teks ucapan yb tuan gobind singh deo menteri … · daripada semua yang ada di sini khususnya, dan...
Post on 08-Nov-2020
5 Views
Preview:
TRANSCRIPT
1
TEKS UCAPAN
YB TUAN GOBIND SINGH DEO MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2019
DATARAN PAHLAWAN MEGAMALL, MELAKA 3 OGOS 2019 (SABTU)
YB TUAN GOBIND SINGH DEO
KEBANGSAAN
2
Salam Sejahtera dan Salam Harapan
PENDAHULUAN
1. Saya berasa amat berbesar hati pada malam ini, kita dapat
bersama-sama berhimpun di Melaka, Bandaraya Bersejarah ini bagi
menyaksikan satu majlis yang sangat bermakna dalam menzahirkan
semangat cintakan negara iaitu Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan
dan Kibar Jalur Gemilang 2019.
2. Izinkan saya terlebih dahulu mengambil kesempatan selaku
Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi
Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 mengucapkan
rasa terima kasih tidak terhingga atas kesudian dan kehadiran Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bin Mohamad ke
Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan seterusnya menyempurnakan
flag-off Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 pada malam ini.
3
3. Seterusnya, saya ingin mengambil kesempatan untuk
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih
kepada Yang Amat Berhormat Tuan Haji Adly Zahari, Ketua Menteri
Melaka, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan
seluruh rakyat Melaka kerana sudi menjadi “Tuan Rumah” dan
penganjur bersama majlis ini.
4. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan
terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Menteri-
Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet; Yang Berhormat
EXCO-EXCO Kerajaan Negeri serta Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang turut hadir bersama di majlis ini.
5. Pemilihan negeri Melaka sebagai lokasi pelancaran adalah
berdasarkan faktor sejarah di mana lokasi pengisytiharaan
Kemerdekaan Tanah Melayu di Padang Banda Hilir Melaka oleh Yang
Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada
20 Februari 1956. Pada hari berkenaan Almarhum Tuanku, telah
mengumumkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai
kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957.
4
6. Justeru, berkat kerja keras dan usaha pejuang-pejuang
kemerdekaan tanah air, negara kita telah mengecapi 62 tahun
kemerdekaan. Rakyat di negara ini hidup dalam keadaan selesa,
harmoni dan makmur. Nilai kemerdekaan yang diraikan bukan sahaja
merdeka daripada dijajah namun yang paling penting keupayaan kita
semua hidup dengan bersatu dalam suasana aman damai negara
tercinta kita.
7. Tahniah juga kepada rakyat Malaysia yang hadir bersama-sama
dengan semangat “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” dalam
menyokong aspirasi-aspirasi Kerajaan Pakatan Harapan untuk membina
semula negara dan membawa nilai-nilai negara bebas rasuah dan
berintegriti dalam usaha dan tanggungjawab yang besar ini. Kehadiran
ini menggambarkan komitmen tuan-tuan dan puan-puan dalam
memastikan kesejahteraan dan kemakmuran dengan mengutamakan
semangat kenegaraan dan tanpa mengira perbezaan kaum, agama,
bangsa dan fahaman wajib disemai dan dipupuk dalam sanubari
sebagai rakyat Malaysia.
5
Tema Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih
Para Hadirin Sekalian,
8. Pada tahun ini kita mengangkat tema “Sayangi Malaysiaku:
Malaysia Bersih” sebagai tema Hari Kebangsaan 2019. Tema tahun ini
menitik berat hasrat Kerajaan untuk memupuk semangat cintakan
negara dan mengeratkan lagi jalinan perpaduan serta menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan rakyat yang mempunyai
jati diri dan berintegriti.
9. Seperti yang sedia maklum juga, logo rasmi sambutan Hari
Kebangsaan 2019 memaparkan simbol rakyat dalam pergerakan riang
mengangkat tangan dengan satu bentuk hati yang menyatukan mereka.
Logo ini juga menggambarkan warganegara Malaysia yang berbilang
bangsa dalam keharmonian rasa seia, sekata, sehati dan sejiwa,
membarakan perasaan sayang kepada negara Malaysia.
10. Saya memohon agar semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama
menyemarakkan lagi semangat patriotisme di dalam diri kita dan
menyemai amalan budaya integriti dan menolak rasuah dalam
kehidupan kita.
6
11. Marilah bersama-sama kita kembali kepada prinsip-prinsip
Rukun Negara yang menerapkan nilai-nilai murni yang berasaskan
kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kesetiaan kepada Raja dan
Negara, bersikap toleransi antara satu sama lain dan mempunyai
semangat patriotisme yang jitu supaya kita semua dapat hidup bersatu
padu tanpa sebarang sengketa.
Program-program Sambutan Bulan Kebangsaan
12. Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini secara rasmi bermula hari
ini, iaitu pada 3 Ogos hingga 16 september 2019 menerusi tiga (3)
program utama iaitu:
i. Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019
pada 2 hingga 4 Ogos 2019 di Dataran Pahlawan Megamall, Melaka
yang akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri malam ini;
ii. Hari Kebangsaan 2019 pada 31 Ogos di Putrajaya yang akan
dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong; dan
iii. Hari Malaysia 2019 pada 16 September 2019 di Padang Merdeka,
Kuching, Sarawak yang akan dirasmikan oleh TYT Negeri Sarawak dan
YAB Perdana Menteri.
7
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
13. Pelbagai program telah dirangka oleh Kementerian Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama agensi-agensi
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, pihak swasta, pertubuhan
bukan Kerajaan, rakan media dan pelbagai pihak. Antaranya ialah
Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Merdeka@komuniti,
Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, Pertandingan Pidato
Kenegaraan, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan dan Pameran
Bersepadu Caring Bridge serta lain-lain program yang melibatkan
penyertaan seluruh rakyat Malaysia.
14. Kerajaan amat menggalakkan pelbagai inisiatif dalam kalangan
masyarakat bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari
Malaysia secara sukarela. Ini secara langsung memupuk semangat
perpaduan dan meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia
secara bersepadu, meriah dan harmoni.
8
15. Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua agar setiap
rakyat Malaysia bersama-sama meraikan Bulan Kebangsan dengan
mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, bangunan pejabat, premis
perniagaan, kereta dan di mana-mana tempat bersesuaian dengan
penuh perasaan kebanggaan dan kegembiraan bahawa ‘Malaysia ini
kita punya’ dan #KitaMalaysia.
16. Pada malam ini, kita juga bakal menyaksikan pelancaran flag off
konvoi kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 yang akan menjelajah
sejauh 6,200 km (simbolik Hari Kebangsaan ke-62) di 62 pit stop
meliputi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan
Labuan bermula pada malam ini sehingga 16 September 2019. Konvoi
ini melibatkan 14 buah kenderaan yang diterajui pasukan Jabatan
Penerangan Malaysia, 20 buah kenderaan dari agensi-agensi Kerajaan
dan 30 buah motorsikal berkuasa tinggi dari Persatuan Permotoran
Kelab J17 dengan penglibatan seramai 160 orang.
17. Saya difahamkan pagi tadi telah berlangsungnya Larian
Merdeka@Melaka yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat di
sekitar dan di luar Negeri Melaka. Sehubungan itu, saya merakamkan
ucapan terima kasih di atas penglibatan semua.
9
18. Saya yakin dengan kerjasama dan sokongan yang berterusan
daripada semua yang ada di sini khususnya, dan seluruh rakyat
Malaysia umumnya, sudah pasti kempen dan program yang dijalankan
akan mencapai matlamatnya.
Kempen #KitaMalaysia
Para Hadirin sekalian,
19. Malaysia memiliki komposisi penduduk yang terdiri daripada
kepelbagaian budaya dan bangsa. Hubungan harmoni yang terjalin
sesama kaum ini akan memperkukuhkan lagi kedaulatan dan
pembangunan negara. Kempen #KitaMalaysia yang berasaskan prinsip
“Kemakmuran Bersama” merupakan salah satu inisiatif yang
diperkenalkan ke arah hubungan harmoni dan kerjasama pelbagai kaum
yang menjadi kunci utama untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam
perjalanan negara kita dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan
secara menyeluruh.
20. Dalam perkara ini semua rakyat Malaysia mempunyai peranan
penting untuk memastikan bahawa kita semua bangga dengan
pencapaian negara kita selepas 62 tahun merdeka.
10
21. Kita harus menghargai bagaimana kita telahpun membina satu
negara yang berjaya berasaskan semangat perpaduan dan patriotisme,
dan bagaimana kita telahpun menunjukkan kepada dunia bahawa nilai-
nilai tersendiri rakyat daripada semua kaum, agama dan budaya di
Malaysia boleh digabungkan untuk mengeratkan persahabatan di antara
kita semua dan sebagai sumber kekuatan untuk kita bersama-sama
membina negara berbilang kaum yang bukan sahaja berjaya dari sudut
ekonomi tetapi juga dari segi sosial dan kenegaraan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
22. Di sini, izinkan saya rujuk kepada sesi persidangan Parlimen yang
lalu, di mana satu Rang Undang-Undang telahpun diluluskan dan
Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menurunkan kelayakan usia
mengundi daripada 21 kepada 18. Perkara ini adalah sangat penting
kerana ianya menyokong peranan besar dan penting generasi muda
dalam melakarkan carta dan halatuju buat masa hadapan negara kita.
Peranan anak-anak muda dalam bab sepembinaan negara diiktiraf dan
diberikan penekanan ini.
11
23. Saya memohon kepada semua anak muda supaya bersama-sama
mengambil bahagian dengan kerajaan dalam perkara pembinaan masa
hadapan negara kita. Sepertimana saya menyatakan tadi semua rakyat
Malaysia mempunyai peranan masing-masing yang sangat penting dan
tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan untuk kita sama-sama
mencapai lebih kejayaan dan mengharumkan nama negara kita di masa
hadapan.
24. Ini lebih-lebih lagi apabila kita kini melalui era digital di mana
bukan sahaja komunikasi tetapi juga ekonomi dan peluang-peluang
yang mengekorinya sedang mengubah corak hidup dan interaksi
seluruh dunia. Kita mesti melihat perubahan teknologi sebagai satu
peluang untuk kita mecapai kejayaan yang lebih besar bukan sahaja di
dalam negara ataupun di persekitaran rantau tetapi juga di pentas dunia.
Melalui pembangunan teknologi yang sedia ada dan dunia digital yang
tidak bersempadan bahkan yang melintas seluruh dunia, negara kita
berkeupayaan untuk menjadi peneraju ekonomi di rantau ini khasnya
kerana kita terdiri daripada rakyat yang berkebolehan dalam pelbagai
bahasa dan kuat dari sudut pemahaman semangat menghormati agama
dan budaya berlainan.
12
25. Maka sudah tentunya kita dalam kedudukan yang kukuh sekali
untuk menjadi negara yang berjaya dan dilihat sebagai contoh ekonomi
membangun yang dihormati seluruh dunia.
26. Walaupun begitu izinkan saya juga menekankan bahawa
sementara perkembangan teknologi membawa banyak manfaat dan
aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan
sebagainya digunakan dengan meluas oleh semua lapisan masyarakat,
dan media sosial ini banyak memberi kesan yang positif kepada para
pengguna namun begitu jika tidak digunakan dengan sebaiknya dan
berhemah, ianya boleh membawa kepada kemudaratan.
27. Sifat rangkaian media sosial yang tidak mengenal sempadan dan
boleh dikongsi dengan jutaan pengguna dalam sekelip mata mampu
menyebar luas berita-berita palsu jika disalah guna. Ia boleh meracuni
pemikiran rakyat hingga tidak dapat membezakan perkara yang benar
dan palsu, dan sekiranya tidak dibendung, ini boleh menjejaskan
ketenteraman masyarakat dan membawa kesan yang buruk kepada
negara.
13
28. Sehubungan dengan itu, saya memohon supaya semua pihak
berhati-hati dalam menyebarkan atau berkongsi berita di dalam media
sosial dan sentiasa berhemah apabila membuat ataupun mengongsikan
sebarang kenyataan. Saya menyeru kepada semua untuk menyemak
dahulu dan mengesahkan kesahihan berita yang diterima sebagai satu
usaha untuk membanteras penularan berita palsu di laman sosial dan
Internet supaya kita boleh sama-sama pastikan bahawa keamanan dan
ketenteraman awam negara kita sentiasa terkawal dan dilindungi.
29. Sebelum mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya ingin
mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka
kerana memberi sokongan dalam memastikan kejayaan dan kelancaran
Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019
ini.
30. Akhir kata, terima kasih dan penghargaan juga kepada semua
jabatan kerajaan, agensi, badan-badan kerajaan dan kesemua
jawatankuasa pelaksana yang diterajui oleh Jabatan Penerangan
Malaysia di atas komitmen dan kerjasama padu yang telah diberikan
bagi menjayakan majlis kita ini.
14
31. Selamat menyambut Bulan Kebangsaan, Hari Kemerdekaan dan
Hari Malaysia saya ucapkan kepada semua rakyat Malaysia.
Sekian, terima kasih.
Embargo Please check against delivery
1
TEKS UCAPAN YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2019
PADA 3 OGOS 2019 (SABTU), PADA JAM 8.30 MALAM BERTEMPAT DI DATARAN PAHLAWAN, MELAKA
PENGENALAN
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat illahi kerana dengan keizinanNya, dapat kita berhimpun bersama-sama pada hari ini sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019.
2. Saya berasa terharu dan gembira kerana rakyat dari pelbagai lapisan peringkat usia dan
latar belakang hadir bersama meraikan majlis ini dalam suasana penuh keharmonian dan kedamaian.
3. Keharmonian dan kedamaian ini sekaligus memperlihatkan persefahaman dan perpaduan
kita bersama sebagai rakyat Malaysia. Walau apa pun isu yang timbul, kita akan tetap bersatu padu dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan Negara dicapai dengan aman dan muhibah.
MELAKA NEGERI BERSEJARAH
4. Hari ini kita berkumpul di Melaka, sebuah Negeri bersejarah di mana beratus-ratus tahun dahulu menjadi Negeri pertama di Tanah Melayu yang dijajah oleh Portugis selama 130 tahun.
5. Tahun-tahun berikutnya pula menyaksikan penjajah lain seperti Belanda dan seterusnya
Inggeris. 6. Di tempat kita berkumpul inilah, di Bandar Hilir, Melaka, sejarah penjajahan Negara bermula
dan di tempat ini jugalah Bapa Kemerdekaan kita Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra telah mengumumkan pada 20 Februari 1956 Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
7. Pada hari berkenaan Almarhum Tunku, yang ketika itu ialah Ketua Menteri Persekutuan
Tanah Melayu, telah mengumumkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai Kemerdekaan secara rasminya pada 31 ogos 1957.
Embargo Please check against delivery
2
PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA
8. Malaysia sudah menjangkau 62 tahun tanpa genggaman dan kuasa penjajah. Walaupun ada kalanya timbul suara-suara sumbang yang mahu menggugat ketenteraman antara rakyat dengan menimbulkan isu-isu perkauman, rakyat Malaysia secara keseluruhannya menolak fahaman sempit sedemikian dan tetap berpegang kepada prinsip tolak-ansur dan hormat menghormati.
9. Persefahaman yang telah dipupuk sejak Merdeka inilah yang mampu menjayakan agenda-
agenda nasional yang bertujuan untuk memakmur dan memajukan rakyat dan Negara.
10. Saya harap agar perhimpunan kita ini akan menyemarakkan lagi semangat kita untuk sama-sama melipatgandakan usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang disegani dan dihormati di mata dunia.
11. Seiring dengan Negara mencapai kematangan, saya yakin rakyat Malaysia sekarang juga
bertambah matang menilai dan membuat pendirian apabila berhadapan dengan ancaman yang mahu memecah-belah perpaduan kita.
12. Kematangan ini juga akan menjadi pendorong kepada hasrat Kerajaan untuk memajukan
Negara agar kemakmuran yang dicapai akan dapat kita nikmati bersama. INISIATIF KERAJAAN PAKATAN HARAPAN
13. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan dalam usaha mencapai matlamat
kemakmuran bersama ini, sebagaimana yang telah umumkan sempena sambutan ulang tahun pertama Malaysia Baharu.
14. Ia termasuklah langkah memulihkan integriti dan urus tadbir perkhidmatan awam, syarikat-
syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs) untuk kepentingan ekonomi Negara, selain Program Transformasi Felda, Pemulihan Tabung Haji, Pelancaran Dasar Keusahawanan Negara 2030 dan Program Pembangunan Wilayah.
15. Dalam merealisasikan inisiatif ini, kita semua harus memberi sokongan dan kepercayaan
penuh kepada Kerajaan yang baharu ini untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya.
16. Rakyat hendaklah sama-sama bangkit dengan penuh azam dan tekad untuk membantu
Kerajaan mencorakkan kemakmuran bersama ini. 17. Falsafah dan kerangka dalam membina sebuah Negara yang berasaskan kepada penyatuan
jitu masyarakat, haruslah dijadikan sebagai asas perjuangan yang konsisten oleh kita semua.
18. Sehubungan ini, soal persefahaman dan penyatuan kaum akan terus dijadikan sebagai
agenda penting Kerajaan. Amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan dan menjauhi amalan-amalan buruk juga perlu terus diterapkan di dalam masyarakat di Negara ini.
19. Marilah sama-sama kita jayakan usaha ini dan menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan
pada tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.
Embargo Please check against delivery
3
KEMAJUAN NEGARA MALAYSIA
20. Masa berlalu tanpa henti dan tidak pernah berundur, sehinggalah Negara kita sampai ke dekad ini. Kita harus bersyukur dengan nikmat kehidupan yang aman dan makmur ini.
21. Pada masa yang sama, kita juga perlu sedar bahawa kejayaan kita pada hari ini adalah hasil
pengorbanan oleh generasi terdahulu. 22. Sejarah Negara, sejak berdekad yang lalu, harus dijadikan panduan di dalam kita
membentuk dan menentukan halatuju Negara. Setiap rakyat perlu ada rasa tanggungjawab, kerana imej kecemerlangan Negara banyak bergantung kepada kemampuan kita untuk mengharungi segala cabaran dan rintangan untuk meraih kejayaan.
23. Kita perlu fokus kepada tahap kemajuan yang lebih cemerlang dengan memperbaiki segala
kekurangan dan kelemahan sedia ada supaya ia akan menjadi garis panduan dan ikutan generasi masa hadapan.
24. Kesemuanya ini mampu digalas apabila kita ada kesedaran dan keinsafan dalam diri
terhadap liku-liku perjalanan Negara sepanjang dekad yang dilalui. SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN
25. Setiap tahun apabila menjelang sambutan Hari Kebangsaan, ia menyedarkan kita semula
tentang pentingnya semangat patriotisme dan cinta kepada Negara. 26. Semangat cinta kepada Negara ini merupakan satu daripada ciri-ciri penting dalam
pembinaan sebuah Negara yang berbilang kaum, agama dan budaya supaya kita semua dapat hidup secara rukun dan damai.
27. Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme. Oleh itu adalah penting
untuk kita tanam semangat dan nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme ini dalam diri setiap rakyat di Negara ini.
28. Marilah kita sama-sama menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan ini dengan
mengibar jalur gemilang di rumah, di bangunan pejabat, bangunan perniagaan bahkan di kenderaan kita dan jadikan sambutan tahun ini lebih meriah.
PERANAN DAN CABARAN GENERASI MUDA
29. Peranan generasi masa kini adalah penting kerana merekalah generasi pelapis yang akan meneruskan wawasan Malaysia pada masa akan datang.
30. Kerajaan mengiktiraf peranan besar yang boleh dimainkan oleh golongan muda di Negara
ini. 31. Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi
kepada 18 tahun yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu adalah antara langkah yang sedang diusahakan oleh Kerajaan untuk membuka peluang kepada golongan muda terlibat dalam Sistem Demokrasi Negara di usia lebih muda.
Embargo Please check against delivery
4
32. Pendaftaran pengundi secara automatik juga membuka peluang kepada golongan muda seawal usia 18 tahun untuk menawarkan diri berkhidmat sebagai wakil rakyat. SEMANGAT PATRIOTISME
33. Ketika harapan kita sangat besar kepada generasi masa kini, kita juga bimbang kerana generasi muda hari ini hidup dengan penuh keselesaan sehingga mereka tidak sedar betapa banyak pengorbanan yang dilakukan untuk membawa Negara ke tahap sekarang.
34. Sebahagian daripada mereka menjadi generasi yang lupa akan perjalanan serta perjuangan
bangsa. Pada mereka ini, keadaan baik dan selesa dalam Negara adalah biasa, dan masalah Negara bukanlah tanggungjawab mereka.
35. Kerana persepsi seperti ini boleh runtuhkan Negara, maka semangat patriotisme dan jati diri
perlu dipupuk dalam diri generasi muda di Negara ini kerana keperibadian mereka akan mencerminkan keperibadian Negara pada masa kini dan akan datang.
36. Usaha memupuk semangat patriotisme dan membentuk jati diri bangsa yang unggul ini
perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti.
37. Hal ini dapat melahirkan generasi yang mempunyai semangat nasionalisme tinggi dan secara tidak langsung menjadi individu yang berguna kepada agama, bangsa dan Negara.
PENUTUP
38. Akhir sekali, saya ucap syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah berusaha
menjayakan majlis pada hari ini. Saya harap agar kita semua dapat menghayati pentingnya erti sebuah kemerdekaan dan mempertahankan perpaduan kita.
39. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019.
Sekian. Wabillahhitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Teks Ucapan Aluan YAB Tuan Adly bin Zahari
Ketua Menteri Melaka Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan
Dan Kibar Jalur Gemilang 2019 3 Ogos 2019 (Sabtu), Masa: 2000 Malam
Dataran Pahlawan Megamall, Melaka ---------------------------------------------------------------------
Sila Semak Semasa Ucapan Dibacakan
2
Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad,
Perdana Menteri Malaysia;
Yang Berhormat Dato’ Mohamad Arif bin Md. Yusof,
Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan YBhg. Datin
Hakimah binti Hassan;
Yang Berhormat Tuan Gobind Sing Deo,
Menteri Komunikasi dan Multimedia, dan YBhg. Puan
Sangeeta Kaur Sidhu;
Yang Berhormat Ahli-ahli Jemaah Menteri;
Yang Berbahagia Datuk Seri Dr. Ismail bin Haji Bakar,
Ketua Setiausaha Negara dan YBhg. Datin Seri Jamaliah
binti Othman;
Yang Amat Berhormat Dato’ Dr. Sahruddin bin Jamal,
Menteri Besar Johor dan YBhg. Datin Dr. Nur Armila binti
Mukdan;
Sila Semak Semasa Ucapan Dibacakan
3
Tuan-tuan dan Puan-puan, Hadirin Hadirat yang saya
hormati.
Salam Sejahtera, Salam Melaka Berwibawa;
Pintar, Hijau, Bersih.
PENDAHULUAN
1. Pertamanya, syukur ke hadrat Allah SWT
kerana kita dapat bersama-sama pada petang ini, di
negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Terlebih dahulu,
suka untuk saya merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan
Persekutuan khususnya kepada Yang Amat Berhormat
Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, Perdana Menteri yang
kita kasihi di atas kesudian memilih Melaka sebagai tuan
rumah bersempena Pelancaran Sambutan Bulan
Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat
Kebangsaan 2019.
2. Keduanya, Selamat Datang saya ucapkan
kepada barisan Jemaah Menteri, EXC0-EXCO
Kerajaan Negeri serta Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan
Sila Semak Semasa Ucapan Dibacakan
4
Persekutuan dan Negeri, serta seluruh warga Melaka
dan Malaysia ke Padang Dataran Pahlawan, Banda Hilir,
Melaka.
Indah berbalam si awan petang,
Berarak megah di Tanjung Bidara,
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.
Bunga seroja si bunga cempaka,
Menjadi hiasan puteri mahkota;
Sungguh tersohor negeri Melaka,
Penuh sejarah warisan tercinta.
3. Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin
mengucapkan tahniah dan syabas kepada
Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan dan
Hari Malaysia 2019 yang diterajui oleh Kementerian
Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dengan kerjasama
semua agensi Persekutuan dan Negeri kerana komited
dalam merancang, menyusun dan seterusnya
menzahirkan pelbagai aktiviti dan program ke arah
Sila Semak Semasa Ucapan Dibacakan
5
menjayakan program sambutan Bulan Kebangsaan
2019.
4. Pemilihan Melaka sebagai lokasi program
Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar
Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan 2019 adalah
bertepatan iaitu bagi mengimbau sejarah pengisytiharan
kemerdekaan negara yang dibuat di Banda Hilir
pada 20 Februari 1956. Jika kita telusuri sejarah lalu,
rombongan Merdeka yang pulang dari kota London ini
mendapat sambutan meriah ketika tiba di Lapangan
Terbang Batu Berendam, Melaka. Mereka diarak dengan
diiringi oleh kumpulan pemuda bermotosikal dan puluhan
buah kereta ke Padang Banda Hilir, Melaka.
5. Sebaik sahaja tiba di Padang Banda Hilir, Melaka,
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memulakan ucapan
terima kasih diatas sokongan padu yang diberikan.
Seterusnya, Tunku mengumumkan bahawa menurut
Perjanjian Kemerdekaan yang ditandatangani pada 8
Februari 1956, Persekutuan Tanah Melayu akan
mencapai kemerdekaan dengan rasminya pada 31 Ogos
1957 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Sila Semak Semasa Ucapan Dibacakan
6
6. Serentak dengan pengumuman kemerdekaan itu,
laungan keramat “Merdeka” bergema di Padang Banda
Hilir yang kini dikenali sebagai Dataran Pahlawan.
Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan oleh 100,000
orang yang hadir dari seluruh pelosok Persekutuan
Tanah Melayu. Sejarah ulung telah tercipta pada masa
itu di bumi Melaka ini. Sehubungan itu, mewakili
seluruh rakyat negeri ini, saya ingin merakamkan
setinggi-tinggi terima kasih atas penghargaan dan
pengiktirafan yang diberikan kepada Melaka pada tahun
ini.
Dif-dif kehormat dan hadirin hadirat yang saya hormati,
MELAKA BERWIBAWA: PINTAR, HIJAU DAN BERSIH
7. Kita bersyukur kerana pentadbiran Kerajaan Negeri
Melaka hari ini seiring dengan Kerajaan Persekutuan
yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad. Hari ini, tugas besar kita bukan
sahaja untuk membina dan mengembalikan kewibawaan
Melaka, tetapi memastikan setiap janji memenuhi
kehendak dan harapan rakyat, berkeupayaan tinggi,
Sila Semak Semasa Ucapan Dibacakan
7
bertaraf global, mementingkan budaya dan warisan,
progresif serta demokratik melalui inisiatif Pintar, Hijau
dan Bersih
Dif-dif kehormat dan hadirin hadirat yang saya hormati,
TAHUN MELAWAT MELAKA 2019
8. Pada tahun ini, Melaka bersama-sama Pahang,
Sabah dan Sarawak telah dipilih untuk program Tahun
Melawat Malaysia 2020. Misi Tahun Melawat Melaka
2019 atau #visitmelaka2019 akan menjadi agenda
utama kerajaan negeri dalam menyokong pelaksanaan
Tahun Melawat Malaysia 2020 yang merupakan platform
utama Melaka dalam mempromosi negeri bersejarah ini
ke persada antarabangsa di samping merealisasi
sasaran kehadiran 20 juta pelancong.
9. Sehingga suku tahun pertama 2019, sejumlah 4.79
juta pelancong telah berkunjung ke Melaka dengan
pelancong tempatan 3.4 juta orang dan pelancong asing
1.38 juta orang. Pada tahun 2018, Melaka telah berjaya
menerima kehadiran 17.02 juta pelancong. Kejayaan
ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam
Sila Semak Semasa Ucapan Dibacakan
8
menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan
terunggul bertepatan dengan tema “Melawat Melaka
Bersejarah Bererti Melawat Malaysia” dan “Melaka
Bandaraya Warisan Dunia UNESCO”.
Dif-dif kehormat dan hadirin hadirat yang saya hormati,
KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG
10. Saya bersyukur kerana Melaka terpilih sebagai
negeri pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang. Saya
menyeru rakyat Melaka khususnya dan rakyat Malaysia
amnya untuk bersama-sama menunjukkan semangat
patriotik mengibarkan Jalur Gemilang di semua
kediaman, premis-premis perniagaan, bangunan
pejabat, rumah ibadat, sekolah-sekolah dan lain-lain bagi
menunjukkan rasa cinta kita terhadap negara.
11. Saya juga menyeru warga Melaka dan rakyat
Malaysia agar menolak segala unsur rasuah dalam
amalan dan budaya kehidupan. “Malaysia Bersih” yang
kita uar-uarkan ini perlu membawa makna yang
signifikan agar kita bersatu padu, mengorak langkah
Sila Semak Semasa Ucapan Dibacakan
9
membina Malaysia Baharu dan Melaka yang lebih
berwibawa.
12. Justeru, besarlah hasrat kerajaan negeri agar
semangat cintakan negara dapat dipupuk dan jalinan
perpaduan dapat dieratkan bagi menjadikan Malaysia
khususnya Melaka, sebuah negara dan negeri yang
bukan sahaja maju tetapi juga mempunyai rakyat yang
berjati diri tinggi serta berintegriti seiring dengan amanat
yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri.
Dif-dif kehormat dan hadirin hadirat yang saya hormati,
TERIMA KASIH RAKYAT MELAKA 13. Akhir kata, sekali lagi saya mewakili rakyat
negeri ini mengucapkan terima kasih tidak terhingga
kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad atas keprihatinan Tun dalam
memastikan Melaka terus maju dan berjaya. Semoga
kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan
Persekutuan dapat terus terjalin erat dan diperkukuhkan.
Sila Semak Semasa Ucapan Dibacakan
10
14. Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Melaka
di atas sokongan dan kepercayaan dan berharap
hubungan yang kukuh ini dapat diteruskan bagi
merealisasi perancangan membangunkan Melaka pada
hari ini dan pada masa hadapan.
Melaka negeri penuh budaya,
Khazanah bangsa tidak terkira;
Sejarah Melaka kebanggaan negara,
Warisan dunia sama dipulihara.
Besi tembaga biar di tanah,
Emas suasa dibawa pergi,
Berakhir kata di hujung noktah,
Di lain ketika bersua kembali.
Sekian. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
-Tamat-
top related