a samad said

13
A. SAMAD SAID, seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera. Sejak giat mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif yang sentiasa berkembang dan lebih bersifat meneroka. Sumbangan A. Samad Said kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu yang menyambungkan ASAS 50 dengan angkatan sesudahnya. Semasa berumur enam bulan, A. Samad Said dibawa oleh keluarganya ke Singapura dan beliau mendapat pendidikan asas dan menengahnya di sana. A. Samad Said belajar di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940 – 1946) sebelum meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution. Dari situ, beliau belajar sendiri hingga memperoleh sijil Senior Cambridge (1956). Sejak di bangku sekolah menengah lagi, A.Samad Said sudah mulai berkenalan dengan kesusasteraan di dalam dan luar negeri. Malah, pengarang-pengarang penting di Singapura pun seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin telah diketemuinya. Sajak dan cerpennya mula tersiar sewaktu beliau masih di bangku sekolah. Sebelum terbitnya novel Salina yang mengharumkan namanya,A. Samad Said membaca karya-karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala. Beliau juga membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s Folly. Beliau menggunting cerpen-cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya. Kegiatan menterjemah beberapa karya sastera asing juga secara tidak langsung memperkuat minatnya terhadap kesusasteraan. Segalanya ini membulatkan tekad dan fikirannya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan, dan hasilnya, Samad berupaya menghasilkan pelbagai genre: sajak, novel, drama, esei/kritikan dan terjemahan. Kecenderungannya terhadap dunia sastera telah berakar dan berkembang dalam dirinya sejak kecil lagi apabila beliau selalu mendengar

Upload: ahmad-zulhafiz

Post on 26-Sep-2015

52 views

Category:

Documents


2 download

DESCRIPTION

tokoh

TRANSCRIPT

A. SAMAD SAID, seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera. Sejak giat mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif yang sentiasa berkembang dan lebih bersifat meneroka. Sumbangan A. Samad Said kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu yang menyambungkan ASAS 50 dengan angkatan sesudahnya.Semasa berumur enam bulan, A. Samad Said dibawa oleh keluarganya ke Singapura dan beliau mendapat pendidikan asas dan menengahnya di sana. A. Samad Said belajar di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940 1946) sebelum meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution. Dari situ, beliau belajar sendiri hingga memperoleh sijil Senior Cambridge (1956).Sejak di bangku sekolah menengah lagi, A.Samad Said sudah mulai berkenalan dengan kesusasteraan di dalam dan luar negeri. Malah, pengarang-pengarang penting di Singapura pun seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin telah diketemuinya. Sajak dan cerpennya mula tersiar sewaktu beliau masih di bangku sekolah. Sebelum terbitnya novel Salina yang mengharumkan namanya,A. Samad Said membaca karya-karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala. Beliau juga membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayers Folly. Beliau menggunting cerpen-cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya. Kegiatan menterjemah beberapa karya sastera asing juga secara tidak langsung memperkuat minatnya terhadap kesusasteraan. Segalanya ini membulatkan tekad dan fikirannya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan, dan hasilnya, Samad berupaya menghasilkan pelbagai genre: sajak, novel, drama, esei/kritikan dan terjemahan. Kecenderungannya terhadap dunia sastera telah berakar dan berkembang dalam dirinya sejak kecil lagi apabila beliau selalu mendengar cerita-cerita daripada ibunya. Daripada pengakuannya yang merendah diri, A.Samad Said berkata : ... kalaulah saya diterima sebagai penulis saya lahir daripada Batu Belah batu Bertangkup. Saya masih tetap mendengar cerita ini walaupun orang yang menceritakannya ketika memandikan saya, menyuapkan makan saya dan menidurkan saya sudah tidak ada lagi.Pekerjaan pertama Samad Said ialah sebagai kerani di Hospital Umum Singapura. Beliau berasa beruntung bekerja di hospital itu kerana amat sukar baginya mendapat kerja di mana-mana pun pada waktu itu. Tetapi, di hospital itu, beliau tidak lama bekerja dan hanya dapat bertahan selama enam bulan saja. A.Samad Said kemudian berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat di bawah pimpinan Ahmad Boestamam. Selepas enam bulan di Kuala Lumpur, beliau kembali semula ke Singapura dan bekerja dengan akhbar mingguan Utusan Zaman di bawah Usman Awang. Apabila Syarikat Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur dan Usman Awang, Said Zahari, Pengarang Utusan Melayu waktu itu berpindah sama, A.Samad Said juga turut berhijrah. A. Samad Ismail, Pengarang Berita Harian ketika itu, telah memujuk A.Samad Said agar menyertai Berita Harian. Di sekitar tahun 1960-an A. Samad Said sekali lagi bertukar kerja. Apabila A. Samad Ismail diberikan tugas lebih besar dalam surat khabar The New Straits Times, A. Samad Said pula dilantik menjadi Pengarang Berita Harian. Semasa A. Samad Ismail berada dalam tahanan, beliau telah dilantik menjadi penolong khas kepada Pengarang Kumpulan The New Straits Times di samping menjalankan tugasnya sebagai Pengarang Berita Harian. Tetapi A.Samad Said menyedari bahawa minatnya dalam bidang penulisan dan tanggungjawab yang besar yang diamanahkan kepadanya boleh merugikan, bukan sahaja bakat dan kreativitinya, tetapi dunia kesusasteraan umumnya. Justeru, A.Samad Said minta dibebaskan daripada menjadi Pengarang Berita Harian dan mulai 8 Mac 1978 A.Samad Said bertugas sebagai seorang daripada enam orang penolong khas dengan tugas-tugas tertentu seperti menulis rencana pengarang dan artikel feature. Sejak akhir 1981, beliau bertugas sebagai Ketua Pengarang akhbar Warta Teberau. Jawatan terakhir A. Samad Said ialah sebagai Ketua Pengembangan Sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur. Kini A. Samad Said menumpukan seluruh masa dan perhatiannya kepada bidang penulisan. Isterinya, penyair Salmi Manja, seorang penulis yang cukup dikenal oleh peminat-peminat sastera. Seperti A.Samad Said, Salmi juga menulis sajak dan cereka.Kejayaan A. Samad Said sebagai sasterawan ialah hasil daripada pengalamannya dan berkat kerajinannya membaca karya-karya orang lain. Dalam karya Samad kita melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang. Beliau bukan sahaja begitu cermat dan teliti menghadapi dan membentuk watak-watak, tetapi juga terhadap alam, benda hidup dan mati, yang menjadi latar ceritanya. Beliau seolah-olah mencari erti dalam semuanya itu. Samad juga sedar bahawa untuk melahirkan karya yang bererti, seseorang tidak hanya bergantung kepada bahan dan bakat kekuatan fikiran sahaja, tetapi pembacaan dan pengalaman yang luas amatlah penting. Kerana itu, A.Samad Said meluaskan pembacaannya kepada bidang politik, sosiologi, ekonomi dan psikologi serta karya-karya besar Li Po, Tu Po dan Rabindranath Tagore. Cara beliau membaca agak aneh, yakni dengan menggaris atau menanda ayat-ayat, dialog-dialog atau ungkapan-ungkapan yang menarik dalam prosa, novel, dan malahan puisi. Ini memperlihatkan betapa teliti pembacaan dan pemerhatiannya. Sikap telitinya ini terpancar juga pada deskripsi dan dalam dialog-dialog karyanya.Sungguhpun A.Samad Said sangat mengutamakan nilai sastera, beliau tidak pula menolak konsep Seni untuk Masyarakat, malah puisinya yang pertama diberinya judul Untuk Angkatan 50 yang tersiar dalam Utusan Zaman (1950). A.Samad Said sendiri pernah menjadi anggota ASAS 50, badan penulis yang bergerak dengan slogan, Seni untuk Masyarakat , tetapi pendekatan A.Samad Said berbeza daripada penulis-penulis lain. Beliau berhasil memadukan tugas sastera dengan nilai yang diperlukan. Beliau dianggap sebagai tokoh yang menghubungkan sasterawan-sasterawan 50-an yang mementingkan tema dan mesej dengan sasterawan-sasterawan generasi kemudiannya yang lebih cenderung menekankan nilai dalam kesusasteraan.Meskipun A.Samad Said lahir di tengah-tengah Angkatan 50, tetapi daya ciptaannya berbeza daripada tokoh-tokoh ASAS 50 yang lain. Hal ini demikian kerana, beliau dibesarkan di kota kosmopolitan Singapura, terdidik secara formal dalam bahasa Melayu dan Inggeris, dan tidak pernah secara aktif terlibat dalam perjuangan politik atau ideologi yang menentang penjajah. Tokoh-tokoh lain itu terlibat dengan perjuangan membebaskan masyarakat, karya mereka berlatarbelakangkan daerah pedesaan dan rakyat, lebih banyak terdedah kepada bahan bacaan dari Indonesia, dan yang secara sedar, menjadikan sastera sebagai alat kedua dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Walaupun Samad bergaul dengan mereka dalam satu periode yang sama dan mempunyai latar belakang dan pendidikan yang berbeza, namun A.Samad Said cuba menyamakan cita-cita sasteranya dengan mereka tetapi membezakan dirinya dari segi stail dan pencapaian.Novel pertamanya, yang asalnya berjudul Gerhana kemudian diterbitkan dengan judul Salina ialah sebuah novel yang tebal dan berjaya mengangkat martabat kesusasteraan Melayu ke tahap yang disifatkan oleh Profesor A. Teeuw dan sesetengah sarjana sebagai bertaraf antarabangsa. Novel yang hanya memenangi hadiah penghargaan dalam peraduan penulisan novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1958) dan yang dihasilkan oleh A.Samad Said sewaktu beliau baru berusia 23 tahun ini, akhirnya menjadi sebuah karya yang menjadi garis pemisah antara karya-karya penulis lama dengan baru dan antara A.Samad Said dengan penulis-penulis 50-an.Salina menceritakan kehidupan masyarakat terutama orang Melayu di Kampung Kambing, Singapura selepas Perang Dunia Kedua. Ia menggambarkan kemiskinan, keruntuhan moral di kota, dan pergelutan untuk mempertahankan peribadi di tengah-tengah kebobrokan. Ini bukanlah persoalan yang sama sekali asing dalam kesusasteraan Melayu, tetapi A.Samad Said telah memperlihatkan kebolehan seninya dengan melukiskan semua hal ini secara artistik melalui dialog-dialog dan tingkah laku watak-wataknya. Manusia yang lahir dalam Salina ialah manusia yang natural bukannya yang menjelma sebagai boneka dengan sifat-sifat hitam putihnya. Novel ini telah diadaptasi menjadi bentuk teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan dipentaskan sempena Pesta Kesenian Kuala Lumpur (1986), dan kemudiannya di Singapura.Seperti Salina, novelnya Sungai Mengalir Lesu juga menampilkan pengalaman langsung A.Samad Said dalam masyarakat yang menderita akibat perang. Pemerintahan Jepun yang singkat di Singapura dan penderitaan masyarakat akibat perang, memberikan kesan yang cukup kuat dalam diri A.Samad Said yang pada masa itu masih kanak-kanak lagi. Beliau mengutip kembali butir-butir pengalaman itu untuk menceritakan keadaan orang Melayu dan orang Indonesia yang hidup melarat dan menjadi buruh di Singapura.Di samping novel, A.Samad Said juga memperlihatkan kekuatannya dalam penulisan puisi seperti yang terkumpul dalam kumpulan Liar di Api. Beliau antara penulis yang terawal melakukan eksperimen dalam sajak-sajak bebas. Selepas itu, beberapa buah lagi kumpulan puisinya telah diterbitkan seperti Benih Harapan (1973), Daun Semalu Pucuk Paku (1975) dan Benih Semalu (1984).A.Samad Said memberikan banyak waktu untuk menulis beberapa buah lagi novelnya seperti Di Hadapan Pulau. Langit Petang dan Daerah Zeni. Sebuah buku tentang latar belakang pengalamannya menulis Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Langit Petang telah diterbitkan, berjudul Dari Salina ke Langit Petang. Ia merupakan hasil tulisan bercorak autobiografi, rakaman pengalaman A.Samad Said yang menceritakan bagaimana beliau lahir menjadi seorang pengarang dan proses penghasilan tiga buah novelnya yang penting itu.Pencapaian dan sumbangan A.Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa pengarang lain, beliau diiktiraf sebagai Pejuang Sastera. Tahun 1979, juga turut memberi erti kepada A.Samad Said, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah dipilih menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards). Kemuncak pencapaian A.Samad Said sebagai sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara 1985. Dalam majlis penganugerahan itu, telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit. Dalam tahun 1993, A. Samad Said menerima Anugerah ASEAN 1993 (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darulsalam.Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A. Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran `Datuk dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.

KARYA Novel-Salina, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1961, 495 hlm. -Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikir, Melaka: Penerbitan Abbas Bandung, 1966, 103 hlm. -Sungai Mengalir Lesu, Kuala Lumpur: Pustaka Gunung Tahan, 1967, 135 hlm. Diterbitkan kembali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 137 hlm.-Di Hadapan Pulau, Kuala Lumpur : Pustaka Sistem Pendidikan, 1978, 129 hlm.-Adik Datang, Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1980, 220 hlm.-Langit Petang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 143 hlm. -Daerah Zeni, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.; 1985, 182 hlm. -Hujan Pagi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 418 hlm.-Cinta Fansuri, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.; 1994, 156 hlm.

Novel Remaja Kanak-kanak-Bendera Merah di Atas Bukit, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1968, 79 hlm.-Lima Kawan ke Rumah Rahsia, Kluang: Pustaka Pendidikan Sdn. Bhd., 1968, 101 hlm.-Jangan Ikut Jalan Ini, Singapura: Pustaka Nasional, 1969, 101 hlm.-Mengejar Tetamu di Waktu Senja, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1974, 94 hlm.-Yang Berat Sama Dipikul, Singapura: Pustaka Nasional, 1969, 85 hlm.-Keledang, Kuala Lumpur; Mac Millan Publishers Ltd., 1979, 143 hlm.-Antara Kabus ke Kabus, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1980, 67 hlm. -Di Simpang Jalan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 95 hlm.-Jalan Retak, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1980, 65 hlm.

Cerpen-Liar di Api, Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad. t.th., 183 hlm.-Daun-daun Berguguran (bersama Salmi Manja), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1962, 152 hlm.-Debar Pertama, Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1964, 76 hlm.-Ke Mana Terbangnya Si Burung Senja?, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1966, 118 hlm.-Panorama (Peny.), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1966, 112 hlm. -Bunga Gunung (Peny.) Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd., 1982, 153 hlm. -Angin Pulau (antologi bersama), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd. 1985, 153 hlm. -Angin Pulau (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 339 hlm. -Titisan Indah di Bumi Merkah (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 405 hlm.-Hati Muda Bulan Muda: Kumpulan Cerpen 1954 1992 (Peny. Othman Puteh), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993,495 hlm.

Puisi-Liar di Api, Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad. t.th., 183 hlm.-Puisi Baru Melayu 1942 1960 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1961, 26 hlm.-Daun-daun Berguguran (bersama Salmi Manja), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1962, 152 hlm.-Sajak-sajak Melayu Baru 1946 1961/Modern Malay Verse 1946-1961 (dwibahasa), (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1969 (cetakan keempat), 135 hlm. Cetakan pertama 1963.-Benih Harapan, Kuala Lumpur: Grafika Sendirian Berhad, 1973, 24 hlm.-Daun Semalu Pucuk Paku, Kuala Lumpur: Balai Penerbitan Nusa, 1975, 39 hlm.;-Kuala Lumpur (antologi bersama), Kuala Lumpur: GAPENA, 1975, 57 hlm.-Pilihan Puisi Baru Malaysia-Indonesia (anatologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 314 hlm.-Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294 hlm.-Benih Semalu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 69 hlm. (cantuman dua antologi: Benih Harapan dan Daun Semalu Pucuk Paku). -Bintang Mengerdip (antologi bersama), Kuala Lumur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 75 hlm.-100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm. -Bunga Gerimis (antologi bersama), Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 132 hlm.-Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.-Malaysia dalam Puisi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 316 hlm.-An Anthology of Contemporary Malaysian Literature (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 413 hlm.-Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry (1975 1985) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.-Puisi Baharu Melayu (1961-1986) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.-Balada Hilang Peta, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, 69 hlm.-Suara Rasa/Voice from Within (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993, 228 hlm.

Drama-Di Mana Bulan Selalu Retak, Singapura: Malaysia Publication Ltd. 1965, 135 hlm.-Ke Mana Terbangnya Si Burung Senja, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1966, 118 hlm.-Wira Bukit, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, 92 hlm.-Lantai T. Pinkie, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, 137 hlm.-Lazri Meon Daerah Zeni, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 138 hlm.

Esei/Kritikan-Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden (bersama Usman Awang), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1963, 199 hlm.-Damai (kata pengantar), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1966, 136 hlm.-Laungan (Kata pengantar), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1962, 152 hlm.-Tangan yang Simpatik, Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1981, 279 hlm. -Between Art and Reality (Selected Essays), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, 479 hlm.

Autobiografi

-Dari Salina ke Langit Petang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 83 hlm.

Umum-Warkah kepada Salmi Manja, Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1965, 68 hlm.-Antara Bulan dan Wira, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, 632 hlm.-Warkah Eropah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 235 hlm. -Koleksi Terpilih A. Samad Said (Peny. Sarah Sadon), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 510 hlm.