikonduktor jenis-N dan jenis-P selain dapat mengingat nama-nama unsur yang

    terlibat dengan tepat. Di sinilah saya perkenalkan watak Si Kaya dan Si Miskin

    ini.

    Ungkapan kata sifat Kaya dan Miskin yang dikaitkan dengan Si Arphan dan Si

    Alboga membawa maksud-maksud yang dinyatakan dalam Jadual 2.

    Jadual 2: Perbandingan antara Si Kaya dan Si Miskin

    CIRI-CIRI ARPHAN KAYA ALBOGA MISKIN

    Bil. Elektron valens5

    ( Pentavalens )3

    ( Trivalens)

    Peranan dalam pendopan

    dengan semikonduktor tulenAtom penderma Atom penerima

    Hasil pendopan Elektron bebas Lubang

    Jenis cas Negatif Positif

    Semikonduktor yang terhasil Jenis-N Jenis-P

    Refleksi Selepas Intervensi

    Selepas intervensi diajarkan kepada murid, mereka nampak bersemangat dan

    bersungguh-sungguh mengingat nama kawan-kawan baru mereka Si Arphan dan

    Si Alboga. Mereka kelihatannya ceria menyebut-nyebut dan mengulang-ulang

    nama-nama itu di samping mengenal sifat dan ciri-ciri setiap satunya.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    12/19

    5.4 Tinjauan Masalah Selepas Intervensi Dilakukan

    Tinjauan masalah selepas pelaksanaan intervensi dibuat dari pemerhatian guru

    terhadap tingkah laku murid semasa sesi P&P, juga respons murid terhadap soalan

    lisan yang guru kemukakan semasa dan di akhir sesi P&P serta Ujian Pasca 1 yang

    dilakukan seminggu setelah intervensi dijalankan.

    5.4.1 Pemerhatian

    Selepas intervensi, suasana kelas semasa sesi P&P agak ceria. Murid berani

    bertanya kepada guru terhadap isi pengajaran yang kurang difahami.

    5.4.2 Pertanyaan Lisan

    Murid memberikan respons yang baik terhadap soalan yang guru kemukakan.

    Suara mereka menjawab pun lebih nyaring dan penuh yakin. Pertanyaan-

    pertanyaan lisan oleh guru dapat mereka jawab dengan cepat dan betul. Ada juga

    yang menjawab dengan agak lambat tetapi jawapan mereka betul.

    5.4.3 Ujian Pasca 1

    Ujian Pasca 1 yang dilakukan seminggu selepas intervensi menunjukkan

    peningkatan yang ketara dari segi kualiti murid yang mendapat gred A. Malangnya

    terdapat juga penurunan gred yang ketara ke atas 5 orang murid sementara

    seorang murid mengalami sedikit peningkatan (1 markah) tetapi tidak mengubah

    kualitinya (Gred E). Keputusan Ujian Pasca 1 dan perbandingannya dengan Ujian

    Pra dapat dilihat dari Jadual 3.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    13/19

    Jadual 3: Perbandingan Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pasca 1

    GRED

    BILANGAN MURID

    PRA PASCA 1

    A (27 30) 4 10

    B (24 26) 2 -

    C (21 23) 2 1

    D (18 20) 5 -

    E ( 15 17) 1 3

    GAGAL (0 14) 1 3

    TIDAK HADIR 3 1

    JUMLAH 18 18

    Refleksi Bagi Ujian Pasca 1

    Pada awalnya, saya merancang hanya menggunakan dua ujian sahaja dalam kajian

    ini, iaitu Ujian Pra dan Ujian Pasca 1. Namun begitu keputusan Ujian Pasca 1

    menunjukkan terdapat 6 orang murid yang masih mendapat gred D ke bawah.

    Setelah dilakukan penelitian ke atas jawapan mereka, didapati terdapat 5 orang

    murid yang mengalami penurunan markah yang sangat ketara dan seorang murid

    mengalami peningkatan tetapi tidak mengubah kualitinya (Gred E). Pemeriksaan

    lanjut mendapati, ada di antara mereka yang masih belum faham dan masih

    teraba-raba menggunakan petua yang diajarkan sementara 3 orang lagi telah

    tertukar identiti antara Si Kaya dan Si Miskin. Oleh yang demikian, saya telah

    memanggil keenam-enam murid ini untuk menjalani terapi ilmu untuk kali kedua

    (Gelung ke-2). Setelah 4 hari, murid-murid berkenaan menjalani Ujian Pasca 2.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    14/19

    5.5 Gelung ke -2

    Gelung ke-2 ini adalah sesi pengukuhan ke atas keenam-enam murid yang telah

    dikenal pasti mengalami kemerosotan dalam Ujian Pasca 1 walaupun setelah teknik

    Si Kaya Arphan dan Si Miskin Alboga diajarkan kepada mereka.

    Bagi murid-murid yang tertukar identiti Si Kaya dan Si Miskin, saya bantu mereka

    dengan mengaitkan Si Arphan sahabat nabi iaitu Sayyidina Usman bin Affan yang

    terkenal kaya.

    Selain itu, untuk memudahkan mereka mengingat pendopan semikonduktor tulen

    dengan keenam-enam unsur lain tersebut, saya telah membuat satu lagi analogi

    dalam bentuk grafik seperti Rajah 4 dan Rajah 5.

    Rajah 1

    Rajah 4 : Analogi Pembentukan Semikonduktor Jenis-N

    Dari grafik dalam Rajah 4, murid akan dapat mengingat dengan mudah proses

    pendopan antara gadis cantik Si German (Silikon atau Germanium) dengan mana-

    mana unsur Si Kaya Arphan (Arsenik, Phosphorus atau Antimoni) akan

    menghasilkan semikonduktor jenis-N yang mempunyai banyak elektron bebas yang

    bercas negatif.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    15/19

    Rajah 5

    Dari grafik dalam Rajah 5 pula, murid akan dapat mengingat dengan mudah proses

    pendopan antara gadis cantik Si German (Silikon atau Germanium) dengan mana-

    mana unsur Si Miskin Alboga (Aluminium, Boron atau Galium) akan menghasilkan

    semikonduktor jenis-P yang menghasilkan banyak lubang (poket kosong) yang

    bercas positif.

    5.6 Ujian Pasca 2

    Empat hari selepas proses Gelung ke-2 dilaksanakan, keenam-enam murid yang

    terlibat telah diberikan Ujian Pasca 2 untuk mengenal pasti kemajuan mereka.

    Jadual 4 menunjukkan pencapaian keenam-enam murid berkenaan dalam Ujian

    Pra, Ujian Pasca 1 dan Ujian Pasca 2 untuk perbandingan.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    16/19

    Jadual 4: Pencapaian 6 Murid Terpilih dalam Ujian Pra,

    Ujian Pasca 1 dan Ujian Pasca 2

    MURID

    MARKAH (PER 30)

    PRA PASCA 1 PASCA 2

    1 TH 13 (G) 30 (A)

    2 21 (C) 8 (G) 30 (A)

    3 15 (E) 16 (E) 30 (A)

    4 19 (D) 9 (G) 30 (A)

    5 20 (D) 17 (E) 30 (A)

    6 25 (B) 17 (E) 29 (A)

    Refleksi bagi Ujian Pasca 2

    Saya sangat berpuas hati melihat keputusan Ujian Pasca 2 yang amat

    memberangsangkan. Keenam-enam murid berkenaan telah mendapat Gred A. Ini

    menunjukkan mereka telah dapat mengingat dengan baik isi pelajaran yang

    disampaikan. Namun begitu, saya percaya ingatan ini akan berkurangan selepas

    tempoh masa yang lama. Oleh itu pengukuhan dari semasa ke semasa perlu

    dilakukan supaya mereka tidak lupa kepada Si Kaya Arphan dan Si Miskin Alboga.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    17/19

    5.7 Refleksi Selepas Kajian

    Hasil dari pengalaman melaksanakan kajian tindakan ini dapat saya simpulkan

    sebagai berikut:

    (i) Sedikit kreativiti dalam kaedah P&P boleh membawa perubahan besar

    dalam pemahaman murid. Oleh itu guru perlu kreatif.

    (ii) Penerimaan murid terhadap pelajaran yang diajar adalah berbeza-beza.

    Oleh itu kita perlu peka terhadap kepelbagaian ini dan menyesuaikan

    kaedah P&P mengikut keadaan murid.

    (iii) Ruang penambahbaikan sentiasa ada peningkatkan kualiti dan teknik P&P.

    (iv) Kita juga belajar dari murid-murid kita. Oleh itu mereka perlu dihargai.

    (v) Kita perlu sentiasa mengambil peluang untuk peningkatan ilmu dan

    kemahiran demi memartabatkan profesionalisme pendidikan.

    (vi) Sentiasa sabar, berlapang dada dan berfikiran terbuka terhadap segala

    cabaran yang mendatang dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab

    kita sebagai guru.

    6.0 Cadangan Untuk Kajian Seterusnya

    Beberapa cadangan yang saya fikirkan baik untuk memaksimumkan manfaat yang

    boleh kita dapati dari penggunaan kaedah ini:

    (i) Galakkan murid membuat cerita sendiri untuk mengingat formula bagi

    subjek-subjek lain.

    (ii) Teknik dan kaedah ini sebenarnya boleh diguna pakai untuk subjek Fizik dan

    Elektronik (Vokasional dan SKM).

    (iii) Teknik ini juga boleh digunakan untuk menerangkan pembentukan ikatan

    kovalen bagi subjek Kimia.

    (iv) Guru boleh menerangkan kaedah ini melalui lakonan dan main peranan di

    kelas supaya ianya dapat melekat lama di kepala murid.

    (v) Setiap kali menjelang peperiksaan, guru boleh membuat ulang kaji cepat

    secara lisan tentang penggunaan kaedah tersebut.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    18/19

    7.0 Rumusan

    Kajian tindakan ini merupakan hadiah kecil yang dapat saya berikan buat anak-

    anak didik saya dalam rangka membantu mereka mengingat bahan P&P yang

    diajarkan di dalam kelas. Saya sangat bersyukur kerana telah didedahkan dengan

    kajian tindakan dalam P&P. Sememangnya saya, seperti juga guru-guru lain, telah

    menggunakan pelbagai cara, teknik, kaedah, petua dan analogi untuk membantu

    murid memahami konsep-konsep dan isi pelajaran yang diajar. Namun begitu

    semua kaedah ini tidak ditulis atau dibukukan. Justeru walaupun kaedah-kaedah ini

    amat baik dan berkesan, manfaatnya tidak dapat dikongsikan dengan orang lain.

    Dengan adanya kajian ini saya berharap ianya dapat mencetuskan lebih banyak

    idea kreatif dalam P&P serta dapat menggerakkan guru-guru lain untuk menulis dan

    berkongsi petua-petua mereka dengan guru-guru lain. Dalam persekitaran yang

    semakin canggih ini, sememangnya guru perlu bekerjasama antara satu sama lain

    menghadapi cabaran dalam dunia pendidikan. Kita perlu menyesuaikan diri dengan

    perubahan pesat yang berlaku di sekeliling kita. Terpulang pada diri kita masing-

    masing untuk mengubahsuai kaedah dan cara yang difikirkan paling sesuai dan

    berkesan bagi meningkatkan kefahaman dan pencapaian murid kita. Jika kita

    bersungguh-sungguh dan ikhlas, pasti titik peluh kita akan membuahkan hasil yang

    diharapkan. Serahkan semuanya kepada Tuhan. Semoga usaha kita diberkati dan

    dipermudahkan jalannya.

  • 8/2/2019 ARPHAN_ALBOGA hebat!

    19/19

    Bibliografi

    Mohd Isa Idris dan Kawan-kawan, 2005, Electrical and Electronics Engineering

    Studies Form 4, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

    BPTV, 2006, Electrical and Electronics Engineering Studies Software CD: Teachers

    Learning Guide 1, Kuala Lumpur.

    Kertas-kertas soalan Peperiksaan SPM tahun-tahun lepas bagi mata pelajaran

    Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Lembaga Peperiksaan

    Malaysia, Kuala Lumpur.