antologi harga remaja prosa tradisional

Upload: jayavesovalingam

Post on 09-Jan-2016

266 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

n

TRANSCRIPT

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 1 Prosa Tradisional

    MODUL KECEMERLANGAN

    BAHASA MELAYU

    SIJIL PELAJARAN MALAYSIA

    ANTOLOGI HARGA REMAJA

    (PROSA TRADISIONAL)

    TINGKATAN 4

    CIKGU SAZALI BIN IBRAHIM M.A (Bahasa Melayu) UPM

    PENOLONG KANAN PENTADBIRAN SMK LALOH, KUALA KRAI,

    KELANTAN.

    ULI SAPA LET IT

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 2 Prosa Tradisional

    PROSA TRADISIONAL HIKAYAT INDERA NATA

    Sinopsis

    Indera Jenaka tiba ke negeri Rom setelah sekian lama mengembara dan sampai ke rumah bondanya Si Batu Kembar.

    Bondanya bertanyak tentang Si Piatu. Indera Jenaka memberitahu bahawa Si Piatu itu sebenarnya ialah Indera Nata yang berani dengan segala binatang buas dan boleh bercakap dengan segala binatang.

    Indera Nata telah menyeberangi lautan dengan bantuan ular sakti ke negeri Pattani. Indera Nata juga telah menyelamatkan Indera Jenaka daripada dibaham binatang buas. Tuanku Syah Alam mengagumi Indera Nata apabila mendengar cerita daripada Indera Jenaka.

    Seterusnya, Indera Nata pergi mengembara dan ternampak sebuah bukit yang terlalu tinggi dan terdapat sebuah rumah di situ. Di sebelah rumah tersebut terdapat sebuah mahligai dan dia melihat tujuh orang puteri di dalamnya.

    Indera Nata memperkenalkan dirinya sebagai anak Raja Rom dan memberitahu tujuannya datang atas perintah ayahandanya mencari gajah bergadingkan emas.

    Puteri-puteri itu gembira dengan kedatangan Indera Nata dan memperkenalkan diri mereka yang berasal dari negara yang berlainan.

    Salah seorang puteri tersebut iaitu Tuan Puteri Cendera Kesuma memberitahu mereka telah ditawan oleh sepasang suami isteri raksasa untuk dimakan apabila mereka dewasa. Puteri Cendera Kesuma bercadang meminta pertolongan raksasa untuk mencari gajah bergading emas bagi membantu Indera Nata mendapatkan gajah itu segera.

    Apabila raksasa pulang, Indera Nata disembunyikan di dalam peti emas dan puteri-puteri itu membuat helah kepada raksasa dengan mengatakan jika hendakkan mereka cepat dewasa dan boleh dimakan hati mereka, perlulah mencari gajah bergading emas.

    Raksasa pergi ke hutan dan mencari gajah bergading emas dan secara kebetulan terserempak dengan Raja Rom yang menaiki gajah bergading emas dan pengikut-pengikutnya pergi berburu. Raksasa berasa gembira dan telah membunuh mereka semua dan membawa balik gajah bergading emas.

    Sekali lagi Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah supaya raksasa mencari kijang putih bertanduk emas dan memberikan kain hitam untuk dicuci sampai putih sebagai tanda sayang raksasa kepada mereka.

    Raksasa lelaki keluar mencari kijang putih bertanduk emas sementara raksasa perempuan pergi mencuci kain hitam supaya menjadi putih. Pada masa itulah, Indera Nata membawa ketujuh-tujuh puteri melarikan diri dengan menaiki gajah bergading emas bersama semua harta dalam mahligai itu.

    Kedua-dua raksasa itu gagal mencari kijang putih bertanduk emas dan memutihkan kain yang hitam, mereka kembali ke mahligai dan mendapati gajah bergading emas dan ketujuh-tujuh puteri telah hilang.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 3 Prosa Tradisional

    Kedua-dua raksasa terlalu marah dan segera mengikut kesan tapak kaki gajah dan akhirnya ternampak ketujuh-tujuh puteri bersama Indera Nata di atas gajah. Indera Nata dan ketujuh-tujuh puteri menangis ketakutan apabila mendengar suara raksasa sehingga sampai ke tepi pantai.

    Indera Nata meminta Betara Gangga dengan menggunakan gemala hikmat dan Betara Gangga mengarahkan ular sakti dan naga membawa Indera Nata dan ketujuh-tujuh puteri menyeberangi lautan. Ular sakti dan naga tersebut membawa mereka semua ke seberang.

    Raksasa yang tiba di tepi pantai cuba menarik Indera Nata dan ketujuh-tujuh puteri di seberang tetapi ular sakti dan naga telah menarik raksasa ke tengah laut menyebabkan kedua-dua raksasa itu mati.

    Indera Nata bersama-sama ketujuh-tujuh puteri telah berjalan selama tujuh hari tujuh malam sehingga sampai ke rumah bondanya, Tuan Puteri Cenderawati. Bondanya sangat gembira melihat kedatangan mereka.

    Indera Nata menceritakan semua peristiwa yang berlaku dan ketujuh-tujuh puteri bercerita tentang diri mereka kepada Tuan Puteri Cenderawati. Mereka semua tinggal bersama Tuan Puteri Cenderawati.

    Tema

    Pengembaraan anak raja menempuh pelbagai cabaran. Contoh; Indera Nata mengembara mencari gajah bergading emas atas perintah ayahandanya, Raja Rom. Pelbagai cabaran dihadapi dalam pengembaraan tersebut antaranya menemui binatang buas di dalam hutan, mendaki bukit yang terlalu tinggi, menyelamatkan tujuh orang puteri daripada tawanan raksasa dan hampir ditangkap dan dibunuh raksasa.

    Persoalan

    Keberanian dan kehebatan anak raja. Contoh: Indera Nata berani masuk ke mahligai raksasa dan menyelamatkan tujuh orang puteri.

    Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Contoh: Si Batu Kembar memeluk dan mencium anaknya Indera Jenaka yang baru balik daripada mengembara.

    Kebijaksanaan untuk mendapatkan sesuatu dan menyelamatkan diri. Contoh: Tuan Puteri Cendera Kesuma membuat helah dengan menyuruh raksasa mencari gajah bergading emas sekiranya raksasa mahukan mereka cepat besar, tetapi sebenarnya dia bertujuan untuk membantu Indera Nata mendapatkan gajah bergading emas.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 4 Prosa Tradisional

    Tolong-menolong sesama manusia. Contoh: Indera Nata membantu menyelamatkan Indera Jenaka daripada serangan binatang buas di hutan.

    Nilai

    Bijaksana. Contoh: Tuan Puteri membuat helah untuk melepaskan diri.

    Keberanian. Contoh: Indera Nata berani masuk ke mahligai raksasa dan menyelamatkan tujuh puteri.

    Kasih sayang. Contoh; Tuan Puteri Cenderawati amat menyayangi Indera Nata.

    Tolong-menolong. Contoh: Indera Nata menolong menyelamatkan tujuh puteri daripada tawanan raksasa.

    Pengajaran

    Kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang dihajati.

    Kita mestilah saling menyayangi antara satu sama lain supaya dapat hidup harmoni.

    Kita hendaklah bijak menyelesaikan masalah yang timbul.

    Kita mestilah menghargai budi yang diterima dan membalas dengan sebaik-baiknya.

    Kita hendaklah tolong-menolong antara satu sama lain.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 5 Prosa Tradisional

    PROSA TRADISIONAL HIKAYAT KHOJA MAIMUN

    Sinopsis Bab 1

    Khoja Maimun yang berasal dari negeri Ajam, mempunyai seorang isteri yang cantik bernama Bibi Zainab. Pada suatu hari, mereka pergi ke pekan lalu membeli seekor burung bayan jantan dengan harga seribu dinar. Burung itu sungguh istimewa kerana boleh membuat ramalan. Menurut ramalannya, dalam masa tiga hari lagi Khoja Maimun akan mendapat keuntungan hasil daripada menjual sanbal (wangi-wangian). Hasil keuntungan tersebut, Khoja Maimun turut membeli seekor burung tiung betina.

    Khoja Maimun keluar berniaga dan meninggalkan isteri tercintanya di rumah. Pemergiannya menyebabkan Bibi Zainab berasa sunyi lalu duduk di tepi jendela. Pada ketika itu, dia terpandang anak raja negeri yang sangat kacak dan mereka saling jatuh hati. Bibi Zainab ingin berjumpa dengan anak raja itu lalu meminta nasihat burung tiung. Namun tiung melarangnya dengan memberi nasihat bahawa perbuatan tersebut bertentangan dengan hukum Allah. Bibi Zainab amat marah mendengar nasihat itu, lantas menghempas tiung sehingga mati. Seterunya dia meminta pandangan daripada Bayan pula. Bayan berusaha melalaikan Bibi Zainab dengan bercerita kepadanya.

    Bab 2 : Cetera Pertama

    Mengisahkan Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Isteri saudagar berbuat demikian kerana mengesyaki Bayan telah membocorkan rahsia dia telah bermukah dengan seorang fakir kepada suaminya. Bayan menyembunyikan dirinya di dalam saluran tempat membuang air beras menyebabkan isteri saudagar tersebut menganggap Bayan telah mati.

    Isteri saudagar memberitahu kepada suaminya bahawa Bayan telah mati akibat dimakan oleh kucing. Namun, helah itu diketahui suaminya menyebabkan saudagar tersebut marah dan menghalau isterinya. Isteri saudagar telah pergi ke kubur Tuan Sheikh Wali Allah untuk memohon doa agar suaminya menerimanya kembali.

    Setelah bulu bayan tumbuh kembali, dia keluar dari tempat persembunyiannya lalu terbang ke kubur Tuan Sheikh Wali Allah untuk menyuruh isteri saudagar bertaubat. Bayan menyuruh isteri saudagar mencukur rambut dan bulu kening kerana ingin membalas dendam. Bayan menyatakan hasrat untuk membantu isteri saudagar agar dapat kembali ke pangkuan suaminya. Bayan menemui saudagar dan menjelaskan bahawa bukan isterinya yang membunuh Bayan, menyebabkan isterinya diterima kembali.

    Bayan menyuruh Bibi Zainab menemui anak raja yang dicintainya, malangnya hari telah siang. Pada hari yang lain, Bibi Zainab sekali lagi ingin keluar menemui anak raja itu, namun Bayan telah bercerita tentang Hikayat Taif untuk melalaikannya.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 6 Prosa Tradisional

    Bab 3 : Cetera Kedua

    Taif menemui Raja Tabristan kerana Raja Arab tidak menghargai jasa yang dicurahkannya selama ini. Kehadirannya dialu-alukan dan Raja Tabristan menganugerahinya emas, perak dan tempat penginapan. Dalam suatu majlis keramaian, Taif telah menyatakan hasrat untuk melawan isteri Syah Alam sehingga menyebabkan rajanya murka.

    Suatu malam ketika Taif sedang berkawal, Raja Tabristan terdengar suara perempuan. Raja menitahkan Taif untuk menyiasat perkara tersebut. Menurut perempuan itu, jika Taif inginkan daulat Raja Tabristan bertambah dan umur baginda dipanjangkan, dia harus membunuh anaknya sendiri. Taif begitu setia dan rela melakukan perkara tersebut, namun dihalang oleh perempuan itu kerana dia sebenarnya hanya ingin menguji Taif.

    Peristiwa itu sebenarnya diintip oleh Raja Tabristan. Ketaatan Taif menyebabkan dia dianugerahkan sebuah negeri dan harta yang banyak. Cerita itu sekali lagi melalaikan Bibi Zainab menyebabkan dia tidak berkesempatan untuk bertemu kekasihnya. Malam berikutnya, Bayan bercerita lagi.

    Bab 4 : Cetera Ketiga

    Terdapat seorang sumi yang begitu mencemburui isterinya menyebabkan segala tindak tanduk isterinya dikawal. Isterina telah bercerita tentang seorang suami yang terlalu memahami isterinya dan tidak akan marah walaupun isterinya berlaku sumbang terhadapnya.

    Hal ini demikian kerana dia pernah melihat suami yang cemburu turut diduakan oleh isterinya. Akibat terlalu cemburu si suami sanggup menjadikan dirinya seekor gajah untuk membawanya berjalan-jalan, kerana bimbang isterinya akan bersenda gurau dengan lelaki lain.

    Isteri kepada suami yang cemburu itu selalu menegaskan kepada suaminya bahawa dia setia, namun kesetiaannya diragui. Oleh sebab itu, dia membekalkan bunga dan sehelai kain kesumba ketika suaminya pergi belayar. Jika isterinya curang, bunga itu akan layu dan kain itu akan luntur.

    Bunga yang dibawa oleh saudagar (suami) itu tidak layu walaupun ketika itu musim kemarau. Raja di negeri itu tertanya-tanya akan keunikan bunga itu menyebabkan saudagar itu menceritakan hal sebenar. Kebijaksanaan isteri saudagar itu menyebabkan Raja ingin menguji kesetiaannya iateri saudagar dengan menghantar seorang hamba raja menemuinya namun gagal. Seterunya, tiga orang hamba dihantar untuk menguji kesetiaan isteri saudagar tadi namun turut mengalami kegagalan. Akhirnya Raja sendiri yang pergi untuk menguji isteri saudagar tadi. Isteri saudagar menasihati Raja agar takut akan azab Allah dan segera bertaubat.

    Sekali lagi Bibi Zainab gagal menemui kekasihnya. Hajatnya masih tidak kesampaian apabila Bayan bercerita pula kisah Hikayat Serimala dengan Pandai Emas. Akhirnya Bibi Zainab insaf dan sedar bahawa seorang perempuan mestilah taat kepada suaminya.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 7 Prosa Tradisional

    Tema

    Nilai etika yang harus diutamakan oleh golongan wanita terutamanya para isteri. Contoh: Cerita-cerita yang disampaikan oleh Bayan berkisar tentang pentingnya kesetiaan seseorang isteri dan perlu memiliki etika yang murni untuk menghindarkan daripada berlaku curang.

    Persoalan

    Kebijaksanaan melaksanakan sesuatu tindakan. Contoh: Apabila melihat Bibi Zainab menghempas burung tiung sehingga mati, Bayan berpura-pura tidur.

    Kecurangan seorang isteri. Contoh: Semasa ketiadaan suami, Bibi Zainab jatuh hati dengan anak raja.

    Kewajipan menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga. Contoh: Khoja Maimun keluar berniaga untuk mencari rezeki.

    Kejujuran dalam sebuah perhubungan. Contoh: Isteri saudagar jujur terhadap suaminya walaupun banyak lelaki cuba mendekatinya.

    Nilai

    Kasih sayang terhadap pasangan. Contoh: Khoja Maimun menyayangi isterinya Bibi Zainab sepenuh hati.

    Ketaatan kepada ketua. Contoh: Taif begitu taat akan perintah Raja Tabristan sehingga rela membunuh anaknya.

    Prihatin terhadap keluarga. Contoh: Khoja Maimun dan saudagar prihatin dengan tanggungjawab untuk mencari nafkah buat keluarga.

    Keinsafan atas kesalahan yang dilakukan. Contoh: Bibi Zainab insaf akan kesalahan yang dilakukan kerana cuba menduakan suaminya.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 8 Prosa Tradisional

    Pengajaran

    Kita mestilah patuh kepada perintah Allah agar dapat menghindarkan diri daripada kemungkaran.

    Kita haruslah berusaha untuk mencari rezeki buat keluarga agar kehidupan lebih sejahtera.

    Kita perlulah menyayangi ahli keluarga dengan sepenuh hati agar memperoleh kebahagiaan yang berkekalan.

    Kita mestilah bijak menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi agar tidak mendatangkan kemudaratan.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 9 Prosa Tradisional

    PROSA TRADISIONAL MERAH SILU

    Sinopsis

    Kisah bermula apabila Merah Gajah yang berkahwin dengan Puteri Betong telah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Merah Silu dan Merah Hasum. Pada awalnya Merah Gajah tidak mengetahui isterinya mempunyai sehelai rambut berwarna keemasan di tengah kepala sehingga beliau terpandang isterinya menyikat rambut. Merah Gajah mahu mencabut rambut tersebut tetapi dihalang oleh isterinya. Sewaktu Puteri Betong tidur, Merah Gajah telah mencabut rambut tersebut menyebabkan keluar darah dari liang-liang rambut sehingga menyebabkan kematiannya.

    Berita kematian Puteri Betong telah menimbulkan kemarahan ayahandanya Raja Muhammad dan mengambil tindakan membunuh Merah Gajah. Ayahanda Merah Gajah iaitu Raja Ahmad telah bertindak balas menyerang Raja Muhammad sehingga berlaku peperangan sengit menyebabkan kedua-duanya terbunuh termasuk sebilangan besar rakyat. Hanya yang tinggal Merah Silu dan Merah Hasum serta beberapa rakyat yang masih hidup dan mengaku taat setia kepada kedua-duanya untuk terus tinggal di negeri Semerlanga itu.

    Merah Silu dan adiknya Merah Hasum berhasrat meninggalkan negeri itu kerana tidak ada sesiapa lagi kaum kerabatnya yang tinggal. Mereka berdua keluar meninggalkan negeri Semerlanga menuju ke sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan di tepi sungai. Suatu hari ketika di sungai, Merah Silu terlihat banyak ikan dan dia pergi ke hulu sungai menahan bubu. Beberapa kali bubu ditahannya dipenuhi dengan cacing gelang-gelang. Akhirnya dia mengambil keputusan membawa balik cacing gelang-gelang itu dan merebusnya di dalam kawah. Cacing itu telah bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak menyebabkan Merah Silu menjadi kaya.

    Merah Hasum hanya diam apabila mendengar berita Merah Silu menjadi kaya. Pada suatu hari, Merah Silu menangkap kerbau liar tetapi tindakannya itu tidak disenangi oleh Merah Hasum kerana pada pendapatnya kerja itu tidak berfaedah dan hanya memalukan dirinya sebagai saudara kepada Merah Silu. Merah Hasum telah meminta Merah Silu menghentikan perbuatan tersebut dan menyuruh Merah Silu keluar dari negeri itu jika tidak mahu mendengar katanya. Akhirnya Merah Silu mencari petempatan baru dengan membawa segala harta dan kerbaunya. Merah Silu tiba di hulu Karang dan menetap di situ tetapi kehadirannya tidak disenangi oleh penduduk kampung kerana kerbau-kerbau itu memakan tanaman mereka.

    Merah silu berpindah lagi ke sebuah negeri bernama Buluh Telang. Di sini beliau bertemu dengan Megat Iskandar dan menyatakan hasratnya untuk tinggal di negeri tersebut dan menganggap Megat Iskandar sebagai bapanya. Megat Iskandar setuju membenarkan Merah Silu tinggal di situ dan boleh memelihara kerbau kerana ada ladang yang luas. Merah Silu suka menyabung ayam dan selalu memberi kerbau sebagai hadiah kepada sesiapa yang menyabung ayam dan menontonnya. Megat Iskandar dengan persetujuan pembesar dan rakyat telah melantik Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun. Sultan Malikul Nasar tidak bersetuju dan menyerang Merah Silu. Beberapa siri peperangan berlaku antara Merah Silu dengan Sultan Malikul Nasar dan akhirnya sultan tewas dan Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 10 Prosa Tradisional

    Tema

    Ketabahan seorang anak raja dalam menghadapi cabaran hidup. Persoalan

    Perselisihan antara adik-beradik. Contoh: Perselisihan faham antara Merah Silu dengan Merah Hasum kerana tindakan Merah Silu yang menangkap kerbau liar tidak disukai oleh Merah Hasum dan dianggap memalukan.

    Perkara di luar logik akal. Contoh: Keistimewaan seseorang keturunan raja digambarkan dengan peristiwa aneh misalnya cacing gelang-gelang yang direbus oleh Merah Silu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak.

    Keberanian anak raja. Contoh: Merah Silu menghadapi beberapa peperangan dengan Sultan Malikul-Nasar sehingga dia dirajakan di Rimba Jerun.

    Sikap pemurah dalam kalangan masyarakat. Contoh: Merah Silu yang suka menyabung ayam memberi hadiah seekor kerbau kepada orang yang terlibat menyabung ayam dan juga kepada yanghanya datang melihat sahaja malah dia juga memberi semula wang pertaruhan kepada mereka yang kalah.

    Kegemaran berjudi dalam kalangan masyarakat. Contoh: Merah Silu suka menyabung ayam dan menggunakan wang pertaruhan.

    Nilai

    Taat setia Contoh; Rakyat mematuhi perintah raja untuk berperang sehingga melibatkan banyak kehilangan nyawa.

    Murah hati Contoh: Merah Silu menghadiahkan seekor kerbau kepada setiap orang yang hadir ke gelanggang sabung ayam.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 11 Prosa Tradisional

    Keberanian Contoh: Merah Silu berani berperang menentang Sultan Malikul-Nasar untuk menjadi raja di Rimba Jerun.

    Berdikari Contoh: Merah Silu keluar mencari petempatan baru sendirian setelah dihalau oleh Merah Hasum.

    Pengajaran

    Kita hendaklah menyelesaikan masalah yang timbul melalui rundingan bukannya peperangan.

    Kita hendaklah berani mempertahankan maruah supaya hak kita tidak diganggu gugat.

    Kita hendaklah menghormati tetamu.

    Kita janganlah menganiayai binatang.

    Kita hendaklah menyelidik dahulu sesuatu perkhabaran sebelum mengambil sebarang tindakan.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 12 Prosa Tradisional

    PROSA TRADISIONAL PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA

    Sinopsis

    Kisah bermula apabila Awang Sulung mengikuti pelayaran Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan menaiki geliung (kapal) dari negeri Bandar Mengkalih menunuju ke negeri Semarang di Tanah Jawa. Geliung itu bergerak terlalu laju menyebabkan semua anak kapal mabuk-mabuk dan muntah-muntah lalu tidak sedarkan diri kecuali tiga orang iaitu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang menggantikan jurumudi kapal, Si Kembang Cina, dan Awang Sulung Merah Muda yang menyamar sebagai budak comot dan hitam. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung menggantikannya sebagai jurumudi dengan memberi alasan bahawa dia sudah keletihan. Pada mulanya Awang Sulung tidak bersetuju tetapi setelah dipujuk dengan lembut akhirnya Awang Sulung mengambil alih tugas sebagai jurumudi. Anehnya, Awang Sulung tidak memegang kemudi sebaliknya menyeru geliung itu supaya belayar mengikut tiupan angin.

    Setelah tiga hari belayar, geliung itu hendak berlabuh di Pulau Tapai untuk mengambil kayu api dan air tetapi gagal kerana laut bergelora.Sekali lagi Awang Sulung menggunakan kesaktiannya dengan mencampakkan tulang pelanduk putih menyebabkan air menjadi tenang. Setelah beberapa lama berlabuh barulah penghuni geliung tersedar daripada pengsan. Sebaik sedar, jurumudi menikam seekor ayam dengan kerisnya lalu pergi berjumpa Tuanku Nakhoda Tua dan menyatakan bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung itu daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Tuanku Nakhoda Tua percaya kata-kata jurumudi kerana sewaktu kejadian baginda juga pengsan. Geliung itu berlabuh selama tiga hari tiga malam di Pulau Tapai. Tuanku Nakhoda Tua telah berjanji akan mengahwinkan sesiapa sahaja yang berjaya membawa geliung itu selamat sampai ke Tanah Jawa dengan puteri baginda iaitu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

    Jurumudi menunjukkan rasa tidak senangnya terhadap Awang Sulung kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sebaliknya dia dimarahi oleh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa cuba menguji kehebatan Awang Sulung dengan menyuruhnya mengambil air dan mencari kayu api. Perkara pelik dilakukan oleh Awang Sulung kerana dia mengambil air di tengah laut di tempat arus yang deras. Awang Sulung tidak mengambil kayu bakau dan temu laut seperti yang diminta oleh Tuan Puteri Dayang Seri Jawa, sebaliknya mengambil batang nipah. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa memarahi Si Kembang Cina yang mengikut arahan jurumudi kerana memberikan sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung sebaliknya Tuan Puteri Dayang Seri Jawa memerintahkan Si Kembang Cina menyiapkan hidangan istimewa kepada Awang Sulung. Berlaku satu lagi keanehan apabila air masin yang diambil oleh Awang Sulung yang dimasukkan ke dalam buyung suasa bertukar menjadi air manis.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 13 Prosa Tradisional

    Semasa hendak meneruskan pelayaran, Tuanku Nakhoda Tua memanggil semua anak kapal memaklumkan mereka akan melalui kawasan Laut Sekona Lingga yang banyak lanun. Tuanku Nakhoda Tua berjanji sesiapa yang dapat menyelamatkan baginda dan puterinya daripada serangan lanun, dia akan dikahwinkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Semua anak kapal berasa takut, namun jurumudi telah mengambil kesempatan dengan menonjolkan diri bahawa dia yang akan melawan lanun-lanun itu. Semasa melintasi perairan Pulau Salah Nama, lanun menyerang. Anak-anak kapal termasuk jurumudi lari menyelamatkan diri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Awang Sulung menentang lanun tetapi Awang Sulung membuat helah mengatakan beliau tidak layak kerana kaki dan tangannya sakit. Apabila mendengar alasan itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina memberikan limau selimpat pagar dan sabun wangi untuk Awang Sulung mandi. Selepas mandi dan memakai persalinan pakaian pusaka tua warisan boda dan menyisip keris serta menyarung pedang sakti, terserlahlah ketampanan Awang Sulung.

    Semasa lanun-lanun cuba menaiki geliung, Awang Sulung melaungkan nama-nama ketua lanun dan menyindir mereka supaya menawan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Mendengar suara Awang Sulung, lanun-lanun itu ketakutan kerana mereka mengenali Awang Sulung dan berjanji untuk menyelesaikan hutang Awang Sulung kepada Datuk Batin Alam dan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Geliung itu telah dipenuhi dengan wang batu dan wang emas. Setelah menyelesaikan semua hutang, Awang Sulung berhasrat untuk pulang ke bandar Mengkalih menyebabkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa berasa sedih dan mengambil tindakan untuk terjun ke laut tetapi sempat dihalang oleh hulubalang yang ada di situ. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa pengsan tetapi sedar apabila mendengar Awang Sulung berpantun dengan Si Kembang Cina lalu tuan puteri berbalas pantun pula dengan Awang Sulung. Setelah dijamu makan dan minum serta memenuhkan geliung dengan wang, lanun-lanun itu kembali ke bahtera masing-masing. Selepas lanun-lanun itu pergi, jurumudi membuat helah sekali lagi dengan mengaku dirinyalah yang menyelamatkan geliung itu daripada serangan lanun kepada Tuanku Nakhoda Tua. Dia menunjukkan kerisnya yang berdarah selepas dia menikam seekor ayam. Tuanku Nakhoda Tua percaya penipuan jurumudi dan memerintahkan Mualim Cik Mas menikahkan puterinya dengan jurumudi itu. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa begitu geram akan tindakan ayahandanya yang tidak usul periksa. Apabila mengetahu perkara sebenar, Tuanku Nakhoda Tua memohon maaf kepada Awang Sulung yang juga berketurunan raja dan mengahwinkannya dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

    Beberapa hari selepas mereka berkahwin, geliung meneruskan pelayaran merentasi beberapa pulau sehinggalah sampai ke Negeri Pati Talak Terengganu. Awang Sulung dijemput naik ke darat oleh raja negeri tersebut. Semasa naik ke darat, Awang Sulung ditemani oleh jurubatu dan Bujang Selamat. Mereka membawa bersama ayam Awang Sulung yang bernama Kinantan Suci. Kedatangan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak menimbulkan kehairanan rakyat negeri tersebut apabila segala alat kebesaran dan

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 14 Prosa Tradisional

    seluruh isi alam berbunyi. Awang Sulung meminta kebenaran daripada raja untuk menyabung ayam. Pada peringkat awal pertarungan, Kinantan Suci hampir tewas tetapi setelah diseru oleh Awang Sulung, ayam itu berjaya menaji ayam lawan sehingga terputus kepala. Selesai menyabung ayam, barulah Awang Sulung naik ke balairung seri, disambut oleh pembesar dan rakyat negeri itu.

    Tema

    Kelebihan dan kehebatan anak raja. Contohnya; Awang Sulung Merah Muda digambarkan memiliki kelebihan dan kehebatan seperti boleh menggerakkan geliung tanpa memegang kemudi, menenangkan air laut dengan mencampakkan tulang pelanduk putih, menukarkan air laut yang masin menjadi manis, semasa ketibaan Awang Sulung ke negeri Pati Talak Terengganu, akat-alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi seolah-olah menyambutnya. Satu lagi kelebihannya, ketika ia menyeru ayamnya Kinantan Suci yang hampir tewas semasa menyabung sehingga akhirnya dapat mengalahkan lawannya, Si Jalak.

    Persoalan

    Cinta tidak mengenal rupa paras Contoh: Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh hati kepada Awang Sulung kerana melihat kelebihan yang dimiliki oleh Awang Sulung walaupun ketika itu Awang Sulung comot dan hitam.

    Perasaan dengki dan iri hati Contoh: Jurumudi sangat dengki kepada Awang Sulung yang mendapat layanan yang baik daripada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sehingga sanggup menyuruh Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung.

    Kewibawaan dan pengaruh yang kuat Contoh: Lanun-lanun tidak berani menyerang geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa apabila mendengar suara Awang Sulung Merah Muda.

    Menipu untuk mencapai sesuatu tujuan Contoh: Jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan menyatakan dialah yang menyelamatkan geliung daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah dan daripada serangan lanun dengan menunjukkan keris yang berdarah ayam. Tujuannya supaya dia dapat berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 15 Prosa Tradisional

    Menghormati tetamu Contoh: Awang Sulung disambut oleh pembesar istana dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu semasa naik ke balairung seri.

    Nilai

    Merendah diri Contoh: Awang Sulung yang berketurunan raja sanggup menyamar sebagai budak hitam dan comot.

    Keyakinan Contoh: Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan yakin mengambil alih mengemudi kapal sewaktu jurumudi pengsan.

    Berani Contoh: Awang Sulung berani menentang lanun yang cuba menyerang geliung kenaikan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

    Kasih sayang Contoh: Awang Sulung dan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa saling menyayangi selepas berkahwin.

    Keinsafan Contoh: Tuanku Nakhoda Tua insaf dan memohon maaf atas kesalahan kepada Awang Sulung.

    Pengajaran

    Kita hendaklah sentiasa merendah diri di mana-mana sahaja kita berada supaya kita akan dihormati.

    Kita hendaklah berani menghadapi pelbagai rintangan demi mencapai matlamat.

    Kita hendaklah bijak agar dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.

    Kita hendaklah bersedia memberi bantuan terhadap orang yang memerlukan pertolongan.

    Kita hendaklah berani mengaku kesalahan yang dilakukan agar tidak menimbulkan kekesalan pada masa hadapan.

  • CSL2012 Antologi Harga Remaja 16 Prosa Tradisional