bab_2

Post on 05-Dec-2015

237 Views

Category:

Documents

2 Downloads

Preview:

Click to see full reader

DESCRIPTION

sdf

TRANSCRIPT

15

BAB 2

SOROTAN KAJIAN-KAJIAN LEPAS

2.1 Pengenalan

Pengkaji telah merujuk kepada kajian-kajian lepas tentang fenomena percampuran

kod yang pernah dijalankan oleh pengkaji-pengkaji di luar negara mahupun setempat.

Pengkaji mendapati bahawa kebanyakan penyelidikan tentang fenomena percampuran kod

yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik sebelum ini adalah berkaitan dengan wacana

lisan, sebaliknya kajian tentang fenomena percampuran kod dalam bahasa penulisan adalah

sangat kurang.

Pengkaji juga membincangkan kajian-kajian tentang percampuran kod yang pernah

dijalankan oleh beberapa penyelidik dan sarjana di Malaysia. Kajian-kajian tentang

fenomena percampuran kod dalam bahasa iklan, bahasa internet, bahasa hiburan serta

faktor-faktor kewujudan fenomena percampuran kod juga akan pengkaji huraikan dalam

bab ini.

2.2 Definisi Percampuran Kod

16

Menurut Yu (2003:106), fenomena percampuran kod (语码混用 /语码夹杂 )

biasanya wujud dalam masyarakat yang berbilingual atau bermultilingual. Fenomena ini

berlaku apabila berlaku pertembungan antara dua masyarakat dan budaya yang berbeza.

Percampuran kod (code mixing) merupakan satu fenomena yang biasa berlaku di

kalangan mereka yang boleh berbahasa lebih daripada satu. Percampuran kod berlaku

apabila seorang bertutur mencampuradukkan bahasa atau dialek dengan bahasa atau dialek

yang lain atau antara satu dialek dengan dialek-dialek lain. Fenomena ini amat berleluasa di

Malaysia kerana di sini terdapat pelbagai jenis bahasa dan dialek seperti bahasa Melayu,

Cina, Tamil dan suku kaum serta dialek tempatannya

(http://mptkl.tripod.com/rnd/devil_02a.htm,2007).

Bokemba (1988) menyatakan bahawa percampuran kod harus dipilih sebagai istilah

yang sesuai untuk merujuk kepada alternatif dalam sesebuah kalimat. Ini menunjukkan

bahawa percampuran kod terhasil daripada pertembungan lebih daripada dua kod linguistik.

Dalam pertembungan ini, bahasa natif berperanan sebagai penyerap manakala kod-kod

yang telah dicampurkan itu mestilah wujud dalam satu-satu klausa atau ayat yang sama

dalam sesuatu ujaran. Dengan kata lain, kod-kod yang dicampurkan ke dalam bahasa natif

mesti wujud dalam satu ayat yang sama di mana sesuatu ayat dalam keseluruhan perbualan

tidak ditukarkan kepada kod baru atau digantikan dengan kod-kod baru.

Menurut Bokemba (1988), percampuran kod memerlukan sekurang-kurangnya dua

bahasa yang peraturannya diintegrasikan dalam satu ayat. Dalam kajian ini, percampuran

17

kod berlaku dalam bahasa bertulis yang berbahasa Cina, unsur-unsur bahasa Inggeris telah

disisipkan ke dalam bahasa Cina secara interlingual.

Percampuran kod boleh berlaku apabila seseorang itu mengetahui dan menguasai

lebih daripada satu bahasa. Jika penutur dapat menguasai sepenuhnya antara dua bahasa

tersebut ia dikenali sebagai ambilingual. Pengetahuan tentang kedua-dua bahasa itu tidak

sama baik pula dipanggil dwibahasaan (http://mptkl.tripod.com/rnd/devil_02a.htm,2007).

Pieter Muysken (2000) juga telah memberi definisi kepada percampuran kod seperti

berikut:

“ Code-mixing refers to all cases where lexical items and grammatical features from two languages appear in one sentence. ”

( Pieter Muysken, 2000 )

Weinreich (1953) juga telah menerangkan bahawa percampuran kod menandakan

kekurangan kemahiran dwibahasa dan penggangguan.

Ahli sosiolinguistik Holmes (2001) menyatakan bahawa dua pihak penutur dan

pendengar membuat penyesuaian dalam perbualan dengan membuat pilihan

perbendaharaan kata yang sama. Pilihan perbendaharaan kata yang sama inilah yang

mendorong manusia melakukan percampuran kod.

Dalam membincangkan percampuran kod, kita tidak boleh lari daripada istilah-

istilah seperti penukaran kod (code-switching), perubahan kod (code alternation),

percampuran bahasa (language mixing), dan kadang-kala perpindahan kod (code-shifting).

18

Istilah-istilah ini muncul secara tekal dalam perpustakaan profesional dan para sarjana

jarang bersetuju mana yang harus digunakan dan bila ia digunakan.

Pairat (1979:85) telah memberi satu definisi yang agak jelas dan lengkap tentang

percampuran kod. Menurut beliau, percampuran kod merupakan hasil secara langsung

daripada pertembungan antara satu bahasa dengan bahasa lain dalam semua peringkat

linguistik serta mengalami pelbagai proses linguistik. Dalam pertembungan ini, bahasa

natif atau bahasa pertama berperanan sebagai penyerap manakala kod lain yang

dicampurkan telah dinatifkan atau diserap masuk ke dalam bahasa natif itu. Selain itu,

percampuran kod dianggap sebagai salah satu strategi komunikatif yang digunakan oleh

pengguna-pengguna bahasa dari komuniti yang berdwibahasa atau bermultilingual.

Nababan (1984) pula melihat percampuran kod sebagai satu keadaan atau cara

berbahasa di mana pengguna-pengguna bahasa mencampurkan satu atau lebih bahasa lain

atau ragam bahasa lain ke dalam satu lakuan tuturan atau wacana (speech act atau

discourse). Dalam keadaan sedemikian, hanya kesantaian penutur atau kebiasaannya yang

menyebabkan mereka mencampurkan kod lain ke dalam sesuatu bahasa yang dituturkan

atau digunakan.

Semua istilah tersebut merujuk kepada hakikat bahasa sesetengah penutur yang

mahir dalam dua ataupun lebih banyak bahasa menggabungkan kemahiran dwibahasaan

atau multilingual itu dalam pertuturan mereka sehinggakan bahasa pertama (B1), biasanya

bahasa ibunda penutur dan bahasa kedua (B2) biasanya bahasa yang diperolehi ketika

remaja atau dewasa berkongsi tanggungjawab untuk menyampaikan mesej, terutamanya

dalam perhubungan tidak rasmi (tidak formal).

19

Braj B. Kachru (1978) telah merumuskan beberapa proses percampuran kod yang

sering wujud dalam masyarakat yang berdwibahasa atau bermultilingual, iaitu:

i. Penyisipan atau percampuran dari segi unit, iaitu mencampurkan satu item

leksis bahasa lain ke dalam bahasa asal yang digunakan.

ii. Percampuran kod dari segi frasa, umpamanya frasa nama, frasa kata kerja,

frasa adjektif atau frasa sendi nama daripada bahasa lain ke dalam ungkapan

sesuatu bahasa yang digunakan.

iii. Penyisipan dari segi ayat dan klausa, iaitu menyisipkan ayat tunggal pendek

atau klausa sesuatu bahasa ke dalam satu wacana yang berbahasa lain.

iv. Penyisipan kata kiasan dan kata kolokasi sesuatu bahasa ke dalam ungkapan

atau ayat yang berbahasa lain.

v. Menambahkan infleksi dan reduplikasi (pengganda), yakni bahasa yang

diresapi itu telah mengalami proses infleksional supaya secocok dengan

bahasa peresap atau bahasa natif. Dalam proses reduplikasi, item-item atau

perkara-perkara dari sesuatu bahasa dicampurkan ke dalam bahasa lain

dengan tujuan semantic function of indefinitization.

Dalam konteks penyelidikan ini, percampuran kod merujuk kepada penyisipan atau

percampuran dari segi unit, iaitu mencampurkan satu item leksis bahasa lain ke dalam

bahasa asal yang digunakan.

2.3 Percampuran Kod dalam Pertuturan di Malaysia

20

Percampuran kod adalah satu keadaan di mana penutur bertutur dengan

menggunakan dua atau lebih bahasa sama ada bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa

Cina dan bahasa Tamil ataupun menggunakan dialek atau ideolek. Percampuran kod

berlaku apabila penutur mengetahui lebih daripada satu bahasa, dengan kata lain penutur

ini adalah dwibahasaan. Dwibahasaan juga dikenali sebagai bilingualisme, di mana

penutur-penutur menggunakan dua bahasa dalam kehidupan hariannya. Penutur

menggunakan kedua-dua bahasa ini sebagai bahasa basahannya di mana seseorang itu

menggunakan bahasa tersebut bertukar ganti, contohnya sekejap bahasa Melayu sekejap

bahasa Inggeris dan seterusnya.

Percampuran kod (code-mixing) berlaku apabila seseorang itu menukar bahasanya

secara berganti-ganti untuk satu topik perbincangan yang sama. Misalnya, perkara yang

dibicarakan ialah ekonomi semasa. Penutur tadi akan bercakap dalam bahasa Inggeris,

kemudian disambung dengan ayat-ayat dalam bahasa Melayu. Selepas itu berbalik semula

dengan menggunakan bahasa Inggeris. Kadang-kadang istilah yang digunakan bertukar

ganti. Proses yang sama juga mungkin berlaku apabila seseorang menggunakan bahasa

Melayu yang dicampurkan dengan dialek-dialek masing-masing ketika bertutur. Proses ini

berlaku terus-menerus sehingga ke akhir perbincangan

(http://mptkl.tripod.com/rnd/devil_02a.htm, 2007).

Suthanthiradevi (2006) mendapati bahawa percampuran kod di Malaysia memang

menjadi kebiasaan dalam perbualan harian mereka. Ini kerana hampir semua penduduk di

Malaysia boleh bercakap lebih daripada sejenis bahasa. Sebagai contoh, orang-orang

Melayu yang bertutur mengikut dialeknya boleh bercakap atau memahami dalam bahasa

Melayu baku. Masyarakat Cina Malaysia pula kadang kala menguasai empat bahasa, iaitu

21

bahasa ibundanya, misalnya bahasa Kantonis, bahasa Mandarin yang diajarkan di sekolah-

sekolah Cina, bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris yang menjadi bahasa wajib

dipelajari di sekolah-sekolah bantuan kerajaan. Mereka yang tinggal di sempadan

Malaysia-Thai pula dapat memahami bahasa Thai. Percampuran kod ini berlaku sama ada

dalam majlis-majlis rasmi atau tidak rasmi. Antara tempat-tempat di mana percampuran

kod digunakan ialah di seminar-seminar ataupun di mesyuarat penting di jabatan kerajaan.

Yu (2003:26) melihat percampuran kod sebagai satu fenomena pertuturan dan

penulisan yang sering wujud dalam kalangan pengguna bahasa yang berasal dari

masyarakat yang berbilang kaum. Mereka sering mencampurkan item-item leksis lain ke

dalam bahasa yang digunakan. Beliau menjelaskan percampuran kod seperti ini tidak harus

dianggap sebagai pencemaran bahasa atau kesilapan bahasa semata-mata kerana gejala ini

memperlihatkan konsep baru dan mencerminkan perubahan di kalangan sesuatu

masyarakat.

Asmah (1982) mengatakan bahawa percampuran kod merupakan perubahan

daripada satu kod ke satu kod yang lain dalam pertuturan oleh penutur yang tertentu dan

dalam situasi yang tertentu sama ada formal atau tidak formal. Menurut beliau, istilah kod

itu adalah bermaksud bahasa, dialek atau stail. Pernyataan ini menunjukkan bahawa

percampuran kod boleh berlaku dalam bentuk interbahasa atau intrabahasa di mana ia

wujud di kalangan penutur-penutur bilingual serta juga di kalangan penutur monolingual,

misalnya penutur-penutur yang bahasa ibundanya ialah bahasa Melayu, tetapi pada masa

yang sama dia juga boleh bertutur dengan menggunakan dialek Melayu Brunei. Oleh itu,

penutur-penutur monolingual ini sering mencampurkan dialek Melayu Brunei ke dalam

bahasa Melayu Standard apabila berada dalam konteks tertentu. Dengan erti kata lain,

22

peralihan dari satu bahasa ke dialek yang berasal dari bahasa yang sama. Dengan itu

jelaslah menunjukkan bahawa istilah percampuran kod dan peralihan kod itu tidak

mempunyai banyak perbezaan.

Sementara itu, Odlin (1989: 6) mendefinisikan peralihan kod (code-switching)

sebagai fenomena yang memperlihatkan pertukaran sistematik dua bahasa di tahap leksikal,

frasa atau ayat. Penggunaan unsur bahasa asing ini berlaku pada semua peringkat

linguistik termasuk perkataan, frasa bahkan ayat pada tempat-tempat tertentu dalam sesuatu

wacana.

Menurut Kang (2001), golongan perempuan generasi muda lazimnya melakukan

pengalihan kod dan pencampuran kod dalam pertuturan mereka berbanding dengan

generasi tua. Generasi muda bukan sahaja mencampurkan kod semasa berkomunikasi

dengan penutur-penutur yang sebaya dengan mereka, tetapi juga mencampurkan kod

semasa berinteraksi dengan generasi tua.

Kang (2001) juga mendapati bahawa fenomena percampuran kod yang wujud

dalam komuniti Cina Peranakan Kelantan bukan hanya menggunakan bahasa Melayu

Kelantan sahaja. Bagi golongan yang bertaraf pendidikan tinggi, mereka suka

mencampurkan item-item leksis bahasa Inggeris ke dalam pertuturan mereka. Ini

disebabkan bahasa Inggeris dipandang sebagai lambang prestij dan ukuran taraf pendidikan

seseorang.

Selain itu, Kang (2001) mengatakan bahawa kaum wanita mempunyai sensitiviti

pemilihan dan penggunaan bahasa yang lebih tinggi daripada kaum lelaki. Kang mendapati

bahawa biasanya kaum wanita yang berpendidikan tinggi cuba mengurangkan penggunaan

23

bahasa Melayu Kelantan dengan mencampurkan item-item leksis bahasa Inggeris, bahasa

Mandarin atau dialek Hokkien tulen ke dalam pertuturan. Justeru, Kang (2001)

berpendapat bahawa fenomena percampuran kod yang berlaku di kalangan komuniti Cina

Peranakan Kelantan tidak akan pupus selagi komuniti tersebut bermulti bahasa dan

terdedah kepada bahasa-bahasa lain. Menurut beliau, faktor pendidikan memainkan

peranan penting di mana ia telah memperkayakan jenis bahasa yang digunakan oleh

seseorang pengguna bahasa apabila melakukan percampuran kod.

Berdasarkan pendapat Asmah (1985), konteks atau situasi merupakan salah satu

faktor yang menentukan berlakunya percampuran kod dan pengalihan kod. Fenomena

percampuran kod kerap wujud dalam kalangan pengguna-pengguna bahasa yang berasal

dari komuniti yang berbilingual atau bermonolingual seperti yang terdapat di Malaysia.

Asmah (1985:149) juga mendapati penutur-penutur melakukan percampuran kod untuk

tujuan mengakomodasikan perbualan secara bersemuka atau perbualan tanpa bersemuka.

Pairat Waire, 1978 (dlm Kang, 2001) pula mengkaji fenomena percampuran kod di

negara Thai. Menurut beliau, dalam proses perkembangan bahasa Thai, banyak kata

pinjaman bahasa Thai dipinjam dari bahasa Sanskrit, bahasa Cina dan bahasa Khmer.

Kata-kata pinjaman ini kemudiannya digabungkan dengan bahasa Thai. Beliau juga

menunjukkan bahawa percampuran kod dalam bentuk interlingual dan intralingual wujud

secara berdampingan antara satu sama lain. Dapatan penyelidikan beliau juga

menunjukkan bahawa unsur-unsur bahasa Inggeris juga terdapat dalam bahasa Thai pada

peringkat leksikal mahupun pada tahap ayat. Ini jelas menunjukkan bahawa percampuran

kod bahasa Inggeris ke dalam bahasa Thai adalah amat ketara dalam perlakuan berbahasa

di kalangan pengguna-pengguna bahasa Thai.

24

Percampuran kod bahasa ialah fenomena biasa bagi semua masyarakat di

dunia. Penutur yang boleh berbahasa lebih daripada satu, tidak kira bahasa utama atau

dialek-dialek daerah secara sedar atau tidak akan mencampurkan bahasa-bahasa yang

diketahuinya mengikut situasi semasa. Kadang-kala, ia menambahmesra perhubungan

antara satu sama lain apabila percampuran bahasa digunakan. Sejak kebelakangan ini, ahli-

ahli linguistik semakin sedar akan wujudnya kesejagatan bahasa. Ini dapat dilihat apabila

dua penutur yang berlainan bahasa menggunakan satu bahasa standard yang dapat

memudahkan maklumat yang ingin disampaikan untuk difahami. Oleh itu, tidak mustahil

setiap penutur pada masa akan datang dapat memahami bahasa penutur lain jika ia

dicampuradukkan dengan bahasa standard di sesuatu tempat. Apabila keadaan ini berlaku,

sudah tentu semua penutur mengetahui makna hampir setiap ujaran dan bahasa menjadi

satu yang sejagat sifatnya.

2.3.1 Bahasa Rojak

Menurut Awang (2005) yang mengkaji bahasa rojak, beliau mendapati bahawa

bahasa rojak merupakan satu bentuk kerancuan bahasa dalam bidang linguistik atau ilmu

bahasa, sebenarnya tidak pernah wujud istilah bahasa rojak. Istilah ini ditimbulkan oleh

sejumlah orang yang melihat adanya fenomena bahasa yang bercampur aduk antara bahasa

Melayu dengan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris.

Menurut beliau, fenomena percampuran dalam penggunaan bahasa sebenarnya

bukan fenomena baru walaupun istilah bahasa rojak itu agak baru. Dalam bidang

sosiolinguistik, dikenal satu ragam bahasa yang disebut bahasa pijin dan ragam ini sudah

25

sekian lama wujud dalam sejarah perkembangan bahasa manusia. Dalam konteks

masyarakat di Malaysia, masyarakat Cina Baba, misalnya, menuturkan satu ragam bahasa

Melayu yang memperlihatkan percampuran unsur bahasa Melayu dengan dialek Cina.

Walau bagaimanapun, ragam bahasa masyarakat Cina Baba ini masih dianggap sebagai

variasi bahasa Melayu (Awang, 2005).

Menurut Zulkeflee (2006), penutur bahasa rojak antara bahasa Melayu dan bahasa

Inggeris atau percampuran kod bahasa memperlihatkan penutur tidak cekap berbahasa dan

celaru idea atau tidak konsisten fikiran kerana bahasa merupakan alat fikiran. Penutur

mempunyai pilihan sama ada bercakap dalam bahasa Melayu atau bahasa lain sepenuhnya.

Fenomena bahasa rojak (code-mixing) boleh dikategorikan kepada beberapa

peringkat iaitu peringkat perkataan, frasa dan ayat (Anzaruddin Ahmad, 2007).

Sebenarnya, ramai yang salah faham akan fenomena bahasa rojak ini.

Penyalahfahaman dan kekeliruan ini timbul kerana mereka menyamakan fenomena bahasa

rojak dengan penyerapan (peminjaman) kosa kata atau istilah asing. Bahkan timbul fitnah

bahawa orang yang sibuk memperkatakan tentang bahasa rojak kononnya tidak sedar akan

kewujudan belasan ribu perkataan dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa

asing. Sebenarnya, fenomena peminjaman kosa kata daripada bahasa asing adalah tidak

sama dengan gejala bahasa rojak (Awang Sariyan, 2005).

Hal ini demikian, sebelum sesuatu istilah diserap masuk ke bahasa Melayu, ia

terpaksa melalui satu proses integrasi sama ada dari segi fonologi mahupun morfologinya

sehingga tidak ketara lagi ciri-ciri “asingnya”. Lebih tepat lagi, penyerapan istilah-istilah

26

asing ke bahasa Melayu dilakukan melalui proses pengubahsuaian linguistik sehingga

akhirnya perkataan atau frasa itu dapat diterima sebagai sebahagian daripada khazanah

bahasa Melayu (Awang Sariyan, 2005:7). Unsur bahasa asing yang telah mengalami

pengubahsuaian fonologi atau morfologi dalam bahasa penerima inilah yang dikategorikan

sebagai kata pinjaman (serapan) (Jacobson, 2004:4-5).

Perbezaan penting di sini adalah dalam kes penyerapan istilah-istilah asing dalam

kaedah atau tatacara yang tertentu. Sedangkan bahasa rojak ialah satu ragam bahasa

bahasa Arab dalam wacana atau ujaran bahasa Melayu sehingga bercampuraduk di antara

bahasa Melayu dengan bahasa Arab Standard dan dialek Arab Mesir. Dalam erti kata lain,

dalam kes bahasa rojak, istilah-istilah asing dibawa masuk ke dalam struktur bahasa

Melayu dengan sesuka hati tanpa melalui sebarang proses asimilasi.

Sebenarnya, jika unsur bahasa asing diambil dan digunakan dengan bersistem, tidak

ada masalahnya. Misalnya perkataan “situasi” yang berasal dari bahasa Inggeris (situation),

telah diterima sebagai perkataan Melayu setelah diubahsuai ejaan dan sebutannya. Begitu

juga perkataan “dilema”, “fenomena”, “insiden” dan ribuan lagi istilah yang telah diserap

ke dalam bahasa Melayu. Penggunaan semua perkataan itu dalam struktur bahasa Melayu

tidak boleh dianggap sebagai bahasa rojak. Oleh itu, pada pandangan pengkaji, kekeliruan

ini perlu dijelaskan supaya tidak akan menimbulkan salah faham.

2.3.2 Bahasa Basahan

Bahasa basahan ialah bahasa yang bersifat percakapan atau basahan. Bahasa

basahan ini ialah bahasa pertuturan sehari-hari. Bahasa ini tidak mementingkan unsur

27

tatabahasa kerana yang dipentingkan ialah kefahaman antara penutur dan pendengar. Oleh

itu, ia tidak digunakan dalam penulisan atau ucapan rasmi. Bentuknya pula sering

dipengaruhi oleh dialek dan slanga daerah. Percampuran kod merupakan salah satu ciri-ciri

bagi bahasa basahan. Dalam penggunaan bahasa kolokial, kod yang pelbagai sering

digunakan. Penggunaan lebih daripada sejenis bahasa yakni mencampurkan kod dalam

pertuturan ini disebabkan masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan

keturunan.

2.3.3 Perbezaan Percampuran Kod, Bahasa Rojak dan Bahasa Basahan

Jacobson (2004: 4) menyenaraikan bahasa rojak dan peralihan kod sebagai akibat

dari pertembungan dua budaya masyarakat yang berbeza. Namun, beliau membezakan

antara kedua-duanya iaitu bahasa rojak (code-mixing) dan peralihan kod (code-switching).

Peralihan kod (code-switching) yang dimaksudkan di sini ialah penggunaan unsur bahasa

asing yang belum mengalami integrasi fonologi atau morfologi, atau yang telah dibawa

masuk ke dalam bahasa penerima dalam bentuknya yang asal sekadar dianggap sebagai

peralihan kod (Jacobson, 2004 : 4-5).

Menurut Nik Safiah (1988), peralihan kod (code-switching) ialah fenomena yang

memperlihatkan perubahan dalam penggunaan bahasa atau jenis bahasa yang diketahui

seseorang mengikut keadaan tertentu. Ia berlaku apabila seseorang penutur yang sedang

bercakap dalam sesuatu bahasa, tiba-tiba menukar sebahagian (perkataan atau frasa)

daripada percakapannya kepada sesuatu bahasa atau variasi bahasa yang lain atas sebab-

sebab tertentu. Menurut beliau, bahasa rojak adalah percampuran kod (code-mixing), yakni

keadaan apabila penutur mencampurkan dua atau lebih bahasa atau variasi bahasa dalam

28

sesuatu situasi penggunaan bahasa (Nik Safiah, 1988: 46-47). Perlu diingatkan bahawa

bahasa rojak (code-mixing) berbeza dengan gabungan bahasa (mixed language).

Percampuran kod merupakan salah satu ciri-ciri bagi bahasa basahan iaitu bahasa

yang bersifat percakapan, yakni bahasa tidak berlaras formal. Kedua-dua konsep ini tidak

mementingkan tatabahasa kerana yang dititikberatkan ialah kefahaman antara penutur dan

pendengar.

2.4 Percampuran Kod dalam Bahasa Iklan

Menurut Hoo (2002) pula, item-item leksis dialek Kantonis juga dicampurkan ke

dalam iklan-iklan bahasa Cina di Malaysia. Ini disebabkan filem-filem, lagu-lagu dan

drama-drama bersiri dialek Kantonis telah berkembang dengan berleluasa dan telah

menjadi hiburan pengguna-pengguna bahasa berbangsa Cina di Malaysia. Fenomena ini

menggalakkan mereka sering mencampurkan kata-kata atau frasa-frasa dialek Kantonis ke

dalam pertuturan bahasa Cina. Mereka menggunakan dialek Kantonis untuk berinteraksi

antara satu sama lain di konteks yang kurang formal.

Tambahan pula, percampuran dialek Kantonis ke dalam iklan-iklan perniagaan

setempat yang berbahasa Cina adalah sesuai dengan cita rasa dan stail bertutur golongan

penutur tersebut. Selain itu, sesetengah item-item leksis dialek Kantonis yang bergaya,

moden atau bertrend juga dicampurkan secara sengaja ke dalam ungkapan iklan bahasa

Cina supaya menarik minat golongan pembaca yang berbangsa Cina di Malaysia.

29

Menurut Chan (2004), fenomena percampuran kod memang wujud dalam laras

bahasa iklan akhbar-akhbar bahasa Cina di Malaysia. Ini disebabkan Malaysia terdiri

daripada penduduk yang berbilang kaum yang dapat menguasai bahasa dan budaya masing-

masing sehingga menyebabkan mereka bermultilingual dan bermultibudaya. Beliau juga

menyatakan bahawa pengiklan-pengiklan Cina di Malaysia biasanya mencampurkan item-

item leksis bahasa Inggeris ke dalam iklan bahasa Cina.

Selain itu, pengiklan-pengiklan akhbar bahasa Cina setempat juga cenderung

mencampurkan dialek-dialek Cina, kata seru bahasa Inggeris yang tidak diterjemahkan dan

item-item leksis bahasa Inggeris yang bertrend ke dalam iklan-iklan perniagaan yang

berbahasa Cina. Dapatan kajian beliau juga menunjukkan bahawa kata-kata adjektif

bahasa Inggeris bertrend yang berbunyi “hit”, “cool”, “up-date” dan “in” telah

dicampurkan ke dalam iklan-iklan perniagaan bahasa Cina setempat. Ini disebabkan oleh

kata-kata adjektif bahasa Inggeris tersebut singkat, mudah disebut dan senang diingat,

lebih-lebih lagi sesuai dengan cita rasa pembaca yang mengagung-agungkan bahasa

Inggeris.

Lau (2007) mengkaji fenomena percampuran kod dalam iklan-iklan perniagaan

bahasa Cina dalam akhbar-akhbar bahasa Cina di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa

kebanyakan item leksis yang dicampurkan ke dalam iklan-iklan perniagaan bahasa Cina

setempat merupakan kata nama, kata adjektif dan kata kerja bahasa Inggeris. Kebanyakan

item leksis bahasa Inggeris yang dicampurkan ke dalam ayat-ayat iklan bahasa Cina bukan

sahaja bermorfem singkat dan mudah disebut, tetapi juga merupakan item-item leksis

bahasa Inggeris yang lazim digunakan dan didengar oleh pengguna-pengguna bahasa di

30

Malaysia. Begitu juga, kebanyakan kata sifat bahasa Inggeris yang disisipkan merupakan

item-item leksis yang bertrend dan bersifat kemodenan.

Selain itu, kebanyakan item-item leksis bahasa Inggeris yang dicampurkan ke

dalam tema atau ayat huraian iklan perniagaan bahasa Cina Malaysia adalah bersifat bahasa

lisan dan telah diakronimkan. Beliau juga mendapati item leksis bahasa Inggeris yang

berbunyi “no.1” kerap dicampurkan ke dalam iklan-iklan komersial bahasa Cina di

Malaysia.

Lau (2007) mendapati bahawa item-item leksis bahasa Inggeris yang telah

dicampurkan ke dalam ayat-ayat iklan perniagaan bahasa Cina setempat adalah

diakronimkan, singkat, bersuku kata pendek, belum diterjemahkan ke dalam bahasa Cina,

bersifat bahasa lisan serta memperlihatkan kemodenan dan trend penggunaan bahasa

Inggeris. Selain itu, terdapat juga item-item leksis yang dicampurkan itu tidak boleh

dijelaskan dengan menggunakan bahasa Cina. Di samping itu, faktor latar belakang

Malaysia yang bermultilingual dan berbilang kaum, kebiasaan mencampurkan kod dalam

pertuturan di kalangan masyarakat Malaysia serta status bahasa Inggeris yang tinggi turut

mengakibatkan kata-kata bahasa Inggeris tertentu dicampurkan ke dalam ayat-ayat iklan

komersial bahasa Cina di Malaysia.

Tambahan pula, faktor keekonomian dan struktur linguistik item-item leksis bahasa

Inggeris berkenaan juga mengakibatkan kewujudan fenomena percampuran kod. Lebih-

lebih lagi, laras bahasa iklan bukan laras formal serta ketiadaan item-item leksis bahasa

Cina yang sesuai digunakan untuk menggelarkan sesuatu dalam iklan, maka faktor-faktor

ini turut menyebabkan kata-kata bahasa Inggeris tertentu dicampurkan ke dalam ayat-ayat

31

iklan perniagaan setempat yang berbahasa Cina. Fenomena percampuran kod dalam ayat-

ayat iklan komersial bahasa Cina di Malaysia turut menonjolkan ciri-ciri khas bahasa iklan

di samping menunjukkan perbezaan antara bahasa Cina Malaysia dengan Putonghua

(bahasa Mandarin Beijing).

2.5 Percampuran Kod dalam Bahasa Internet

Chen (2003) mendapati bahawa pengaruh internet terhadap perkembangan bahasa

Cina Standard adalah amat ketara sehingga terhasil ragam bahasa yang bersifat khas dan

berbeza dengan bahasa Cina Standard. Bahasa Cina tidak standard merupakan bahasa Cina

internet yang bercampur aduk dengan angka-angka, emotikon-emotikon, akronim-akronim

dan item-item leksis bahasa Inggeris yang baru dan menyelewang daripada nahu yang

standard.

Menurut Su (2003: 125), kebanyakan pengguna bahasa Cina generasi muda yang

berkomunikasi melalui bilik sembang internet, BBS, ICQ atau e-mail, mereka cenderung

mencampurkan sepatah dua kata bahasa Inggeris atau ayat ringkas bahasa Inggeris seperti

“nice to meet you” ke dalam ayat-ayat bahasa Cina. Selain itu, mereka juga kerap

mencampurkan singkatan-singkatan atau akronim-akronim bahasa Inggeris yang tidak

standard seperti “IC (I see)”, “bb (bye-bye)”, “tq (thank you)”, “u (you)”, “ur (your)”, “c u

(see you)” dan sebagainya ke dalam ayat-ayat internet bahasa Cina. Memang tidak dapat

dinafikan bahawa bilik sembang internet, BBS, ICQ atau e-mail merupakan konteks

komunikasi yang tidak formal, maka ini turut membenarkan fenomena percampuran kod

wujud dalam ayat-ayatnya. Tambahan pula, bahasa internet bukan merupakan laras bahasa

32

formal, maka ini juga turut mengizinkan fenomena percampuran kod wujud dalam bahasa

internet.

Lee (2007) mendapati bahawa imbuhan akhiran bahasa Inggeris iaitu “ing” juga

disisipkan ke dalam bahasa Cina internet, misalnya “伤心 ing” dan “消音 ing”. Ini jelas

memperlihatkan penggunaan bahasa yang mengalami perubahan dinamik.

2.6 Percampuran Kata Akronim Bahasa Inggeris

Menurut Yu (2003), banyak item leksis baru bahasa Inggeris wujud kebelakangan

ini sehingga menjadi masalah menonjol dalam bidang linguistik. Setiap pengguna bahasa

(termasuk pengguna bahasa Cina) kerap menggunakan akronim-akronim dan singkatan-

singkatan bahasa Inggeris seperti “IP”, “CEO” dan “E-MAIL” dalam kehidupan seharian,

maka ini menyebabkan mereka juga kerap mencampurkan kata-kata bahasa Inggeris

tersebut ke dalam ayat pertuturan seharian.

Tambahan pula, perkataan huruf (字母词 zìmǔ cí)atau akronim bahasa Inggeris

seperti “MTV” dan “CCTV” adalah mudah diingati dan ditulis, maka ini lebih mudah

diterima oleh masyarakat umum lalu digunakan. Oleh sebab kekerapan penggunaan

akronim-akronim bahasa Inggeris tersebut dalam kehidupan seharian adalah tinggi, maka

kebanyakan pengguna bahasa Cina dapat mengingatinya dan biasa dengannya. Ini bukan

sahaja menyebabkan kata-kata tersebut diserap ke dalam perbendaharaan kata bahasa Cina,

tetapi juga dicampurkan ke dalam ayat-ayat bahasa Cina.

33

2.7 Percampuran Kod dalam Bahasa Hiburan

Terdapat juga ahli-ahli linguistik yang mengkaji laras bahasa hiburan dari beberapa

aspek seperti dari segi sosiolinguistik, psikolinguistik, leksis dan budaya linguistik. Namun,

pengkaji mendapati bahawa kajian-kajian yang dijalankan oleh sarjana-sarjana di Malaysia

tentang fenomena percampuran kod dalam laras bahasa hiburan adalah kurang.

You (2003) pernah mengkaji bahasa hiburan dalam akhbar-akhbar bahasa Cina

terbitan Hong Kong. Beliau mendapati bahawa banyak dialek Kantonis yang bertrend dan

kerap digunakan oleh pengguna-pengguna bahasa di Hong Kong telah dicampurkan secara

intralingual ke dalam ayat-ayat hiburan bahasa Cina. Tambahan pula, beliau juga

mendapati bahawa beberapa item leksis bahasa Inggeris yang berunsur kemodenan seperti

“in”, “hot”, “high”, “cool” dan “hit” telah dicampurkan secara interlingual ke dalam ayat-

ayat berita hiburan dalam majalah-majalah bahasa Cina di Hong Kong.

Beliau menyatakan bahawa ini merupakan salah satu teknik penggunaan bahasa

yang bertujuan untuk menarik perhatian golongan pembaca khususnya golongan remaja

yang mengagungkan trend dan kemodenan. Oleh sebab bahasa hiburan bukan laras bahasa

formal, maka ini mengizinkan fenomena percampuran kod wujud dalamnya. Ini telah juga

menonjolkan ciri-ciri istimewa laras bahasa hiburan di Hong Kong.

Oleh sebab bahasa hiburan tidak seformal bahasa akademik, bahasa perundangan,

bahasa keagamaan dan bahasa pentadbiran, maka ini turut mengizinkan fenomena

percampuran kod wujud dalam ayat-ayat laras hiburan. Tambahan pula, golongan pembaca

berita hiburan adalah terdiri daripada golongan dari semua lapisan masyarakat, maka laras

bahasa hiburan tidak boleh terlalu formal dan rasmi agar sesuai dengan cita rasa pembaca

34

yang tidak berpendidikan tinggi. Selain itu, pencampuran sepatah dua kata bahasa Inggeris

yang menunjukkan aliran ala Barat tidak membosankan pembaca berita hiburan.

Fenomena percampuran kod sebegini juga wujud dalam masyarakat Singapura dan

Malaysia yang bermulti bahasa dan berbilang kaum.

Selain itu, pengkaji berpendapat bahawa percampuran kod sebegini adalah

fenomena linguistik yang tidak dapat dielakkan. Tambahan pula, kebanyakan kata-kata

nama khas yang dicampurkan adalah diketahui oleh pembaca. Sekiranya kata-kata nama

khas bahasa Inggeris berkenaan diterjemahkan ke dalam bahasa Cina, kemungkinan besar

akan menimbulkan kesulitan kepada pihak pembaca kerana pembaca berita hiburan

mungkin tidak tahu akan makna kata nama terjemahan.

2.8 Faktor-faktor Wujudnya Fenomena Percampuran Kod

Menurut Soepomo (2005), kod boleh beralih dari satu variasi ke variasi yang lain.

Peralihan ini dapat menuju dari yang formal kepada yang tidak formal, dari yang paling

menghormati kepada yang tidak menghormati, dari yang amat lengkap ke arah yang paling

ringkas, dari dialek yang kurang dikuasai ke dialeknya sendiri dan sebagainya. Di negara

Brunei Darussalam, fenomena percampuran kod pada peringkat masyarakat ditemui pada

situasi-situasi yang formal atau yang tidak formal dan lebih banyak berlaku di kalangan

pemuda-pemudi. Menurut beliau, terdapat beberapa faktor yang mendorong berlakunya

percampuran kod di kalangan pengguna-pengguna bahasa di Brunei. Antaranya adalah

seperti berikut:

35

( i ) Sistem pendidikan negara yang berlandaskan kedwibahasaan cenderung

mencampurkan kod yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Kedua-dua bahasa ini adalah sangat dominan di kalangan pengguna bahasa. Justeru,

percampuran kod sudah menjadi kebiasaan dalam pertuturan seharian. Tambahan pula,

bahasa Inggeris yang dicampurkan ke dalam bahasa natif juga digunakan sebagai bahasa

perhubungan dalam urusan perniagaan sama ada di sektor awam ataupun swasta.

( ii ) Unsur kemodenan, di mana percampuran kod merupakan gaya bahasa yang

terkenal masa kini terutamanya percampuran kod yang melibatkan bahasa Melayu dan

bahasa Inggeris atau sebaliknya. Penggunaan seumpama ini digunakan sengaja kerana

keinginan penutur untuk menunjukkan ketinggian status sosialnya serta menunjukkan

dirinya orang yang berpelajaran tinggi. Sifatnya yang riyak atau ingin menunjukkan

kebolehannya bertutur dalam dua bahasa mengakibatkan penutur-penutur cenderung

mencampurkan kod semasa bertutur dengan penutur-penutur lain.

( iii ) Faktor ekonomi, iaitu memilih perkataan yang lebih mudah dan tidak

kompleks sifatnya. Sebagai contoh, biasanya penutur-penutur bahasa Melayu menyisipkan

kosa kata bahasa Inggeris untuk menggantikan kosa kata bahasa Melayu yang bersuku kata

panjang, misalnya kata “result” yang terdiri daripada dua suku kata sering digunakan untuk

menggantikan “keputusan” yang mempunyai empat suku kata.

( iv ) Nilai makna. Penutur-penutur bahasa Melayu sering menggunakan kosa kata

bahasa Inggeris untuk menyampaikan sesuatu yang ingin diungkapkan kerana sukar untuk

mencari item leksikal dalam bahasa Melayu. Jika penutur ingin menyampaikannya dalam

bahasa Melayu akan melibatkan penghuraian yang panjang, misalnya kata “mood” lebih

36

kerap digunakan sekiranya berbanding dengan “perasaan hati” dalam pengertian bahasa

Melayu. Justeru, percampuran kod berlaku kerana sukar menemui kata-kata yang tepat

untuk mengungkapkan sesuatu yang tersirat dalam fikiran. Demi menyampaikan

pengertian atau maksud yang padanannya tidak terdapat dalam bahasa Melayu atau yang

tidak diwakili oleh item-item leksis yang sedia ada, pengguna-pengguna bahasa terpaksa

menggunakan kata, frasa atau ungkapan bahasa Inggeris. Ini turut mewujudkan fenomena

percampuran kod antara bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.

( v ) Penutur-penutur ingin merahsiakan sesuatu daripada diketahui oleh pendengar

lain yang terlibat dalam peristiwa tutur, misalnya kedua-dua penutur yang bertutur dalam

bahasa Melayu itu akan mencampurkan kod lain atau beralih kod ke bahasa Inggeris yang

kurang difahami atau diketahui oleh pendengar yang berdekatannya agar merahsiakan topik

atau isi perbualan.

( vi ) Dipengaruhi oleh status peserta yang terlibat. Ini bermaksud pentingnya

penutur perlu mengetahui status peserta yang terlibat agar yang dituturkan itu difahami

oleh peserta tersebut. Misalnya, seorang pegawai tinggi kerap menggunakan percampuran

kod yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu standard dan dialek Melayu Brunei ketika

berucap di hadapan penduduk kampung yang kebanyakannya berasal dari golongan yang

berpendidikan rendah dan warga tua. Begitu juga semasa dalam sesi pengajaran di bilik

darjah, guru juga cenderung menggunakan kaedah percampuran kod agar dapat

memudahkan kefahaman pelajar-pelajar.

( vii ) Faktor peserta interaksi, iaitu apabila berlakunya pertembungan antara dua

masyarakat yang mengamalkan budaya yang berbeza dan memperoleh bahasa pertama atau

37

bahasa ibunda yang berlainan. Sebagai contoh, apabila penutur Cina berinteraksi dengan

penutur Melayu, maka mereka sering menggunakan percampuran kod agar difahami oleh

peserta tutur di samping membolehkan perbualan berkenaan berjalan dengan lancar tanpa

tergendala.

( viii ) Percampuran kod turut berlaku disebabkan aktiviti peminjaman bahasa, iaitu

penggunaan istilah-istilah khusus dalam bidang-bidang tertentu seperti ekonomi, sains

teknologi dan sebagainya. Penggunaan istilah khusus daripada bahasa Inggeris atau bahasa

lain ke dalam bahasa Melayu mungkin mengakibatkan pengguna bahasa menganggap

bahawa kosa-kosa kata yang digunakannya itu merupakan kata-kata pinjaman, tetapi

sebenarnya kosa-kosa kata bahasa Inggeris yang digunakannya dalam penyampaian bahasa

Melayu itu bukan kata-kata pinjaman tetapi merupakan fenomena percampuran kod.

( ix ) Kurangnya galakan yang diberikan oleh orang yang diajak bercakap.

Misalnya apabila kita ingin bertutur dalam bahasa Melayu Standard dengan sepenuhnya,

kita akan dianggap sombong seolah-olah kita ingin menunjukkan diri kita sendiri. Hal ini

akan memburukkan keadaan lagi sekiranya kita berinteraksi dengan golongan yang tinggi

pendidikannya dan berkebolehan dalam menguasai bahasa Melayu Standard sepenuhnya.

Ini turut mengakibatkan percampuran kod berlaku. Di kalangan penutur yang monolingual

pula, percampuran kod adalah melibatkan penggunaan bahasa Melayu Standard yang

bercampuraduk dengan dialek Melayu Brunei yang berasal dari bahasa yang sama.

Menurut Soepomo (2005), faktor-faktor yang dinyatakan di atas itu jelas

menunjukkan bahawa percampuran kod sering berlaku dalam situasi tidak formal kerana

38

dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti persekitaran, sosiobudaya, pendidikan, psikologi

pengguna bahasa dan sebagainya.

Berdasarkan beberapa alasan yang menyebabkan berlakunya percampuran kod yang

telah dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa percampuran kod banyak memberi

sumbangan dan keperluan dalam perhubungan sehari-hari sama ada di rumah, sekolah,

pejabat dan sebagainya. Pada umumnya, kita sudah mengetahui bahawa percampuran kod

berlaku tanpa kita sedari memandangkan keadaan ini sudah sebati dengan kehidupan

sehari-hari dari peringkat awal lagi.

Percampuran kod juga merupakan satu kepentingan kerana ia dapat melicinkan atau

melancarkan komunikasi. Dalam erti kata lain dapat memudahkan pemahaman kepada

orang yang diajak bercakap dengan beralih kod ke kod yang mudah difahami.

Percampuran kod ini mungkin disebabkan oleh faktor pendidikan yang berdasarkan sistem

dwibahasa yang diterima serta pengaruh persekitaran sama ada pergaulan sosial atau

pengaruh dari bahasa ibunda.

Walau bagaimanapun, Soepomo (2005) juga menyelitkan implikasi percampuran

kod terhadap tamadun bangsa. Sekiranya kita memperkatakan tentang tamadun bangsa,

percampuran kod tidak sama sekali menggambarkan tamadun tinggi kerana bahasa yang

bercampur aduk tidak mempunyai sistem bahasa yang teratur. Tambahan pula, dalam

pertumbuhan dan perkembangan mana-mana tamadun, bahasa yang rasmi dan baku itu

memang diperlukan untuk tujuan pemikiran, ilmu dan bidang kehidupan lain yang

mencerminkan ketinggian tamadun bangsa itu.

39

Menurut Soepomo (2005) lagi, ciri percampuran kod yang utama adalah penutur itu

merupakan penutur dwibahasa atau multibahasa. Ini bermaksud penutur tersebut

mempunyai pengetahuan variasi bahasa lebih daripada satu. Hal ini membolehkan penutur

tersebut menyelit lebih banyak perkataan dan frasa daripada bahasa asing atau dialek-dialek

mereka yang lain ke dalam bahasa yang digunakan atau dituturi.

Ciri percampuran kod juga dapat dilihat dari aspek kelicinan perbualan penutur

tersebut. Ini bermaksud, penutur dapat berbual dengan spontan dan mengekalkan

kelancaran perbualan setiap kali percampuran kod berlaku. Oleh itu, tidak wujud perubahan

dari segi irama ayat atau jeda untuk menandakan percampuran kod. Di sini juga tidak

menunjukkan tanda bahawa penutur itu tidak memahami apa yang dicakapkannya.

Percampuran kod berlaku kerana dipengaruhi oleh keadaan tertentu.

Selain itu, menurut Yu (2003) item-item leksis bahasa Inggeris lain seperti “VCD”,

“WTO”, “IP”, “IT” dan “DNA” telah diterima oleh pengguna-pengguna bahasa Cina. Oleh

sebab item-item leksis bahasa Inggeris tersebut adalah ringkas dan tidak rumit, maka ini

mengakibatkan item-item leksis bahasa Inggeris tersebut kerap digunakan dalam ayat

bahasa Cina. Misalnya, sekiranya “DNA” ditukar ke dalam terminologi bahasa Cina, ini

akan menjadi sangat rumit dan tidak mudah untuk difahami, maka item leksis bahasa

Inggeris dikekalkan lalu dicampurkan ke dalam ayat bahasa Cina. Justeru, pengguna-

pengguna bahasa perlu menganggap kata-kata huruf atau akronim bahasa Inggeris sebagai

sebahagian daripada sistem bahasa Cina, agar sesuai dengan zaman kini. Ini turut

menggalakkan kewujudan fenomena percampuran kod.

40

2.9 Kesimpulan

Dalam bab ini, pengkaji telah membincang kajian-kajian yang telah dijalankan oleh

penyelidik-penyelidik lepas tentang kewujudan fenomena percampuran kod dalam wacana

pertuturan dan penulisan. Ini telah membantu pengkaji mengkaji fenomena percampuran

kod dalam berita hiburan akhbar bahasa Cina di Malaysia.

BAB 3

METODOLOGI PENYELIDIKAN

3.1 Pengenalan

Penyelidikan deskriptif ini ialah satu kajian survey untuk mengkaji hasil

percampuran kod dari segi leksis dan sosiolinguistik. Dalam bab ini, pengkaji akan

membincangkan data yang dipilih bagi penyelidikan ini serta menghuraikan langkah-

langkah yang telah digunakan untuk memperoleh data-data yang diperlukan dalam

penyelidikan ini. Pengkaji menerangkan kaedah penganalisisan yang digunakan untuk

menganalisis data benar atau korpus berita hiburan akhbar bahasa Cina di Malaysia yang

memiliki fenomena percampuran kod. Perbincangan tersebut akan dibuat di bawah topik

kaedah persampelan, pengumpulan data, pemerhatian, temubual dan kaedah penganalisisan

data yang terkumpul.

3.2 Pengumpulan Data-data

top related