ajaran sesat - artikel hal berkaitan ajaran sesat

28
Pendahuluan Suatu ancaman besar kepada agama dan umat Islam di Malaysia masa kini ialah penyebaran ajaran-ajaran sesat dikalangan umat Islam yang terus berjalan dari masa ke semasa. Ajaran-ajaran ini dapat bertapak apabila saja ianya diperkenalkan. Sehingga kini hampir seluruh pelusuk rantau negara ini diresapi oleh berbagai-bagai bentuk ajaran sesat, yang datang dari berbagai-bagai tempat. Sebilangan daripada ajaran-ajaran tersebut terang-terang boleh mengheret pengikutnya keluar dari akidah dan syariah agama Islam tetapi tidak disedari oleh pengikutnya putus hubungan dengan saudara-saudara Islamnya yang lain di dalam masyarakat. Ada pula ajaran- ajaran di mana pengikutnya sanggup keluar dari agama Islam kerana mempercayai bahawa ajaran itu betul, dan pula yang sanggup menceraikan isteri, meninggalkan rumahtangga dan seterusnya melakukan kekejaman ke atas orang lain dan kadang- kadang melakukan pembunuhan. Keadaan-keadaan beginilah yang benar-benar mengancam agama dan keselamatan umat Islam di negara ini dan amat sukar diatasi sekiranya tindakan yang betul-betul berkesan tidak diambil dengan segera. Latar Belakang Sejarah kelahiran ajaran sesat atau penyelewengan akidah Islamiah ini bukanlah suatu perkara baru tapi ianya telah bermula sejak sebelum wafat Nabi Muhammad s.aw di mana telah lahir beberapa orang mendakwa dirinya sebagai Nabi selepas Rasulullah s.a.w. dan menyebarkan ajaran-ajarannya kepada umat Islam pada masa itu seperti Musailamatul Kazab, Talhah al-Asady dari Kabilah Bani Asad dan al-Aswad al-Anusi di Yaman. Pada masa ini di negara kita sudah banyak terdapat ajaran-ajaran sesat yang muncul dari semasa ke semasa di mana hampir keseluruhannya tidak dapat dihapuskan oleh pihak-pihak tertentu. Jika ditinjau masalah ajaran sesat ini ianya bukan sahaja lahir dalam masyarakat umat Islam sahaja bahkan semua agama dan semua bangsa menghadapi cabaran dengan kelahiran ajaran yang menyeleweng daripada ajaran asal seperti tragedy Guyana di mana pengikut-pengikutnya seramai 912 orang telah sanggup membunuh diri dengan meminum racun di bawah pimpinan Jim Jones. Di kalangan umat Islam Malaysia ajaran-ajaran sesat yang telah dikesan dan dipercayai paling lama usianya ialah ajaran Taslim yang telah diasaskan oleh Tuan Haji Ahmad Matahari pada akhir abad ke-17 di Kampung Seronok Bayan Lepas Pulau Pinang. Setelah Haji Ahmad Matahari meninggal ajaran ini dipimpin oleh anaknya dan setelah meninggal ia telah dipimpin oleh cucunya dan setelah cucunya juga meninggal maka ia telah dipimpin oleh orang-orang kanannya hingga ajaran ini merebak ke seluruh negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Takrif Ajaran Sesat Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam yang didakwanya berdasarkan kepada ajaran Islam, tetapi sebenarnya ajaran atau amalan tersebut adalah berlawanan dengan akidah dan syariah Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

Upload: zamzam

Post on 12-Jun-2015

2.073 views

Category:

Documents


25 download

DESCRIPTION

AJARAN SESAT - artikel hal berkaitan ajaran sesat

TRANSCRIPT

Pendahuluan

  Suatu ancaman besar kepada agama dan umat Islam di Malaysia masa kini ialah penyebaran ajaran-ajaran sesat dikalangan umat Islam yang terus berjalan dari masa ke semasa. Ajaran-ajaran ini dapat bertapak apabila saja ianya diperkenalkan. Sehingga kini hampir seluruh pelusuk rantau negara ini diresapi oleh berbagai-bagai bentuk ajaran sesat, yang datang dari berbagai-bagai tempat. Sebilangan daripada ajaran-ajaran tersebut terang-terang boleh mengheret pengikutnya keluar dari akidah dan syariah agama Islam tetapi tidak disedari oleh pengikutnya putus hubungan dengan saudara-saudara Islamnya yang lain di dalam masyarakat. Ada pula ajaran-ajaran di mana pengikutnya sanggup keluar dari agama Islam kerana mempercayai bahawa ajaran itu betul, dan pula yang sanggup menceraikan isteri, meninggalkan rumahtangga dan seterusnya melakukan kekejaman ke atas orang lain dan kadang-kadang melakukan pembunuhan.

 

Keadaan-keadaan beginilah yang benar-benar mengancam agama dan keselamatan umat Islam di negara ini dan amat sukar diatasi sekiranya tindakan yang betul-betul berkesan tidak diambil dengan segera.

  Latar Belakang

    Sejarah kelahiran ajaran sesat atau penyelewengan akidah Islamiah ini bukanlah suatu perkara baru tapi ianya telah bermula sejak sebelum wafat Nabi Muhammad s.aw di mana telah lahir beberapa orang mendakwa dirinya sebagai Nabi selepas Rasulullah s.a.w. dan menyebarkan ajaran-ajarannya kepada umat Islam pada masa itu seperti Musailamatul Kazab, Talhah al-Asady dari Kabilah Bani Asad dan al-Aswad al-Anusi di Yaman.

    Pada masa ini di negara kita sudah banyak terdapat ajaran-ajaran sesat yang muncul dari semasa ke semasa di mana hampir keseluruhannya tidak dapat dihapuskan oleh pihak-pihak tertentu. Jika ditinjau masalah ajaran sesat ini ianya bukan sahaja lahir dalam masyarakat umat Islam sahaja bahkan semua agama dan semua bangsa menghadapi cabaran dengan kelahiran ajaran yang menyeleweng daripada ajaran asal seperti tragedy Guyana di mana pengikut-pengikutnya seramai 912 orang telah sanggup membunuh diri dengan meminum racun di bawah pimpinan Jim Jones.

    Di kalangan umat Islam Malaysia ajaran-ajaran sesat yang telah dikesan dan dipercayai paling lama usianya ialah ajaran Taslim yang telah diasaskan oleh Tuan Haji Ahmad Matahari pada akhir abad ke-17 di Kampung Seronok Bayan Lepas Pulau Pinang. Setelah Haji Ahmad Matahari meninggal ajaran ini dipimpin oleh anaknya dan setelah meninggal ia telah dipimpin oleh cucunya dan setelah cucunya juga meninggal maka ia telah dipimpin oleh orang-orang kanannya hingga ajaran ini merebak ke seluruh negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

 

Takrif Ajaran Sesat

    Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam yang didakwanya berdasarkan kepada

ajaran Islam, tetapi sebenarnya ajaran atau amalan tersebut adalah berlawanan dengan akidah dan syariah Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

 

Bentuk-bentuk Ajaran Sesat

Pada masa ini terdapat beberapa jenis ajaran sesat yang dapat dibahagikan kepada tiga bentuk utama iaitu:

i. Bentuk Ajaran

  Ajaran ini biasanya lahir melalui ajaran-ajaran yang direka atau dicipta oleh seorang guru atau penganjur ajaran sesat yang menggunakan berbagai-bagai nama atau pengamalan tertentu.

 

ii. Bentuk Tarikat

Melalui bentuk tarikat ini biasanya mereka menggunakan nama-nama tarikat yang masyhur di kalangan umat Islam kerana tarikat ini telah pun diamalkan oleh ulama-ulama yang mana mereka ini mengamalkan amalan-amalan tarikat ini dengan berpandukan kepada al-Quran dan sunnah. Dengan ini meraka menggunakan nama-nama tarikat ini seperti Ahmadiah, Naqsyabandiah Sazaliah, Samaniah, Qadariah, Muffaridiah dan berbagai-berbagai lagi. Kadang-kadang nama-nama tarikat ini diciptakan mengikut ajaran tarikat ini.

 

Walaupun terdapat nama-nama yang bersamaan antara tarikat-tarikat yang direka dengan tarikat asal tetapi ternyata daripada ajaran-ajaran yang diamalkan oleh mereka dan konsep yang terdapat dalam ajaran tarikat itu terdapat unsur-unsur ataupun bahan-bahan yang boleh membawa penyelewengan akidah Islamiah dan boleh membawa pengikut-pengikutnya terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

 

iii. Melalui kepercayaan dan amalan tradisi yang berhubungan dengan amalan mistik dan kultus.

  Bentuk kepercayaan ini telah menjadi satu perkara lumrah dikalangan orang-orang Melayu Islam di negara ini kerana ianya bersifat:

 

a.    Pemujaan kepada tempat-tempat yang dianggap keramat.

b.    Pemujaan kepada orang-orang yang dianggap wali dan mempunyai kelebihan.

c.    Kepercayaan kepada kuasa-kuasa kesaktian melalui amalan-amalan seni mempertahankan diri dan sebagainya.

d.    Kepercayaan terhadap dukun-dukun atau bomoh-bomoh yang mendakwa mendapat ilmu kedukunan daripada         mimpi-mimpi atau orang-orang halus (bunian ataupun sampingan) melalui amalan cara menurun dan sebagainya.

 

Jika dilihat daripada bentuk-bentuk yang disebutkan di atas adalah menunjukkan bahawa orang-orang Islam di negara ini masih mencampuradukkan di antara pola-pola kepercayaan tradisi mereka dengan unsur-unsur agama Islam dan sekiranya pola-pola yang sedemikian tidak dapat dipisahkan dengan kepercayaan umat Islam pada hari ini, maka krisis akidah umat Islam makin meruncingkan.

 

Penjelasan Ciri-Ciri Utama Ajaran Sesat

 

i.   Mempercayai orang yang telah mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya.

Ada terdapat amalan tarikat yang mempercayai bahawa gurunya yang telah mati boleh      memberi pertolongan apabila diseru namanya.

 

Ulasan  

Semua manusia dan makhluk yang hidup di atas muka bumi ini akan mati. Manusia yang mati itu tidak akan dihidupkan kembali melainkan di hari Kiamat untuk menerima pembalasan. Dalam hal ini, Allah telah menegaskan melalui firman-Nya:

Maksudnya :

 

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.”

 

( Surah Ali-Imran:185)

  Firman Allah lagi .

Maksudnya:

  “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian akan dikembalikan kepada Kami ( untuk menerima balasan ).

(Surah al-‘Ankabuut:57)

Kehidupan dan kematian manusia tidak boleh dipisahkan. Kematian itu akan dialami oleh semua orang apabila sampai tempohnya. Kemudian seseorang itu tidak boleh dipercepatkan dan tidak juga boleh diperlambatkan, ditunda ataupun diganti. Dalam hal ini, Allah telah menegaskan bahawa kematian seseorang itu tidak boleh ditangguhkan walat sesat. Firman Allah bahawa dalam al-Quran:

 

Maksudnya:

  “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

 

Daripada ayat di atas, Allah mengaitkan orang yang telah mati itu dengan pembalasan di hari Kiamat. Allah tidak mengaitkan orang yang telah mati itu dengan orang yang masih hidup. Oleh itu, manusia yang masih hidup tidak boleh mengaitkan mereka dengan orang yang telah mati. Ini kerana apabila seseorang itu mati, maka badannya sudah tidak berperanan lagi, yang ada hanya roh sahaja. Roh itu pula tidak dapat diketahui hakikatnya oleh manusia. Hakikat roh itu pula tidak boleh difahami apatah lagi untuk mengetahui peranan-peranannya atau untuk memohon pertolongan daripadanya. Dalam keadaan seperti itu, firman Allah dalam al-Quran jelas menunjukkan:

Maksudnya:

  “Dan mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang Roh, katakanlah “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku” dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan

melainkan sedikit sahaja”. (Surah al-Israa’:85)

 

Berpandukan kepada ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa manusia tidak mampu untuk menerokai hakikat roh, ianya hanya berada dalam pengetahuan Allah sahaja. Oleh itu manusia tidak mungkin memperolehi pertolongan daripada apa yang tidak diketahui hakikatnya. Dengan itu juga menunjukkan bahawa manusia tidak mungkin memperolehi pertolongan daripada roh orang yang telah mati.

Apabila jelas menunjukkan roh orang yang telah mati boleh memberi pertolongan kepada orang yang masih hidup, maka dakwaan orang yang mengatakan bahawa seseorang itu mendapat pertolongan daripada orang yang telah mati adalah tidak benar. Sekiranya ada bukti dalam dakwaan mereka itu, maka bukti itu tidak boleh disandarkan kepada pertolongan roh. Bukti itu menunjukkan bahawa pertolongan tersebut datang daripada sumber lain seperti pertolongan daripada syaitan. Ini kerana Allah telah menjelaskan bahawa manusia itu boleh berkawan dan memperhambakan syaitan. Firman Allah:

Maksudnya

“Dan sesiapa (yang mengambil) syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.” 

( Surah an-Nisa’:38 )

 

       Begitu juga, dakwaan yang mengatakan bahawa pertolongan daripada roh orang yang telah mati boleh memberi rezeki kepada orang yang hidup tanpa bekerja adalah tidak benar. Ini kerana Allah sendiri menjanjikan bahawa setiap usaha diberi balasan. Dalam hal ini tidak sepatutnya orang yang tidak bekerja dan tidak berusaha tetapi mampu mendapat rezeki dengan hanya memohon pertolongan daripada orang yang telah mati.

Firman Allah:

Maksudnya

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (Balasan) bagi seseorang melainkan (Balasan) apa yang diusahakan

(Surah an-Najm:39)

    Penjelasan dalam hal ini hanya boleh diselesaikan oleh al-Quran dan al-Sunnah sahaja. Dalam konteks ini, seseorang hamba hanya boleh memohon pertolongan daripada Allah sahaja. Sesungguhnya Allah itu hampir kepada hamba-hamba-Nya. Allah Juga sentiasa memperkenankan permohonan orang-orang yang berdoa. 

Firman Allah:

Maksudnya:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.”

(Surah al-Baqarah:186)

  Dengan ini, nyatalah bahawa tidak ada pertolongan yang diperolehi dari menyeru nama orang yang telah mati. Pertolongan yang sebenarnya datang daripada Allah. Kepada Allahlah kita sembah dan kepada-Nya jua kita minta pertolongan.

Firman Allah :

Maksudnya:

 

“Engkau sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

 

(al-Fatihah:5)

 

 

ii.  Bersumpah merahsiakan ajaran yang diikutinya.

     Kebanyakkan ajaran sesat mensyaratkan pengikut-pengikutnya menyembunyikan ajaran yang dipelajari dari diketahui oleh orang lain kecuali pengikut-pengikut sahaja”.

Ulasan   

Perkara tersebut amat berbeza sekali dengan kehendak Islam kerana Islam adalah satu agama yang menghendaki umatnya menyeru untuk menyampaikan perkara kebaikan kepada manusia sejagat secara terus terang dan tidak bersembunyi-sembunyi.

Firman Allah:

Maksudnya:

 

“Katakanlah (Wahai Muhammad) inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku menyeru manusia semuanya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata.”

 

(Surah Yusof: 108)

    Islam berkembang melalui method dakwah iaitu dengan jalan menyeru dan meyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada manusia seluruhnya justeru itu kalau ditinjau sejarah pengutusan Rasul-rasul, kita akan dapati bahawa tugas utama mereka ialah menyeru dan menyampaikan risalah Allah S.W.T. dalam setiap zaman dan generasi. Maka sebab itulah tugas para Rasul ialah menyampaikan, bukan menyembunyikan. Mustahil bagi seseorang Rasul itu menyembunyikan risalah Allah yang diamanahkan kepadanya untuk disampaikan atau disebarkan. Jelas di sini bahawa menyampai atau mengajar sesuatu ilmu atau ajaran yang baik itu adalah dituntut oleh Islam.

    Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat-ayat yang menggesa agar menyampaikan ajaran-ajaran yang baik kepada orang ramai. Firman Allah:

Maksudnya:

 

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu." (Surah al-Maidah :67)

Allah berfirman:

Maksudnya:

“Bukankah tanggungjawab Rasul-rasul semuanya menyampaikan (Kehendak dan hukum Allah) dengan cara yang jelas dan nyata?”

    (Surah an-Nahl: 35)

Firman Allah lagi :

Maksudnya:

“Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu)”.(Surah As-Syura: 48)

 

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran di atas dapat disimpulkan bahawa tujuan utama pengutusan Rasul ialah untuk menyampaikan ajaran Allah kepada seluruh umat manusia. Dalam konteks masa kini, tanggungjawab untuk berdakwah atau menyampaikan seruan Islam adalah terpikul di atas bahu setiap umat Islam.

Dalam hal ini, Rasullulah s.a.w. telah bersabda:

Maksudnya:

  “Sampaikanlah dariku walaupun satu perkataan.”

Seperti yang telah dijelaskan, bahawa setiap individu muslim bertanggungjawab untuk menyampaikan risalah Islam, iaitu dengan kata lain menyeru melakukan kemungkaran. Adalah berdosa sekiranya kita menyembunyikan ajaran-ajaran atau ilmu-ilmu Islam.” Allah S.W.T melarang kita menyembunyikan ajaran-ajaran atau ilmu-ilmu tersebut. Dalam hal ini Allah menegaskan dengan firman-Nya:

Maksudnya:

  “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu):” Demi sesungguhnya hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka membuang (perjanjian sesat) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (kalamullah dan janjinya) itu”.

    (Surah Ali-Imran: 187)

 

Rasulullah s.a.w. telah memberi amaran kepada sesiapa yang menyembunyikan ilmu atau ajaran yang baik. Sabda baginda:

Maksudnya:

  “Sesiapa ditanya mengenai dengan ilmu, kemudian dia menyembunyikannya, ia akan di kekang di hari Kiamat dengan tali kekang dari api neraka.” (Sahih at-Tarmizi Juzuk ke-10, halaman 118)

 

Berdasarkan fakta-fakta yang telah dikemukakan, jelaskan bahawa menjadi tanggungjawab kepada setiap individu muslim untuk menyampaikan ajaran-ajaran

yang diredhai Allah, sebaiknya Islam melarang umatnya daripada menyembunyikan ilmu-ilmu atau ajaran-ajaran yang telah diperolehi khususnya ilmu-ilmu Islam.

 

iii.   Mengagung-agungkan keturunan Yahudi

Ada guru ajaran sesat yang mengaku dirinya sebagai keturunan Yahudi dan mendakwa menerima wahyu daripada Allah dan menganggap bahawa keturunan Yahudi paling agung di dunia ini.

Ulasan

Sikap mengagung-agungkan keturunan Yahudi sebagai kaum atau bangsa yang paling baik, yang perlu diikuti adalah salah satu cirri kesesatan di dalam Islam. Ianya tanda-tanda sesat di dalam pegangan agama Islam kerana al-Quran telah menerangkan sikap orang Yahudi di dalam surah al-Maidah : 82.

Maksudnya:

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik……..”

 

Orang-orang Yahudi yang tidak menerima agama Islam telah menganggap bahawa agama mereka sahajalah yang betul. Keadaan ini menjadikan mereka menolak agama Islam dan tetap berpegang dengan agamanya. Mereka terus berusaha mengekalkan kesinambungan atau penerusan agama mereka. Mereka memperkenankan bahawa pegangan merekalah yang betul serta terbaik di sisi Allah. Hal ini telah disebutkan di dalam al-Quran sural al-Baqarah: 135.

Maksudnya:

“Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan dapat

petunjuk.”

 

Allah S.W.T. telah menganggap orang Yahudi sebagai golongan yang sesat merupakan kaum yang mempunyai akhlak yang buruk. Jadi sesiapa yang mengikuti jejak kaum Yahudi adalah digolongkan serupa dengan mereka.

    Sifat mereka disebutkan di dalam al-Quran sebagai kaum pandai membuat muslihat terhadap apa yang dirasakan oleh menguntungkan mereka. Allah menyatakan kaum Yahudi adalah seloba-loba manusia kepada hidup (yang lanjut masanya) melebihi kaum kafir musyrik. Mereka suka kiranya boleh hidup seribu tahun.

    Kaum Yahudi adalah kaum yang suka mengamalkan sihir dan menggunakannya dengan sewenang-wenangnya.

    Orang Yahudi masih berpegang dengan sikap mereka tidak menurut perintah Allah, tidak menerima kerasulan dan ajaran daripada Nabi-nabi selepas Nabi Musa, iaitu Nabi Isa dan Nabi Muhammad s.a.w. Meraka menganggap apa yang mereka pegang itulah sahaja yang benar. Lalu mereka putarbelitkan kebenaran untuk mempertahankan pegangan mereka.

    Allah menceritakan sikap mereka di dalam al-Quran sebagai kaum yang keras hati, lebih keras daripada batu di dalam hal menerima kebenaran dan keimanan. Selepas itu mereka tutup hati mereka daripada menerima Islam dan mengisytiharkan bahawa mereka adalah anak-anak Allah yang sangat disayangi Allah. Bahkan mereka mendakwa bahawa syurga dan akhirat adalah hak istimewa mereka sahaja. Pada hal mereka adalah sebagai orang yang tidak mempunyai agama selagi mereka tidak beriman dengan Kitab Taurat yang membawa mereka percaya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

    Sikap mengagung-agungkan kaum Yahudi ini sebagai tanda-tanda terkeluar daripada ajaran Islam kerana sikap ini adalah bertentangan dengan tuntutan al-Quran. Di dalam al-Quran Allah memperingatkan orang Islam tentang sikap orang Yahudi terhadap agama lain. Mereka sentiasa berusaha supaya orang Islam mengikuti jejak mereka. Mereka berusaha sedaya upaya untuk menjayakan cita-cita itu sepertimana disebutkan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah: 120 iaitu:

Maksudnya:

  “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan senang hati (reda) kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka yang terpesong itu).”

 

Orang Yahudi memang berusaha bersungguh-sungguh untuk menunjukkan mereka sebagai kaum pilihan Allah atau kaum yang istimewa. Mereka mengambil pengalaman datuk nenek mereka mempengaruhi dunia. Antaranya mereka bersatu dengan golongan Nasrani dan cuba menekan agama Islam di sebalik tabir akademik atau pengetahuan moden yang dianggap saintifik dan rasional. Mereka dengan angkuh dan lantang menolak kekuasaan Tuhan dengan teori seperti The Law of Nature, Teori Evolusi dan sebagainya. Kebanyakkan mereka adalah daripada keturunan Yahudi kemudian mereka menerapkan pengetahuan itu kepada dunia khasnya orang Islam yang mereka jajahi selepas perang dunia kedua, misalnya orang-orang Islam memuja dan menyanjung pengasas teori-teori tersebut dan berbangga dengan penemuan pengetahuan tersebut tanpa menyedari kesan daripada segi akidah dirinya, contohnya teori penilaian semua sumber rujukan agama dan penggunaan angka-angka di dalam menafsir al-Quran adalah diasaskan oleh seorang yang berbangsa Yahudi bernama Abd. Havy Ibn Akhtab. Beliau telah disanjung oleh segelintir orang Islam seperti Rasyad Khalifah dan pengikut-pengikutnya yang dianggap telah cuba menyelewengkan ajaran Islam.

 

Dengan sebabnya itu peringatan Allah kepada orang beriman tentang perhubungan dengan orang Yahudi adalah sangat tepat seperti yang tersebut di dalam surah al-Maidah: 51:

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”

 

Oleh kerana itu sesiapa yang mengikuti jejak langkah mereka dianggap sebagai orang yang menzalimi diri mereka iaitu menjadikan diri mereka juga tidak beriman atau terpengaruh dengan cara orang-orang Yahudi itu seperti yang disebutkan di dalam surah an-Nisa’89:

Maksudnya:

"Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah kafir, maka (dengan demikian) jadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (Islam).”

    Allah melarang orang beriman mencontohi orang Yahudi ialah kerana dibimbangi akan terikut-ikut dengan perlakuan orang-orang Yahudi. Keadaan ini telah dibayangkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim iaitu:

Maksudnya:

 

“Daripada Abi Said al-Khudri telah berkata ia, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Kamu akan mengikut sunnah orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka itu melalui lubang biawak pun kamu akan mengikutnya. Kami bertanya Ya Rasulullah s.a.w.! Yahudi dan Nasrani.?”

(Sahih Muslim Juzuk Ke-16, halaman 219)

Kesimpulan

    Cara hidup kaum Yahudi telah dijelaskan di dalam al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w. Antaranya ialah sikap mereka mengubahsuaikan agama mengikut selera dan nafsu mereka. Mereka suka mengamalkan ilmu sihir untuk mencapai kehendak mereka.

    Secara tidak disedari oleh orang Islam, mereka mengolah sumber-sumber hokum dan doktrin agama atas alas an ilmiah dan cuba menafsirkan al-Quran melalui angka-angka yang telah digunakan oleh kaum Yahudi sebagai sumber ilmu sihir. Apa yang diperolehi itu terus dibanggakan dan menganggap teguran ke atas sikapnya itu adalah negatif, tidak mahu kepada pembaharuan dan kemajuan sedangkan bagi umat Islam, contoh dan ikutan yang paling baik dan benar ialah Rasulullah s.a.w. dan sunnah sahabat-sahabatnya. Mereka yang mengikuti selain daripada sunnah Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya adalah sesat.

 

iv.  Mengaku dirinya atau gurunya sebagai Nabi

“Untuk menyakinkan pengikut, ada guru-guru ajaran sesat yang mendakwa menerima wahyu dan mengaku sebagai Nabi”.

Ulasan

Agama Islam telah menetapkan bahawa Allah S.W.T. telah mengutuskan seramai 25 orang Nabi dan Rasul kepada umat manusia dan Nabi Muhammad s.a.w. merupakan Nabi dan Rasul yang terakhir yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan syariatnya kepada umat manusia. Segala hukum-hukum dan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan syariat yang terakhir dan tidak ada lagi wahyu yang diturunkan selepasnya.

    Kalau ditinjau dalam sejarah Islam orang-orang yang mengaku mendakwa menjadi nabi sesudah Nabi kita Muhammad s.a.w. adalah sangat ramai sehingga ke zaman kita hari ini. Pada permulaan wafatnya Junjungan Besar Muhammad s.a.w. telah muncul tiga orang yang mendakwa dirinya menjadi Nabi, iaitu Muhammad Kazab di Yamamah Al-Aswad Al Unusi di Negeri Yaman, dan Talhah Al Asadi dari Kabilah Bani Asad.

    Kesudahannya mereka ini telah mati terbunuh di tangan askar-askar pejuang Islam yang dipimpin oleh Jeneral Khalid Ibni Walid, setelah beliau diutus khas oleh Khalifah Islam Syaidina Abu Bakar r.a. untuk menghapuskan golongan yang mendakwa menjadi Nabi palsu itu. Pada tahun 11 Hijrah Talhah Al Asadi telah bertaubat dan kembali kepada Islam di akhir hayatnya.

    Mengikut iktikad dan fatwa ulama-ulama dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa hukuman bagi orang-orang yang mengaku dirinya atau gurunya sebagai Nabi sesudah Nabi Muhammad s.a.w. adalah terkeluar daripada agama Islam. Oleh itu golongan-golongan yang mendakwa menjadi Nabi selepas wafatnya junjungan Nabi Muhammad s.a.w. telah diperangi oleh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.

    Walaupun fahaman golongan ajaran sesat sudah nyata menyimpang dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, tetapi ada juga orang-orang Islam yang masih percaya dan menjadi pengikut kepada guru-guru ajaran sesat itu. Mereka masih buta hati dari mencari kebenaran, walaupun sudah ada keterangan-keterangan yang jelas al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Untuk menjelaskan dimanakah letaknya kesalahan fahaman kaum Nabi baru ini, maka di sini kita cuba menjelaskan kepada masyarakat dengan tujuan untuk membendung dan mengelakkan umat Islam daripada tertipu oleh propaganda dan diayah-diayah palsu yang didakwa oleh Nabi-nabi baru itu.

    Sebelum itu elok kita lihat tentang apakah hukuman dalam syariat Islam terhadap perkara ini, ianya adalah seperti berikut:-

a.  Nabi Muhammad s.a.w. adalah Nabi akhir zaman, tidak ada lagi Nabi sesudah beliau dan juga tidak ada lagi Rasul sesudah Muhammad s.a.w.

b.  Syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah syariat yang paling akhir yang diturunkan kepada manusia oleh Allah S.W.T. daripada Syariat Samawiah bahkan, syariat-syariat yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. telah memansuhkan syariat-syariat sebelumnya.

c.  Barangsiapa yang mendakwa di dunia menjadi nabi atau rasul atau gurunya sesudah Nabi Muhammad s.a.w. maka hukumnya ia terkeluar daripada agama Islam kerana ia telah mengingkari segala keterangan di dalam al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. mengikut pendapat ulama-ulama daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah sesiapa yang menentang al-Quran dan hadith-hadith yang sahih maka hukumnya orang itu terkeluar dari agama Islam.

Dalil-dalil dari Al-Quran

Firman Allah di dalam surah Al-Ahzab ayat 40 yang menunjukkan kebenaran Rasulullah s.a.w. sebagai Nabi yang terakhir adalah seperti berikut:

Maksudnya:

  “Bukankah Nabi Muhammad itu (Dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui

akan tiap-tiap sesuatu.”

Daripada ayat yang tersebut di atas nyatalah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. “Khattama al-Nabiyyin” yang beerti Nabi yang paling akhir.

v. Mengakui Dirinya Memiliki Barang-barang Peninggalan Rasulullah s.a.w.

“Ada setengah guru ajaran sesat yang mendakwa memiliki barang-barang peninggalan Rasulullah s.a.w. bertujuan untuk menyakinkan pengikut bahawa ajarannya itu benar daripada Rasulullah s.a.w.”

Ulasan

Dakwaan ini bertujuan untuk menunjukkan kehebatan seseorang itu sahaja dan juga untuk mempengaruhi orang lain dengan menggunakan nama Rasulullah s.a.w. Perlu diingat bahawa barang-barang peninggalan Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai apa-apa kelebihan pun malah ianya sama seperti barang-barang lain.

Dakwaan ini menjadi lebih meragukan lagi jika seseorang yang mendakwa memiliki barang-barang peninggalan Rasulullah s.a.w. itu tidak mempunyai hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. yang memberi peluang seseorang itu untuk menerima barang-barang peninggalan Rasulullah s.a.w. secara langsung.

Taraf keistimewaan sahabat adalah kerana ilmu dengan dan amalannya sahaja. Oleh itu sesiapa sahaja sama ada di zaman Rasulullah atau sekarang ini

mempunyai keistimewaannya disebabkan oleh ilmu dan amalannya sahaja bukannya berpandukan kepada jauh dan dekatnya seseorang itu dengan Rasulullah s.a.w. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

Ertinya : Tidak ada perbezaan di antara orang-orang biasa dengan orang-orang Arab melainkan melalui taqwanya kepada Allah.

 

Oleh itu jelaslah bahawa mengagung-agungkan barang-barang peninggalan Rasulullah s.a.w. itu tidak dituntut oleh agama Islam malah ditakuti jika terlampau diagung-agungkan, akan membawa kepada syirik kerana Allah menegaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang manusia biasa yang serupa dengan manusia lain dari segi kejadiannya.

    Malahan perlu diingat bahawa dakwaan mempunyai barang-barang peninggalan Rasulullah s.a.w. ini pada dasarnya ialah untuk menunjukkan kehebatan diri semata-mata.

 

vi.                 Mempercayai Semua Ajaran Adalah Sama.

 

“Untuk meyakinkan pengikut supaya mempelajari sesuatu ajaran salah, guru-guru ajaran salah mengatakan bahawa semua ajaran adalah daripada Allah dan menuju ke syurga.”

 

Ulasan

    Setiap manusia normal mempunyai naluri yang baik dan sentiasa inginkan perkara-perkara yang baik di dalam hidupnya. Naluri itu mengerakkan tabiat manusia kepada mencari jalan untuk hidup aman dan damai. Atas keperluan itu menjadikan manusia secara langsung mempunyai fitrah (bakat) hidup beragama. Dengan sebab itu apabila Allah mengarahkan manusia berpegang kepada agama Allah sebagai landasan cara hidup yang selamat dan diredhaiNya diterima oleh manusia sehingga ke hari ini. Walaupun begitu terdapat manusia yang tidak menerima hidayah (petunjuk) daripada Allah, mereka terus mencari malah membentuk doktrin (prinsip) dan method (cara) tersendiri sebagai pegangan hidup untuk memenuhi fitrah semula jadi itu. Masing-masing cuba mempertahankan keyakinan dan pegangan mereka. Di dalam keadaan begitu ada pula golongan yang mempercayai semua agama adalah sama, mereka percaya bahawa semua agama

menuju ke syurga. Pendapat ini adalah penyelewengan terhadap ajaran Islam juga merupakan salah satu ciri-ciri utama ajaran sesat.

 

Sejarah Agama Menurut Al-Quran

    Sejarah agama manusia di dunia pada mulanya adalah satu sahaja iaitu agama Allah yang satu. Ini ada dijelaskan di dalam ayat 92 surah al-Anbiya:

Maksudnya:

“Dan sesungguhnya Agama Islam ini ialah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Allah Tuhan kamu Maka sembahlah kamu akan daku.”

Di dalam surah al-Mukminun: 52

Maksudnya:

  “Dan sesungguhnya Agama Islam ini ialah agama kamu, agama yang satu asal pokoknya dan Allah Tuhan kamu. Maka bertaqwalah kamu kepadaKu.”

 

Firman Allah Taala ini ditujukan kepada umat manusia seluruhnya. Iaitu agama Islam, agama Tauhid, ialah agama semua manusia yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul silih berganti semenjak Nabi Adam a.s. hingga ke Nabi Muhammad s.a.w. dan asas agama Tauhid ialah menyembah Allah yang Maha Esa, kerana Allah jualah Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, dan Dialah sahaja yang berhak disembah.

 

Seruan pertama dalam semua perutusan-perutusan Allah ialah menyuruh manusia menjadikan agama Allah sebagai agama mereka untuk memperingatkan kembali apa yang telah manusia akui dengan Tuhan semasa di alam roh sepertimana telah dijelaskan di dalam al-Quran surah al-A’raf, ayat 172:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka

saksi terhadap diri mereka sendiri (sambil bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah Aku Tuhan Kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah

Tuhan kami) kami menjadi saksi.”

 

Dengan sebab itu Allah utuskan Nabi dan Rasul bersama kitab-kitab suci untuk memberi ingat kepada manusia seluruhnya tentang perjanjian lama agar mereka tidak lalai atau menyeleweng daripada agama Allah.

 

Gejala-gejala Berlaku Kesesatan

 

Fenomena berlaku kesesatan atau perpecahan agama telah dijelaskan Allah di dalam al-Quran di antaranya disebutkan di dalam surah Al-Baqarah 213:

Maksudnya:

 

“Pada mulanya manusia ialah umat yang satu (menurut) agama Allah yang satu tetapi setelah mereka berselisih maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagaipemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan

syurga), dan pemberi amalan (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka), dan Allah menurunkan, bersama Nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang benar), untuk menjalankan hukuman di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang yang telah diberi kepada kitab-kitab suci, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran-kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka yang derhaka itu), dengan izin-Nya dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang betul lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).”

 

Sepertimana dijelaskan di dalam ayat di atas, keseluruhan umat yang sesat telah pun diperbetulkan oleh Allah dengan kebenaran dan petunjuk melalui Rasul dan kitab-Nya. Akan tetapi manusia terus sesat kerana ada golongan yang telah menyembunyikan kebenaran daripada Allah. Ini telah diceritakan Allah di dalam ayat 174, surah Al-Baqarah:

Maksudnya:

 

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan memberi dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya…”

    Bermula dari perasaan dengki sesama sendiri, manusia sanggup menyembunyikan kebenaran dan mereka-rekakan hujjah untuk mempertahankan pegangannya. Sikap ini terus diwarisi oleh generasi turun-temurun sehingga menjadi hak keluarga.

    Walaupun Allah telah membangkitkan dan menurunkan kitab yang memimpin manusia ke arah kebenaran di sisi Allah, tetapi masih terdapat lagi manusia yang sesat kerana masing-masing ingin mempertahankan pegangan mereka. Mereka

berbangga dengan apa yang menjadi pegangan mereka. Keadaan ini telah diceritakan Allah di dalam surah al-Mu’minun: 53.

 

 

Maksudnya:

“Kemudian umat Rasul-rasul itu berpecah-belah dalam urusan agama mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka.”

Sikap berbangga dan cuba mempertahankan keyakinan menjadikan mereka terus mempertahankan pegangan mereka kepada anak cucu, sebagai warisan dan kepada jiran dan kenalan mereka.

Di dalam usaha itu, masing-masing cuba mengatakan kelebihan dan keistimewaan yang akan diperolehi bila berpegang dengan kepercayaan mereka. Maka untuk menyelesaikan polemik, lahir pula kumpulan yang mengemukakan bahawa semua agama adalah sama, semua menghendaki kebaikan dan menjaminkan syurga kepada yang berpegang teguh dengan ajaran agama tersebut. Jadi tidak perlu setiap orang bergaduh dan berperang untuk mempertahankan pegangan atau berdakwah kepada orang lain kerana semua mereka dengan mengatakan bahawa semua agama itu adalah sama.

    Hasil daripada kepercayaan tersebut, wujud golongan yang akan mencari kesesuaian antara agama-agama manusia universal. Iaitu satu agama yang dibentuk daripada resolusi atau intisari yang dianggap baik daripada agama-agama di dunia atas tujuan menyatu-padukan manusia dan menyelesaikan krisis di antara penganut agama-agama serta memajukan lagi kehidupan beragama manusia.

    Kepercayaan bahawa semua agama adalah sama, semua menuju ke syurga juga memberi implikasi kepada semua penganut agama-agama masing-masing terus berpegang dengan kepercayaan mereka. Jadi tidak perlu lagi berdakwah dan tidak perlu lagi bertukar agama walaupun agama yang dipegang itu adalah jelas bercanggah dengan fitrah dan akal mereka.

    Kedua-dua keadaan tersebut adalah bercanggah dengan tuntutan agama Islam dan fitrah manusia yang sejahtera. Usaha mewujudkan agama universal bukan menyatukan agama tetapi menambahkan senarai agama-agama di dunia. Sedangkan keseluruhan agama adalah masing-masing menekankan cirri-ciri keistimewaan tersendiri dan mengarahkan penganutnya mengajak orang lain menerima agama tersebut. Dengan cara tidak langsung setiap agama ada sikap tersendiri terhadap agama-agama lain.

   

Kedudukan Agama-agama Di sisi Islam

 

Kedudukan agama-agama di dunia pada pandangan Islam adalah jelas dan tegas. Semua agama adalah tidak sama. Ini telah dijelaskan oleh firman Allah di dalam surah Al-Kafirun: 6.

Maksudnya:

“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

    Semua agama tidak sama dengan agama Islam. Kelainan agama Islam berbanding dengan agama lain ialah dari sudut keyakinan secara Tauhid (kepercayaan kepada Allah Yang Esa) melalui yang ditauhidkan (dikuatkan dengan pengakuan Syahadah) dan amal (cara hidup atau amal) dengan anggota secara langsung kepada Allah berdasarkan syariat yang dibawakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Berdasarkan al-Quran, Sunnah dan Ijma’ Ulama dengan hati ikhlas kepada Allah tanpa sebarang perantaraan sepertimana disebutkan di dalam surah al-Baiyinah ayat 5:

Maksudnya:

 

“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”

 

Allah menekankan hanya Islam sahaja agama yang benar diterima dan diredhai Allah seperti di dalam surah Al-Imran: 19.

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam….”

  Maka sesiapa yang memilih lain daripada Islam adalah tidak diterima oleh Allah. Segala amalan dan kebajikan yang dibuat atas urusan agama lain daripada agama Islam tidak akan mendapat ganjaran daripada Allah, malah akan diseksa. Jadi mereka tergolong bersama orang-orang yang rugi di akhirat nanti. Ini telah dijelaskan Allah di dalam surah Al-Imran, ayat 85:

 

Apabila Allah menyatakan hanya agama Islam sahaja yang diterima dan tidak menerima selain daripadanya, yang maka secara langsung agama dapat dibahagikan kepada dua, iaitu agama Allah dan bukan agama Allah.

Konsep Syurga Di Dalam Doktrin Agama

Fitrah agama ialah berkehendakkan kehidupan yang teratur semasa hidup di dunia dan selepas mati. Peraturan ini dilaksanakan supaya manusia membuat kebaikan maka diberikan janji ganjaran syurga, dan janji neraka kepada yang mengingkarinya.

Konsep syurga dan neraka di dalam agama Islam adalah termasuk di dalam rukun Iman iaitu mempercayai kewujudan segala yang didengar (sami’yyat) dan membenarkan Nabi s.a.w. tentang apa yang dikhabarkannya. Syurga wujud sebagai makhluk Tuhan untuk tempat tinggal orang yang beriman kepada Allah. Mereka yang berjaya ke syurga mestilah memenuhi syarat:

1.      Beriman kepada Allah

2.      Taqwa kepada Allah

3.      Menunaikan kewajipan (tanggungjawab) sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini.

4.      Menjauhkan diri dari perbuatan yang dilarang atau diharamkan Allah.

5.      Menjaga diri daripada menghabiskan masa dengan sia-sia.

6.      Membersihkan hati dan mendisiplinkan diri daripada gangguan nafsu syahwat.

7.      Mencari rezeki yang halal tanpa melupai Allah.

8.      Mengorbankan harta benda dan masa pada jalan Allah.

9.      Membebaskan diri daripada pengabdian selain dari Allah.

  Seandainya kesemua syarat-syarat tersebut tidak dapat diamalkan maka harapan seseorang itu untuk mendapatkan syurga adalah terserah kepada Allah yang berkuasa. Manusia, sebagai makhluk-Nya mesti berserah kepada-Nya dengan membuat apa yang disuruh dan meninggal apa yang dilarang. Oleh yang demikian kita tidak boleh berpegang kepada pendapat; iaitu setiap orang yang beragama akan ke syurga.

 

vii.                Mengaku Dirinya Sebagai Wali Atau Mempunyai Keramat.

Ulasan

Antara kelebihan Allah kepada makhluk di bumi ini ialah dengan adanya wali-wali dan ianya merupakan rahsia Allah yang telah diberikan kepada makhluk. Pada umumnya telah diketahui ramai bahawa wali-wali yang sebenar adalah sukar untuk diketahui kecuali kepada para wali itu sendiri. Taraf kewalian ini adalah merupakan kurniaan dan pangkat yang dikurniakan oleh Allah kepada makhluk (manusia) di bumi belum lagi di akhirat. Allah berfirman di dalam surah Yunus ayat 62-64:

Maksudnya:

  “Ketahuilah! Sesungguhnya para Wali Allah itu, mereka tiada takut dan tiada berdukacita. Iaitu mereka yang beriman dan juga bertaqwa kepada Allah. Mereka diberikan kegembiraan di penghidupan dunia dan akhirat.”

Para wali adalah mereka yang mengikut jejak langkah para Rasul dari apa yang diturunkan oleh Allah. Mereka ini menghampirkan diri kepada Allah dengan melakukan apa yang disyariatkan dan menjauhi apa yang dilarang dan dimurkai-Nya. Di dalam Islam tidak adanya istilah orang suci seperti yang didapati di dalam setengah-setengah agama lain. Walaupun begitu agama Islam mengiktiraf adanya wali sebagaimana yang telah diterangkan oleh Allah dengan terang di dalam ayat-ayat al-Quran seperti di atas. Meskipun demikian tidak terdapatnya ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa wali-wali tersebut mempunyai kelebihan-kelebihan istimewa yang mencapai taraf orang suci yang mempunyai kekuasaan untuk mengampunkan dosa dan berupaya melakukan sesuatu yang mengikut kebiasaannya tidak dapat dilakukan oleh manusia biasa.

Para wali Allah adalah seorang yang berperibadi mulia, mukmin, soleh dan berakhlak mulia. Melaksanakan amalan-amalan wajib dan amalan-amalan sunat,

meninggalkan yang haram dan perkara-perkara yang makruh. Ianya seseorang yang zahid, tidak haloba menuntut keduniaan seperti pangkat kebesaran dan sebagainya.

Di dalam perkembangan ajaran salah kedapatan orang-orang yang mendakwa dirinya dan pengikutnya sebagai wali Allah. Untuk membuktikan bahawa seseorang tokoh itu telah mencapai maqam (kedudukan) yang tinggi maka dilahirkan perbuatan luar biasa yang selalunya disebut sebagai karamah (keramat) seperti mengeluarkan air dari jari, kitab al-Quran yang digantung berpusing sendiri, jari-jari disilangkan antara satu dengan yang lain melekat dan tidak dapat dibuka. Pada umumnya perbuatan luar biasa ini adalah perbuatan yang boleh dipelajari kerana ianya berbentuk sihir ataupun silap mata dan mempunyai teknik-teknik tertentu. Oleh itu jika kedapatan orang-orang yang mendakwa sebagai wali Allah dengan menunjukkan perbuatan-perbuatan luar biasa seperti tersebut di atas, adalah merupakan penyelewengan kepada akidah Islam demi untuk keuntungan diri dan kepentingan peribadi semata-mata. Wali Allah yang sebenar tidak pernah mendakwah kewaliannya dan amat jauh untuk mempengaruhi manusia untuk menjadikannya ketua atau memujanya dengan mengakui sebagai wali Allah dan menonjolkan “karamah” yang dimilikinya.

 

 

viii.              Mempercayai Gurunya Boleh Memberi Syafaat Di Akhirat

Ada antara guru ajaran sesat yang mendakwa ianya sebagai guru mursyid dan dapat memberi syafaat di hari Akhirat kelak.

Ulasan

Syafaat bukanlah suatu perkara dakwaan. Seseorang itu tidak boleh mendakwa dirinya atau mempercayai gurunya atau orang-orang tertentu boleh memberi syafaat kepada orang lain di akhirat kelak. Allah telah menjelaskan bahawasanya manusia tidak berhak mendapat syafaat dan memberi syafaat kepada orang lain kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta diizinkan oleh Allah S.W.T. Ketentuan seseorang itu dapat memberi syafaat dan menerima syafaat adalah kehendak Allah S.W.T. sahaja sebagaimana firman-Nya:

Maksudnya:

“Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya.”

(Surah Maryam: 87)

 

Mengenai pengertian syafaat di atas, Ahmad Mustafa Al-Maraaghi di dalam tafsir Al-Maraaghi menjelaskan bahawa pemberi syafaat di akhirat kelak hanyalah kepada Nabi-nabi, ulama-ulama dan para-para Syuhada’ di atas kadar apa yang mereka ikut.

Firman Allah:

Maksudnya:

“Pada hari itu tidak ada berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapa pun) kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya dan kepada orang yang diredhai perkataannya.”

(Surah Toha: 109)

 

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa pemberi syafaat adalah terdiri daripada orang-orang yang diizinkan oleh Allah iaitu terdiri daripada Nabi-nabi, Ulama-ulama dan para syuhada’. Oleh itu adalah menjadi satu kesalahan dan kesesatan sekiranya ada orang-orang tertentu yang mendakwa dirinya atau gurunya dapat memberi syafaat di akhirat kelak.

 

Kesimpulannya orang yang berhak mendapat syafaat ialah orang Islam dan hak menentukan siapa yang boleh memberi syafaat adalah hak Allah S.W.T. dan Allah juga berkuasa menentukan siapakah yang diizinkan menerima syafaat, manakala dakwaan yang mengatakan orang-orang tertentu boleh memberi syafaat di akhirat adalah dakwaan yang palsu.

 

viv. Meninggalkan Sembahyang Jumaat Kerana Bersuluk

“Ada antara guru-guru ajaran sesat yang mengharuskan pengikut-pengikutnya meninggalkan sembahyang Jumaat ketika bersuluk.”

Ulasan

Mengharuskan kewajipan sembahyang Jumaat semasa bersuluk beerti mengharuskan sesuatu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T.Mengikut syarak, hokum sembahyang Jumaat adalah Fardhu Ain bagi setiap yang mukallaf.

Firman Allah:

 

Maksudnya:

  "Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah….”

(Surah al-Jumu’ah: 9)

    Walau bagaimanapun syarak juga telah memberikan pengecualian dan kelonggaran ke atas sesetengah golongan dan ini tidak termasuk golongan mereka yang sedang bersuluk.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

(Riwayat Abu Daud)

Maksudnya:

“Sembahyang Jumaat adalah hak kewajipan ke atas setiap orang Islam yang ditunaikan secara jemaah kecuali empat: hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.”

 

Di dalam hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda

(Riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)

Maksudnya:

 

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka diwajibkan ke atasnya Sembahyang Jumaat kecuali ke atas wanita atau musafir atau hamba atau orang sakit.”

 

Di dalam Islam amalan bersuluk bukanlah satu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh setiap umat Islam, tetapi hanyalah satu peraturan yang diwujudkan dalam sesuatu tarikat.

    Bagi golongan tarikat mungkin mentafsirkan bahawa mereka yang sedang bersuluk itu adalah dalam keadaan sakit yang sedang diubati. Sekiranya ia keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat nescaya dirinya akan terdedah kepada alam sekeliling yang boleh memberi kesan ke atas diri dan jiwanya yang sedang sakit.

    Tafsiran seumpama itu tidaklah tepat dengan pengertian sakit yang dimaksudkan di dalam hadith di atas.

    Walaupun tujuan utama bersuluk adalah untuk membersihkan jiwa dan menghampirkan diri kepada Allah S.W.T., tetapi konsep sembahyang yang diwajibkan itu telah terkumpul tujuan berkenaan. Oleh yang demikian amalan bersuluk hanyalah satu cirri ibadah sampingan kepada yang wajib dan ianya tidak boleh mengatasi yang wajib.

Dalam hal ini Allah berfirman:

Maksudnya:

 “Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.”

(Surah al-Ankabut: 45)