8-wirid & warid

97
Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 17. 08. 2000 / 17 Jamadil Awal 1421) ANTARA WIRID DAN WARID Sambungan Dari Pengajian Terdahulu Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis Dan setengah daripada yang terlebih besar pekerjaan jahat adab itu [ialah] menceraikan(membeza-bezakan) antara segala Maqam dan hukum atas ahlinya(ahli maqam) dengan sebab memandang segala halnya. Maka kerana demikian berkata Mualif......... Keterangan Suluk Keterangan di atas adalah pengakhir bicara yang bersangkutan dengan kejahilan dan jahat adab seorang hamba atau seorang Salik yang telah dibincangkan dalam pengajian sebelum ini. Jika dalam pengajian sebelum ini kita didedahkan dengan antara jahil dan jahat adab seorang hamba seperti Terpedayanya pada zhohir barang yang berlaku atasnya daripada TolongNya dengan sangkaannya; Baik sangkanya pada dirinya pada hal tasarufnya; Menolong kesalahannya dengan membukakan pintu ta'wil. Diperdayakan dengan dia segala Wali akan segala karamat dan tiada Makri di atas ini. Berpaling aku atasnya(Allah) atas hukum Cenderung ia kepada orang ahli dunia dan hampir ia kepadanya dan bersahabat ia dengannya maka keterangan yang berikutnya ialah mengetangahkan pula antara sebesar-besar jahat adab di samping yang lain-lain itu ialah menceraikan antara segala Maqam dan hukum atas ahlinya(ahli maqam) yakni membeza-bezakan berkenaan dengan maqam-maqam dan ketetapan ahli-ahli yang menduduki sesuatu maqam. Pandangan mereka yang membeza-bezakan ketetapan ahli-ahli maqam ini adalah berdasarkan tilik mereka kepada berbezanya hal-ahwal ahli-ahli Maqam 341

Upload: noor-affendy

Post on 25-Sep-2015

234 views

Category:

Documents


26 download

DESCRIPTION

Yang dimaksudkan dengan wirid mereka ialah apa sahaja perbuatan/pekerjaan yang ditujukan kerana Allah mengikut apa yang dituntut dan digalakkan oleh syarak. Tidaklah ianya semata-mata ditujukan kepada mereka yang mengamalkan zikir-zikir yang khususiyah dengan kadar dan bilangan yang tertentu atau dengan tertib masa dan ketikanya. Tetapi bahkan, Wirid boleh muncul dalam pelbagai wajah dan bentuk.

TRANSCRIPT

Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 17

Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 17. 08. 2000 / 17 Jamadil Awal 1421)

ANTARA WIRID DAN WARID

Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan setengah daripada yang terlebih besar pekerjaan jahat adab itu [ialah] menceraikan(membeza-bezakan) antara segala Maqam dan hukum atas ahlinya(ahli maqam) dengan sebab memandang segala halnya. Maka kerana demikian berkata Mualif.........

Keterangan Suluk

Keterangan di atas adalah pengakhir bicara yang bersangkutan dengan kejahilan dan jahat adab seorang hamba atau seorang Salik yang telah dibincangkan dalam pengajian sebelum ini. Jika dalam pengajian sebelum ini kita didedahkan dengan antara jahil dan jahat adab seorang hamba seperti

Terpedayanya pada zhohir barang yang berlaku atasnya daripada TolongNya dengan sangkaannya;

Baik sangkanya pada dirinya pada hal tasarufnya;

Menolong kesalahannya dengan membukakan pintu ta'wil.

Diperdayakan dengan dia segala Wali akan segala karamat dan tiada Makri di atas ini.

Berpaling aku atasnya(Allah) atas hukum

Cenderung ia kepada orang ahli dunia dan hampir ia kepadanya dan bersahabat ia dengannya

maka keterangan yang berikutnya ialah mengetangahkan pula antara sebesar-besar jahat adab di samping yang lain-lain itu ialah menceraikan antara segala Maqam dan hukum atas ahlinya(ahli maqam) yakni membeza-bezakan berkenaan dengan maqam-maqam dan ketetapan ahli-ahli yang menduduki sesuatu maqam. Pandangan mereka yang membeza-bezakan ketetapan ahli-ahli maqam ini adalah berdasarkan tilik mereka kepada berbezanya hal-ahwal ahli-ahli Maqam tersebut. Seolah-seolah di sisi mereka;

Orang yang berupaya menembus pandangan kepada perkara-perkara yang ghaib lebih tinggi kedudukannya daripada mereka yang masih tidak terbuka sesuatu pada mereka;

Orang yang boleh membaca lintasan hati seorang yang lain lebih tinggi kedudukannya daripada mereka yang masih terhijab dengan alam benda itu,

Orang yang maqam zuhud lebih baik daripada mereka yang abid yang asyik dengan ibadat mereka;

Dan berbagai-bagai lagi pandangan atau tilikan mereka sehingga terluncur keluar antara kata-kata seperti berikut;

Dia tu bukan ada apa-apa, perkara-perkara yang ghaibpun sedikitpun tidak tahu

Mana boleh dia seorang jadi seorang sufi, sedangkan aku nampak beliau masih kalut dengan usaha kasab;

Dia tu asyik wirid sahaja bertahun-tahun, sedangkan abuk makrifatpun tak ada kerana tak pernah dengarpun beliau bercakap sesuatu mengenainya.

Tidak zhohir sepatahpun kalam kecintaannya terhadap Allah.

Inilah antara kejahilan dan sebesar-besar jahat adab seorang salik yang suka menilai seseorang itu sekadar kapada sesuatu yang istimewa dan karamat sahaja sedangkan yang masih tidak zhohir tanda-tanda tersebut dianggap sepi dan rendah sahaja.

Keterangan yang berkaitan dengan inilah yang menjadi sebahagian daripada bicara dan perbincangan kalam hikmah Sheikh Ibnu Atoillah selanjutnya sebagaimana yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis.............

Apabila telah engkau lihat akan seorang hamba telah mendirikan Allah akan dia dengan mengerjakan segala Aurad iaitu mendirikan segala amal dengan sekira-kira segala waktunya dan segala halnya dan mengekalkan Allah akan dia atasnya serta berlanjutan segala tolong seperti meluaskan rezekinya, maka jangan engkau hinakan akan yang telah dianugerahkan oleh Tuhannya akan dia kerana bahawasanya engkau itu tiada engkau lihat atasnya segala alamat segala orang yang Arif dan tiada kebajikan segala orang yang kasih akan Allah. Maka jikalau tiada Warid Ilahi nescaya tiada hasil Wirid itu.

Keterangan Suluk

Untuk memudahkan kefahaman kita berkenaan kalam hikmah di atas, tidak salah rasanya kita rumuskan dalam bahasa yang lebih mudah akan terjemahan Tok Pulau Manis di atas sebagaimana berikut;

Jika kau melihat seorang yang ditetapkan oleh Allah dalam menjaga wirid-wiridnya; dan sampai lama tidak juga menerima Kurnia(Keistimewaan) dari Allah, maka jangan engkau remehkan pemberian Allah(dapat mengekali wirid-wirid tersebut) kerana belum terlihat padanya tanda-tanda orang Arif atau Keindahan cinta pada Allah, sebab sekiranya tidak ada WARID(Kurnia Allah), nescaya tiada WIRID dari hamba tersebut.

Wah sekarang....kita sedang berdepan dengan satu bicara yang berkaitan dengan rahsia Wirid dan Warid yang menjadi intipati Ilmu Kaum Sufi.

Yang dimaksudkan dengan wirid mereka ialah apa sahaja perbuatan/pekerjaan yang ditujukan kerana Allah mengikut apa yang dituntut dan digalakkan oleh syarak. Tidaklah ianya semata-mata ditujukan kepada mereka yang mengamalkan zikir-zikir yang khususiyah dengan kadar dan bilangan yang tertentu atau dengan tertib masa dan ketikanya. Tetapi bahkan, Wirid boleh muncul dalam pelbagai wajah dan bentuk.

Mengekalkan sembahyang sunat di waktu siang atau malam

Mengekali puasa pada umpamanya setiap hari Isnin dan Khamis,

Mengekali membaca al-Qur'an

Mengekali bertasbih, berzikir, bertahmid dan beristigfar pada waktu-waktu yang khusus atau di mana-mana sahaja

Mengekali menuntut ilmu akhirat,

Mengekali Mentelaah Kitab-kitab Ilmu

Mengekali Takafur dan Muhasabah

Mengekali membuat kebaikan dan kebajikan kepada manusia lain seperti,

Suka membersihkan tandas dan kawasan surau tanpa disuruh atau upahan

Membuang sampah dan sesuatu yang membahayakan di jalan-jalan yang dilalui oleh orang ramai

Sedia menghulurkan bantuan tenaga dan fikiran apabila dipinta;

Banyak memberi dan sedikit meminta;

dan pelbagai sifat-sifat baik perangai lain sebagaimana yang tercermin pada diri orang-orang Sholeh, Aulia, Ambiya dan Mursalin.

Adapan yang dikatakan Warid itu ialah sesuatu yang berupa bentuk limpah kurnia Allah Taala yang dicampakkan ke dalam hati seorang hamba dengan berbagai-bagai perasaan seperti;

suka dan seronok dalam berbuat ibadat, atau

merasai manis dan lazat untuk sentiasa beribadat atau

perasaan kecut atau takut dengan Kekuasaan Allah atau

diberikan kemudahan untuk memahami sesuatu Ilmu yang tinggi-tinggi dan yang susah bagi kebanyakan orang, atau

didatangi perasaan Kasih dan Cinta kepada Allah yang amat sangat.

Inilah antara contoh-contoh rupa Warid yang jatuh ke atas hati seorang hamba yang dikehendaki Allah. Banyak lagi contoh-contoh lain mengenai Warid ini yang boleh anda dapati di bawah tajuk Warid Makrifat Rabbaniyah

Jika kita telah benar-benar fahami apa yang dimaksudkan dengan Wirid dan Warid ini, maka akan jelaslah pada kita bentuk hubungan antara kedua-duanya dan faham lah kita berkenaan keterangan Maka jikalau tiada Warid Ilahi nescaya tiada hasil Wirid itu yakni jika tidak ada limpah Kurnia Allah dengan pelbagai kecenderungan rasa(Warid), maka tidak zhohirlah pelbagai hal-hal ibadat(Wirid) dari seorang hamba.

Dengan Warid inilah timbulnya pelbagai hal dan maqam seseorang hamba yang terjelma melalui Wirid-Wirid(Aurad) yang dikerjakan mereka.

Dan tidaklah semestinya Warid yang membolehkan membukakan sesuatu ghaib sahaja semata-mata sebagai Warid yang tinggi dan terpuji dan

tidaklah semestinya yang bisa mengetahui secara terus apa-apa yang dijahilkan sahaja yang boleh diiktiraf sebagai seorang yang ada Warid.

Demikian pulalah Warid itu semata-mata wujud dengan lahirnya keramat dan pelbagai keistimewa yang mencarik adat pada seorang hamba.

Tetapi bahkan ia boleh muncul dan menjelma dalam pelbagai bentuk yang menjadikan ianya disebut sebagai hal ataupun maqam.

Dengan ini seorang yang dapat mengistiqamahkan auradnya iaitu dengan mengekali mengerjakan pelbagai amal ibadat dan kebaikan seperti sholat-sholat sunat, berzikir, bertasbih, berselawat dan sebagainya nanti sehinggakan amalan-amalan tersebut menjadi rutin dan sebagai satu kebiasaan dirinya dengan diberikan keluasan rezeki sama ada dunia, atau dimudahkan segala urusan akhirat mahupun ruhnya adalah seorang yang telah mendirikan haq Allah yang terjelma melalui Wirid-wirid tersebut.

Orang yang begini maka jangan engkau hinakan akan yang telah dianugerahkan oleh Tuhannya akan dia yakni jangan diremehkan dan diperkecilkan Warid Anugerah Allah ini. Jangan engkau hinakan mereka hanya kerana

bahawasanya engkau itu tiada engkau lihat atasnya segala alamat segala orang yang Arif dan

tiada kebajikan segala orang yang kasih akan Allah.

yakni jangan dihinakan mereka walaupun tidak zhohir dan ternyata tanda-tanda orang-orang arif yang Ahli Makrifat, Musyahadah dan Mukasyafah. Jangan direndahkan mereka walaupun,

Tidak tersohor namanya;

Tidak ramai pengikut-pengikutnya

Tidak punya milik

Tidak punya apa-apa keistimewaan yang nyata

Walaupun engkau melihat tidak zhohirnya tanda-tanda orang yang asyik ma'syuk dengan Mahabbah Allah, jangan dilekehkan hal-ahwal mereka. Jangan dihina walaupun mereka nampak;

bengis,

aktif,

sibuk dengan asbab.

Ini adalah kerana Maka jikalau tiada Warid Ilahi nescaya tiada hasil Warid itu yakni jikalau tidak pelbagai limpah kurnia dari Allah Taala itu, maka tidaklah mereka itu akan sibuk dengan urusan Wirid-wirid harian mereka itu.

Tegasnya, apa yang lebih penting dan utama ialah mengistiqamahkan sesuatu wirid itu, biarpun sekadar yang sedikit cuma. Maka ingatlah wahai diriku, membeza-bezakan seorang itu dengan berdasarkan ada tiadanya tanda-tanda orang arif atau yang sedang mabuk Fana adalah setengah daripada jahat adab yang perlu dijauhi.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Bermula segala hamba Allah yang makhsus itu terbahagi atas dua bahagi;

Pertama, segala orang yang Muqarrab(hampir) dan

Kedua, segala orang yang Abrar(sentiasa buat amal dengan tertib dan teratur).

Keterangan Suluk

Melanjutkan lagi huraian berkaitan hal-ahwal dan maqam-maqam yang terhasil dari wujudnya Warid Ilahi di atas, maka hendaklah diketahui bahawa segala hamba Allah yang khusus dan terpilih untuk mendapat menerima Warid itu terbahagi kepada dua golongan yakni Muqarrab dan Abrar.

Maka segala orang yang Muqarrab itu mereka itulah yang telah diambil(diangkat oleh Allah) mereka itu daripada bahagian nafsu mereka itu dan daripada iradat(kehendak) mereka itu dan mengerjakan mereka itu dalam mendirikan segala haq Tuhan mereka itu padahal Ubudiyah bagiNya dan menuntut Kurnia padaNya. Maka sekelian mereka itu lah segala orang Arif dan orang yang Kasih.

Maka adalah segala orang-orang Yang Muqarrab itu ialah satu golongan hamba yang dipilih khusus oleh Allah Taala

sebagai seorang yang telah dibebaskan dari rantai dan belenggu hawa nafsu;(yang telah diambil(diangkat oleh Allah) mereka itu daripada bahagian nafsu mereka itu)

sebagai seorang yang lepas bebas dari mengikut kehendak diri dan pengaruh basyariyah (daripada iradat(kehendak) mereka itu)

sebagai seorang yang yang sentiasa melaksanakan kesempurnaan amal-ibadat yang zhohir dan batin

padahal dilaksanakan segala perintah dan dijauhkan segala tegahan itu dengan semata-mata kerana melaksanakan Hak Kehambaan bagi menyempurnakan Hak KetuhananNya dengan sentiasa mengharapkan limpah kurnia dari Allah Taala kerana nyatanya dirinya Fakir, Hina, Dhoif, Lemah, Jahil lagi Haqir.

Maka sekelian mereka yang bersifat seperti di atas adalah terdiri dari golongan orang-orang Arif dan Yang Mahabbah kepada Allah Taala.

Dan segala orang yang Abrar itu iaitu segala orang yang lagi tinggal serta bahagian nafsu mereka itu dan iradat mereka itu dan mendatangkan mereka itu dalam segala amal dan taat supaya dibalas mereka itu atasnya dengan meninggikan segala darjat dalam segala kebajikan dan mereka itulah segala orang Zahid yang 'Abid.

Golongan yang kedua yakni yang digelar sebagai orang Abrar adalah mereka dalam melaksanakan Hak Kehambaan;

masih cenderung kepada bahagian nafsu mereka;

masih cenderung untuk mengikut kehendak dan pilihan diri

masih mengharapkan balasan dari amal-ibadat dan taat mereka dengan

mengharapkan balasan darjat yang tinggi-tinggi dan mulia dalam setiap kebajikan yang dilaksanakan.

Harapkan kedudukan yang tinggi

Harapkan sanjungan dan pujian manusia

Harapkan pengiktirafan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Sifat dan peribadi sebegini adalah hal-ahwal golongan Abrar yang terdiri daripada orang-orang Yang Zahid dan Yang Abid. Orang-orang Abrar adalah mereka yang mengerjakan amal dengan tertib dan teratur secara rutin dan berkekalan.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan tiap-tiap seorang daripada mereka itu dikurniai dalam Maqamnya yang dikehendaki daripada mereka itu akan mendirikan pada segala haq Maqam mereka itu bersalah-salahan.

Keterangan Suluk

Dengan huraian dan perbincangan yang telah dibuat di atas, maka yang jelasnya bagi tiap-tiap hamba itu ada KurniaNya yang tersendiri. Berbagai-bagai bentuk Kurnia ini menjadikan mereka berada pada Maqam-maqam sebagaimana yang diKehendaki Allah. Maka berdirilah ahli-ahli Maqam tersebut dengan menunaikan hal-ahwal, adab-adab dan hak-hak mengikut kepelbagaian Maqam tersebut.

Untuk itu mengapa ada yang sampai tolol dan rakus sekali menghina-hina/melekeh-lekehkan sebahagian mereka dan melebih-lebihkan sebahagian yang lain; sedangkan itu adalah tanda-tanda yang menunjukkan betapa indah, betapa kaya, betapa kreatifnya dan betapa berhikmahnya Pemerintahan Allah. Renungilah firman Allah;

"Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya. (Al-Imran: 73)

Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.(Al-Rad:4)

Untuk itu janganlah dihinakan mereka sebagaimana yang ditegaskan lagi sekali dari......

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Maka apabila engkau lihat seorang hamba

telah mendirikan Allah akan dia dalam segala amal kebajikan

dan taat yang zhohir

dan mengekalkan segala Aurad-aurad

dan ditolong dalam demikian itu dengan TolongNya

dan dimudahkannya,

maka demikian itu daripada Ikhtiar(Pilihan) Allah Taala baginya;

Maka jangan engkau hinakan demikian itu kerana

tiada engkau lihat atasnya alamat segala orang yang Arif daripada meninggalkan segala ikhtiarnya

dan tiada lepas daripada segala nafsunya dan segala iradatnya

dan tiada[nyata) kebajikan segala orang yang kasih daripada sangat kasihnya pada segala keredhoan yang dikasih mereka itu

dan beroleh kekalnya dan petunjuk antara kekasih mereka itu.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Maka jikalau tiada Warid dikeluarkan oleh Ilahi atasnya, nescaya tiada berdiri ia atasnya dan Wiridnya(tidak akan zhohir amal taat itu). Maka iaitu tiada keluar ia daripada daerah TolongNya dan Hithoh(lingkungan) PeliharaNya.

Keterangan Suluk

Jika difahami intipati perbincangan dan huraian di atas, maka jelaslah bagi kita seorang yang dapat mendirikan dan melaksanakan pelbagai jenis Wirid secara rutin dan berkekalan adalah seorang yang telah mendapat anugerah limpah kurnia Warid Ilahiyah. Ini adalah jika tiada Warid itu, nescaya tidak akan zhohirlah wirid-wirid yang dikerjakan oleh hamba itu.

Dengan itu adalah seseorang hamba itu akan sentiasa berada dalam daerah lingkungan Pertolongan dan Pemeliharaan Allah Taala. Sesungguhnya dalam apa jua jelmaan taat dan ibadat itu menunjukkan bahawa tidak sekali-kali terkeluar seorang hamba itu daripada daerah TolongNya dan Hithoh(lingkungan) PeliharaNya.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan ketahui olehmu bahawasanya Wilayah itu dua perkara; Pertama, Wilayah Umum dan Kedua, Wilayah Khusus.

Keterangan Suluk

Bersambung dalam Pengajian yang selanjutnya di bawah tajuk Pembahagian Wilayah

Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 24. 08. 2000 / 24Jamadil Awal 1421)

PEMBAHAGIAN WILAYAH

Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan ketahui olehmu bahawasanya Wilayah itu dua perkara;

Pertama, Wilayah Umum dan

Kedua, Wilayah Khusus.

Maka yang pertama itu bagi segala orang yang Mujahadah dan yang khidmat; dan yang kedua itu bagi segala orang yang Mahabbah dan Minnah(bangkit syukur kepada Allah).

Keterangan Suluk

Istilah Wilayah merupakan salah satu komponen di samping yang lain-lainnya yang bersangkutan dengan Ilmu dan hal-ahwal kaum Sufiah. Pembahagian Wilayah kepada dua perkara di atas adalah merujuk kepada dua golongan/martabat yang sememangnya telah ditetapkan dan ditentuak oleh Allah Taala. Ditetapkan dan ditentukan masing-masing mengikut takluk Ilmu Allah Yang Qadim sebelum daripada dizhohirkan mereka di alam ini. Masing-masing golongan mempunyai peranan dan hal-ahwalnya mengikut kententuan yang tersendiri.

Golongan Wilayah Umum adalah merujuk kepada mereka yang ahli Mujahadah dan Ahli Al-Khidmat. yang berjuang dengan masa, harta dan tenaga mereka untuk membersihkan jiwa dari nafsu-nafsu yang rendah dengan pelbagai wirid, amal dan taat dalam mendapat keredhoaan dari Allah..

Golongan Wilayah Khusus pula terdiri daripada mereka yang dipilih dan dikurniakan rasa kasih dan kecintaan kepada Allah Taala. Mereka berdampingan diri dengan Allah Taala dengan limpahan cahaya MakrifatNya yang sentiasa membangkitkan syuhud mereka sehingga tenggelam dalam lautan kesyukuran kepada Allah.

Kepada inilah diisyaratkan Mualif(Sheikh Ibnu Athoillah As-Kandari ra) dengan katanya;

Bermula segala hamba itu atas dua bahagi.

Satu kaum yang didirikan Haq Taala akan mereka itu berbuat khidmat akan Dia; dan

kedua kaum yang dituntut Haq Taala akan mereka itu mengasih Dia(Makrifat)

Firman Allah; "Tiap-tiap mereka itu kami tolong sekelian mereka itu; dan adalah tolong akan sekelian mereka itu daripada Anugerah Tuhanmu, Ya Muhammad dan tiada ada anugerah TuhanMu tertegah.

Keterangan Suluk

Sebelum kita menjelujur pada keterangan dan huraian Tok Pulau Manis berkenaan dengan Kalam Hikmah di atas, ada baik rasanya kita terlebih memahami akan dasar dan asas kepada pembahagian Wilayah ini.

Asas yang menjadi dasar pembahagian tersebut adalah berdasarkan adalah tolong akan sekelian mereka itu daripada Anugerah Tuhanmu yang antara maksudnya telah ditentukan dan dikadarkan dari azali lagi menurut apa yang terpendam dalam takluk Ilmu Allah Yang Qadim. Segala sesuatu yang terzhohir di alam ini tidak sedikitpun berubah atau lari dari ketentuan dan ketetapan Allah yang Qadim itu. Termasuklah kadar rezeki dan kedudukan serta hal-ahwal hamba-hambanya. Masing-masing ada habuannya dan kedudukan tempat tegaknya tersendiri. Dan sememangnya tiada ada anugerah TuhanMu tertegah yakni kedudukan dan ketetapan untuk seseorang hamba itu tidak akan berubah-ubah lagi biarpun setinggi mana cita-cita seorang hamba sekuat mana usaha untuk merubahnya.

Huraian dan Keterangan Kalam Hikmah Tok Pulau Manis

Maka yang satu kaum itu telah didirikan Ha Taala akan mereka itu bagi berbuat khidmat akan Dia hingga patut mereka itu SyurgaNya. Dan mereka itulah segala orang yang Zahid dan segala orang Abid.

Keterangan Suluk

Dalam menyatakan Indahnya Manifestasi Jamal Tuhan dan betapa Agung KeesaanNya, maka telah ditentu olehNya satu golongan hamba-hambanya untuk sentiasa Mengagungkan dan Memulia Zat Rabbul Jalil itu dengan dislutkan pakaian dan perhiasan hamba yang sentiasa berbuat khidmat kepadaNya. Ditentukan mereka untuk sentiasa gemar dan berlazat-lazat dengan pelbagai amal-ibadat dan taat di samping ada pula yang sampai dingin hati kepada dunia, bersifat zuhud dengannya dengan merasa kaya dengan Allah. Mereka ini adalah golongan yang telah ditetapkan dan ditentukan untuk menjadi seorang yang Zahid dan orang yang Abid. Mereka adalah golongan bertuah yang mendapat limpah anugerah persalinan Al-Khidmat ini sehingga melayakkan mereka untuk masuk ke Syurga Allah

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan yang satu kaum itu telah ditentukan Haq Taala akan mereka itu bagi mengasih akan Dia hingga patut mereka itu hampir akan Dia dan masuk HadratNya. Dan mereka itulah segala orang yang Arif dan segala orang yang Ulama.

Keterangan Suluk

Manakala ada lagi satu golongan hambanya yang telah terpilih dari Azali lagi untuk menjadi kekasihNya, yang mengasihi diriNya dengan rindu dendam dan asyik ma'syuk. Hamba yang terpilih ini adalah mereka yang disimbahkan dengan MakrifatuLlah sehingga dikenalnya Allah dengan sebenar-benar kenal sehingga menenggelamkan mereka dalam lautan Kasih Sayang Allah. Mereka itulah yang diumpamakan "orang istana" yang patut untuk mendampingi TuhanNya dan layak untuk masuk ke HadratNya untuk mengenali(makrifat) antara yang haq dengan yang batil. Mereka ini adalah golongan orang Arif dan Ulama Tauhid

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan sekelian mereka itu dalam taatnya. Maka barangsiapa disyughulkan dengan ibadatnya, maka iaitu dalam keredhoaanNya dan KurniaNya. Dan barangsiapa dituntutkanNya dengan KasihNya, maka iaitu dalam Fadhol AnugerahNya.

Keterangan Suluk

Adalah hal-keadaannya sekelian mereka itu yakni orang yang Zuhud dan Abid; ArifbiLlah dan Ulama Tauhid sentiasa berada dan amal taatnya yang tersendiri. Berbeza-beza antara satu sama lain mengikut bezanya golongan dan bahkan berbeza pula antara sesama satu golongan.

Maka barangsiapa disyughulkan dengan ibadatnya yakni sesiapa yang ditentukan untuk sentiasa berbimbang dan berjinak-jinak dengan pelbagai wirid dan amal, maka iaitu dalam keredhoaanNya dan KurniaNya.

Dan barangsiapa dituntutkanNya dengan KasihNya yakni yang dipilih khas untuk mendapat MahabbahNya maka iaitu dalam Fadhol AnugerahNya. yakni mereka yang mendapat limpah anugerah Kurnia Allah Taala

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Maka inilah iktibar bagi tiap-tiap kadarnya tetapi orang yang Mahabbah dan Makrifat itu terlebih tinggi Maqamnya kerana bahawasanya Maqam ibadat itu bidayah dan Maqam Mahabbah itu Hidayah dan Maqam Makrifat itu Nihayah.

Keterangan Suluk

Maka keterangan di atas adalah satu wajah memperincikan bagi tiap-tiap kadar Iradat Tuhan Yang Qadim itu. Ada yang jauh, ada yang hampir, ada yang di luar, ada yang di dalam, ada yang rendah dan ada yang tinggi. Namun untuk semua maqam-maqam yang ditempatkan itu, ditegaskan oleh aulia Allah ini bahawa Ahli Mahbbah dan Makrifat itu lebih tinggi kedudukannya berbanding dengan ahli Maqam ibadat. Ini adalah kerana mengikut pengkelasan para sufi,

Maqam ibadat itu bidayah yakni permulaan perjalanan keruhanian dan

Maqam Mahabbah itu Hidayah yakni yang mendapat tunjukkan dari Allah dan

Maqam Makrifat itu Nihayah yakni kesudahan atau sut apa yang diistilahkan sebagai "kehampiran" dengan Allah Taala.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan jikalau engkau kehendaki[maka boleh] engkau kata Maqam Ibadat itu Maqam orang yang berkehendak dan Maqam Mahabbah itu Maqam orang yang Dikehendaki dan Maqam Makrifat itu orang yang sempurna daripada segala hambanya.

Keterangan Suluk

Berkenaan dengan berbezanya tingkatan maqam-maqam tersebut, maka dengan lain perkataan atau lain fahaman bolehlah kita katakan bahawa;

Maqam ibadat itu adalah merujuk kepada hal-ahwal orang yang berkehendak yakni yang menuntut sesuatu yang terhasil dari amal ibadatnya. Biasanya mereka ingin mendapat balasan syurga dan nikmat di atas perbuatan amal taatnya.

Maqam Mahabbah itu pula adalah orang yang Dikehendaki yakni yang dipilih dan ditarik oleh Allah tanpa dikeranakan sesuatu kerena untuk menjadi hamba pilihanNya yang sentiasa memuja dan memujiNya.

Dan Maqam Makrifat itulah sehingga-hingga maqam di mana disempurnakan limpah kurniaNya yang besar, mulia lagi Agung. Mereka inilah orang yang sempurna daripada segala hambanya.

Dan untuk lebih detail dan terperincinya berkenaan dengan kadar pembahagian maqam ini, kita ikuti seterusnya............

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Maka adalah orang yang mengerjakan amal itu dengan mentahqiqkan amalnya kerana qasad menghasilkan angan-angannya;

Dan orang yang zahid itu orang yang lari daripada makhluk supaya bersuatu hemahnya bagi TuhanNya;

Dan orang yang Mahabbah itu orang yang melihat akan Dia(Allah) atastiap-tiap sesuatu;

Dan orang yang Arif(Makrifat) itu orang yang memandang akan Dia(Allah) dalam tiap-tiap sesuatu;

Dan orang yang Wasil itu orang yang telah fana ia dengan Dia(Allah) daripada tiap-tiap sesuatu.

Keterangan Suluk

Adapun seseorang yang mengerjakan pelbagai wirid atau amalan-amalan am dan khususiyah dengan sentiasa menyempurnakan adab-adabnya dan berkeyakinan akan mendapat balasan dari Allah Taala adalah terdiri dari mereka yang bertujuan memaksudkan angan-angannya. Kaum ini memutuskan segala padang, hutan dan gua untuk Qiyamullail dan puasa di siang hari. Mereka melakukan pelbagai ibadat dan khidmat semata-mata kerana Allah. Sungguhpun, mereka ingin agar terhasil beberapa faedah yang dicita-citakan oleh dirinya;

Mereka berangan-angan untuk mendapat sesuatu keistimewaan yang boleh mentahqiqkan lagi wirid-wirid atau amal taatnya.

Mereka berangan-angan untuk dibukakan baginya pintu-pintu alam ghaib sebagimana yang diheboh-hebohkan berkenaani Alam Malakut, Alam Jabarut dan Alam Laahut. Jika dapat sedikit pun, pembukaan tersebut akan mentahqiqkan lagi wirid-wirid mereka yang dawam itu.

Dan berbagai-bagai angan-angan lagi yang berkepentingan untuk membahagiakan dirinya.

Inilah sebahagian daripada Wilayah yang telah Ditetapkan Allah untuk mereka.

Adalah orang Maqam Zahid pula, orang yang beruzlah mengasingkan diri dari manusia yang lalai di samping menjauhkan diri daripada tipu daya dunia. Tujuan mereka adalah meninggikan dan membulatkan hemahnya dengan TuhanNya semata-mata tanpa ada kecenderungan kepada yang lain. Mereka akan melarikan diri daripada apa-apa sahaja yang menjadi kecenderungan nafsunya.

Mereka zuhud daripada berkecenderungan untuk mendapat perhatian manusia; Pujian, penghormatan dan kemuliaan seakan racun yang akan melumpuhkan hemahnya dengan Tuhan.

Apalah mengharapkan pujian dan perhatian manusia kerana ada sedikit kelebihan ilmu dan makrifat, sedangkan kelebihan itu semata-mata kurnia dari Allah.

Mereka zuhud daripada mengambil dunia ini bagi tujuan mendapatkan kesenangan, keselesaan dan kebahagiaan diri. Diambilnya sekadar untuk menyempurnakan ibadatnya semata-mata.

Inilah sebahagian daripada Wilayah yang telah Ditetapkan Allah untuk mereka.

Maqam seterusnya Mahabbah iaitu mereka yang melihat akan Dia(Allah) atas tiap-tiap sesuatu; yakni memandang dalam Musyahadah mereka bahawa Kehendak, Kekuasaan, dan Limpah Kurnia Kasih Sayang Allah Taala itu terdahulu daripada berhajatnya sesuatu kepadaNya.

Dalam taat ibadatnya mereka dapat melihat bahawa Kasih Sayang Allahlah yang menganugerahkan nikmat manis dan lazat bermunajat.

Dalam timpaan bala dan sengsara hidup dilihatnya betapa Kasih Sayang Allahlah mereka dihampirkan kedudukan mereka yang mencapai "kehampiran" dengan Allah.

Dalam menerima nikmat, dipandangnya Kasih Sayang Allahlah yang memilih mereka untuk mendapatkannya.

Mereka asyik dengan memandang Kasih Sayang Allah itu di atas tiap-tiap sesuatu pada dirinya dan pada makhluk sehingga menjadikan mereka orang-orang sentiasa memuja dan memuji TuhanNya dengan perasaan yang asyik ma'syuk.

Rindu dan asyik seorang kekasih(Habib) untuk bertemu muka dengan Yang diKasih(Mahbub) menjadikan wajah kekasih itu sentiasa muncul di atas tiap-tiap sesuatu.

Dan orang yang Arif(Makrifat) itu orang yang memandang akan Dia(Allah) dalam tiap-tiap sesuatu; yakni mereka yang telah dipenuhi jiwa mereka dengan cahaya makrifat Allah yang membolehkan mereka untuk melihat Allah dalam tiap-tiap sesuatu. Mereka adalah golongan terpilih yang tahu untuk meletakkan sesuatu perkara yang dilihat dan dirasa itu pada tempatnya. Memandang Allah dalam tiap-tiap sesuatu bukanlah melenyapkan terus pandangan terhadap sesuatu sehingga segala-galanya adalah Allah.

Ada golongan ahli dakwa yang keliru di sini di mana apabila mereka ingin menunjukkan bahawa mereka adalah Ahli Makrifat lantas mereka akan berkata;

Aku lihat Allah menyapu sampah

Aku lihat Allah sedang makan rumput di padang

dan lain-lain ucapan yang bukan sahaja merosakkan dirinya malah boleh mengelirukan orang lain.

Adapun memandang Allah dalam sesuatu itu mewajibkan hukum farqi dan jami'.

Pada zhohirnya yang makhluk itu makhluk(farqi) dan

pada hakikatnya tidak terpisah makhluk itu dengan Allah(jami')

Mereka adalah golongan yang berada dan bercampur dengan manusia ramai, memberi dan mengambil, berurusan dengan mereka, tetapi tidak pernah memandang kepada asbab, ikhtiar dan kerenah. Mereka arif kerena tahu meletakkan sesuatu itu pada tempat yang haq.

Dan orang yang Wasil itu orang yang telah fana ia dengan Dia(Allah) daripada tiap-tiap sesuatu. Maqam yang terakhir sekali ialah yang telah sampai dan mencapai kepada hakikat "kehampiran" dengan Allah. Seumpama seorang yang sebelum ini mengenali kekasihnya atau Rajanya melalui tanda-tanda dan cerita orang-orang yang hampir dengannya, dan kini berhadapan dan berpandangan muka, maka hilanglah segala pandangannya daripada tanda-tanda dan cerita-cerita tersebut dengan sebab asyik dan mabuk dengan wajah pujaannya.

Demikianlah kiasan bagi yang fana, sehingga diri sendiri(diri yang memandang)pun hilang lenyap seumpama lenyapnya setitis air dalam sebuah lautan.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Maka apabila memandang hamba itu kepada sendiri Haq Taala dengan Ia mendirikan itu, maka ditegahkan demikian itu daripada menghinakan. Dan serahkannya(hamba) pekerjaannya(hal-ahwal) bagiNya(Allah) Tadbir dan Iktiar(Pilihan).

Keterangan Suluk

Keterangan di atas adalah sebagai rumusan kepada huraian dan perbincangan yang telah dibuat sepanjang pengajian ini serta yang sebelumnya yang berkaitan dengan kalam hikmah

jangan engkau remehkan pemberian Allah(dapat mengekali wirid-wirid tersebut) kerana belum terlihat padanya tanda-tanda orang Arif atau Keindahan cinta pada Allah, sebab sekiranya tidak ada WARID(Kurnia Allah), nescaya tiada WIRID dari hamba tersebut.

Jika difahami maksud dan tujuan perbincangan di atas berkenaan pelbagai jenis Warid dan Wirid mengikut pembahagian Wilayah-Wilayah yang tertentu, maka.... sewajar dan semestinyalah seorang yang tahu menjaga dan memelihara adab-adab dalam Ilmu kaun sufi menjauhkan diri daripada berkecenderungan untuk membeza-bezakan dan meremeh-remehkan kedudukan orang lain. Ini jahat adab namanya. Jahat adab dengan TuhanNya.

Adalah tidak menjadi haknya untuk menentukan dan menilai serta membeza-membezakan yang itu kurang dan yang ini baik, malah hendaklah difahami dan disedari bahawa sendiri Haq Taala dengan Ia mendirikan itu yakni bersendirian Allah dalam menentukan dan mengkadarkan rezeki dan kedudukan seseorang hamba tanpa sebarang asbab dan campurtangan pilihan hambanya; maka jangan sekali-kali dihina-hinakan dan dilekeh-lekehkan ahli maqam lain.

Ingin ditegaskan lagi sekali....jangan dihinakan dan diperlekehkan jalan-jalan yang dilalui oleh orang lain hanya dengan sebab kerana kita... Ahli Ilmu yang asyik dan leka dengan penggalian ilmu Ahli ibadat dan bermasghul dengan wirid dan taat Ahli Thoriqat yang bersalsilahkan Masyayeikh yang Mursyid.

Ingatlah! Fahamkanlah! dan Sedarilah bahawa Allah itu dari dahulu lagi(A'yan Sabiyah) SendiriNya dalam menentukan dan mengkadarkan sesuatu itu.

Belajarlah dan belajarlah lagi terutamanya kaifiat-kaifiat seorang pengembara kerana Imam Ghazali pernah berpesan;

Ketahuilah .....Hal ibadat telah cukup kami fikirkan, telah pula kami teliti jalannya dari awal hingga tujuan akhirnya yang diidam-idamkan oleh para penempuhnya(abid/salik/ilmuan). Ternyata suatu jalan yang amat sukar, banyak tanjakan-tanjakannya(pendakiannya), sangat payah dan jauh perjalanannya, besar bahayanya dan tidak sedikit pula halangannya dan rintangannya, samar di mana tempat celaka dan akan binasa, banyak lawan dan penyamunnya, sedikit teman dan penolongnya.

Sentiasaku ingatkan diri ini;

Samar di mana tempat celaka dan akan binasa Samar di mana tempat celaka dan akan binasa Samar di mana tempat celaka dan akan binasa

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Abu Yazid r.a.;

Telah menyatakan Allah Subhanahuwa Taala atas hati segala kekasihNya. Maka setengah mereka itu orang yang tiada patut ia bagi menanggung Makrifat, maka disyughulkan mereka dengan ibadat.

Keterangan Suluk

Bersambung dalam Pengajian yang selanjutnya di bawah tajuk Kadar Untuk Seorang Hamba

Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 31. 08. 2000 / 02Jamadil Akhir 1421)

KADAR UNTUK SEORANG HAMBA

Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Abu Yazid r.a.;

Telah menyatakan Allah Subhanahuwa Taala atas hati segala kekasihNya. Maka setengah mereka itu orang yang tiada patut ia bagi menanggung Makrifat, maka disyughulkan mereka dengan ibadat.

Keterangan Suluk

Hati seorang yang menjadi Kekasih Allah adalah yang terpilih. Ia adalah yang suci dan bersih daripada gangguan Agyar dan Akdar. Hati yang asyik mak'syuk dengan Allah ini sememang sentiasa mendapat KemurahanNya untuk menerima Tajali atau kenyataan sesuatu hakikat dari Allah Taala. Tajali yang dilimpahkan ke atas hati kekasihNya ini datang secara tiba-tiba dan tanpa disangka-sangka. Pun demikian, tidak semua yang mampu menanggung kesan dari simbahan MakrifatuLlah ini

Dengan itu adalah menjadi satu ketetapan Allah hanya yang kuat dan bersedia sahaja yang mampu menanggung Rahsia-rahsia Ketuhanan dari pancaran Makrifat. Dan setengah daripada hamba-hambaNya yang lain pula akan disyughulkan(dibimbangkan) diri untuk sentiasa taat beribadat kepadaNya dengan berbagai-bagai khidmat. Walaupun mereka kurang tahu dan merasai berkenaan dengan Makrifat dan Rahsia-Rahsia Ketuhanan, tetapi adalah golongan yang dipuji dan dimuliakan oleh Allah dengan nikmat-nikmat yang berkekalan kerana adanya persalinan Al-Khidmat itu.

Keterangan di atas tidak jauh bezanya dengan pandangan yang diberikan oleh......

Dan kata Abu Al-Abbas Al-Diinuri r.a;

Bahawasanya bagi Allah itu hamba tiada dipatutkan mereka itu bagi MakfiratNya. Maka disyughulkan mereka itu dengan khidmatnya; dan baginya hamba tiada dipatutkan mereka itu bagi khidmatNya, maka diahlikan mereka itu bagi MakrifatNya.

Keterangan Suluk

Yang berbezanya dari keterangan di atas ialah ditegaskan berkenaan dengan perbezaan keupayaan dan kemampuan seorang hamba. Semunya telah diqada dan diqadarkan sedari azali lagi. Menjadi kehendak dan ketetapan Allah yang Mutlak bahawa ada setengah daripada mereka ditegah daripada mendapat pancaran MakrifatuLlah. Mereka hanya layak untuk berbimbang dan menumpukan perhatian dengan taat dan ibadat semata-mata. Mereka mendapat bahagian keredhoaan Allah dengan KemuliaanNya Yang Sempurna.

Sungguhpun begitu, ada juga kedapatan seorang hamba yang tidak dipatutkan; dan tidak sesuai sebagai seorang yang ahli taat dan ibadat semata-mata(Ahli Khidmat) semata-mata, tetapi bahkan apa yang patut dan selayaknya untuk mereka; ialah menjadi kekasihNya yang dikurniakan Makrifat. Maka hamba yang sebegini diahlikan sebagai golongan Ahli Makrifat yang mengenal TuhanNya dengan sebenar-benar kenal.

Kita amat bersimpati dengan beberapa saudara kita, Ilmu Kesufian(Perjalanan Keruhanian) yang terlalu ghairah dengan halnya sehingga secara tidak sengaja(mungkin) mendakwa dan berlagak sebagai Ahli Makrifat sedangkan dalam masa yang sama sering sahaja meletakkan sesuatu itu bukan pada tempat yang haq. Kita harus ingat dan punya kesedaran yang tinggi; biasanya Ahli Makrifat tulen ialah seseorang yang telah pun arif tentang mana yang batil(tidak sebenar) dan mana pula yang haq(sebenar).

Mereka tidak akan ada perasaan apatah lagi ucapan yang menunjukkan kekeliruan sehingga;

sanggup membeza-bezakan kedudukan dan ketetapan buat seorang hamba

mengagungkan kelebihan jalannya(thoriq) dengan melekehkan thoriq-thoriq yang lain

Melebih-lebihkan pujian kepada makhluk(guru mereka) dengan memandang sepi guru-guru yang lain

Melebihbaikkan wirid-wiridnya berbanding wirid orang lain.

Dikhayalkan dengan limpahan Warid sehingga menghijabkan mereka dengan pelbagai pembukaan yang ajaib-ajaib sehingga mendakwa yang a'jib-a'jib.

Terjelma sifat-sifat yang rendah seperti ujub, riya dan takkabur pada dirinya tanpa disedari. Maklumlah, seekor semut yang merayap pada batu yang hitam di waktu malam yang pekat. Sesuatu yang hanya boleh dilihat dengan cahaya Makrifat.

Asyik membilang-bilang manis buah-buah orang lain sedangkan pokok sendiri tidak pernah berbuah.

Sesungguhnya di sisi orang yang Ahli Makrifat ini, tidak akan ada kekeliruan malahan jauh sekali bersifat terburu-buru sehinga sanggup membeza-bezakan sesuatu Semuanya sama taraf sebagai seorang hamba. Dipandang dirinya dan semua makhluk yang lain hatta seorang anjing kurap pun tidak berbeza tarafnya sebagai seorang hamba di sisi TuhanNya. Jika ada nampak lebih pun....itu adalah limpahan dan kemuharan Zat itu. Sendiri Ia(Allah) mengatur dan mengqadarkan sesuatu mengikut ZatNya Yang Qadim.

"Allah melebihkan rezeki antara seorang kamu dengan yang lain" (Surah An-Nahl:71)

Berhati-hatilah "diriku" kerana Takrif Tasauf itu ialah;

"Menghilangkan dakwa" dan "menyembunyikan Maani"(rahsia)

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan ketahui olehmu bahawasanya Mahabbah itu terlebih tinggi Maqam; dan daripada alamatnya itu Fana daripada tiap-tiap barang yang lain daripada Yang DiKasih(Allah).

Keterangan Suluk

Lagi sekali ditegaskan bahawa Maqam Mahabbah itu terlebih tinggi daripada Maqam-maqam yang lain. Antaranya Maqam Khauf, Maqam Redho, Maqam Zuhud, Maqam Tawakkal dan lain-lain lagi.

Orang Mahabbah ini ada tanda-tanda dan alamatnya untuk dikenali. Apabila mereka telah Fana daripada tiap-tiap sesuatu dengan kerana tenggelam dalam Lautan Musyahadah Allah, pandangan mereka tersyuhud semata-mata kepada Allah sehingga

Tidak wujud lagi pandangan kepada yang lain;

Tidak wujud kepada yang mengkhayal perbezaan,

Tidak wujud kepada yang terpisah dengan masa dan

Tidak wujud kepada yang dilingkungi dimensi

malah segala-galanya hancur hatta dirinya sendiri lebur dalam AgungNya Keesaan itu.

Dan barangsiapa Fana daripada tiap-tiap yang lain, nescaya adalah diAnugerahi seperti firman Allah Taala atas lisan Nabi Muhammad 'alaihissalamtu wassalam;

"Sentiasa hamba itu menghampirkan ia akan Daku dengan Nawafil hingga Kasih Aku akan dia. Apabila Kasih Aku akan dia, maka adalah Aku pendengaran yang mendengari ia dengan Dia; dan penglihatan yang melihat ia dengan Dia; dan lisannya yang berkata ia dengan Dia; dan tangannya yang memalu ia dengan Dia".

Keterangan Suluk

Hasil dari fananya seseorang yang Mahabbah ini, maka mereka akan dianugerahkan pula dengan limpah kurnia daripada Allah Taala sebagaimana firmanNya dari Hadis Qudsi Rasululllah SAW seperti di atas.

Tafsir dan hurian Hadis Qudsi ini boleh diambil kefahaman daripada pelbagai sudut. Antaranya ialah sebagaimana yang terdapat di bawah bicara Allah dan Manusia

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Sekelian mereka itu syuhud mereka itu dengan Qalbun dan Nazhor(tilik) mereka itu dengan Basyirah(mata hati) dan sama' mereka itu dengan kashaf dan Natqun(bertutur) mereka itu dengan hikam(hikmah); dan sekelian mereka itu datang atas hati mereka itu segala Waridat Ruhaniyyah dan Nafhatul Ilahiyyah.

Keterangan Suluk

Adalah hal-ahwal orang Mahabbah yang telah fana ini ialah

sentiasa Qalbun(Hati)nya berMusyahadah dengan Allah Taala

sentiasa Nazhor(tilikan)nya dengan Ainul Basyirah

sentiasa Sama'(Mendengar) dengan kashaf(pembukaan kepada alam ghaib)

sentiasa berhikmah(membimbing dan menyedarkan) dengan Natqun(Ucapan Ilmu mereka)

Dan apa yang dipelajari dari Kalam-Kalam Hikmah Kitab "Hikam" Ibnu Atoillah contoh yang paling dekat menjelaskan berkenaan Natqun atau ucapan berhikmah dari Ilmu mereka(Laduni). Dan yang meyakinkan kita lagi ialah kerana ia disyarahkan oleh yang juga seorang Aulia Allah.

Dengan sebab itu, tumpuan kefahaman hendaklah ditujukan kepada Kalam Hikmah dan keterangan Tok Pulau sebagaimana yang "diboldkan". Fakir Suluk hanya sekadar cuba berusaha untuk memudahkan aturan kefahaman pembaca dengan contoh-contoh semasa yang agak relevan. Tidak lebih dari itu, apa yang lebihnya ialah bersama-sama berusaha untuk mendapat sedikit pengertian dan kefahaman di sebalik isyarat-isyarat yang dipancarkan oleh dua orang Kekasih Allah ini, bukannya kepada keterangan Suluk..

Tidak hairanlah sedemikian rupa hal-ahwalnya kerana sememangnya sekelian Ahli Mahabbah yang fana ini didatangi atas Hati Mereka itu segala Waridat Ruhaniyyah dan Nafhatul Ilahiyyah.

Berkenaan dengan dua perkara inilah, menjadi kandungan syarah Tok Pulau Manis yang selanjutnya sebagaimana berikut

Dan kata Sheikh(Ibnu Atoillah As-Kandari)

Sedikit tiada ada Waridat Ilahiyyah itu melainkan dengan terkejut, kerana memeliharakan baginya daripada mendakwa akan dia segala hamba dengan sebab diperoleh sanggarahanya

Keterangan Suluk

Bersambung dalam Pengajian yang selanjutnya di bawah tajuk Waridat Ruhaniyyah dan Nafhatul Ilahiyyah.

Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 07. 09. 2000 / 08 Rejab 1421)

WARIDAT RUHANIYYAH DAN NAFHATUL ILAHIYYAH

Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Sheikh(Ibnu Atoillah As-Kandari)

Sedikit tiada ada Waridat Ilahiyyah itu melainkan dengan terkejut, kerana memeliharakan baginya daripada mendakwa akan dia segala hamba dengan sebab diperoleh sanggarahanya

Keterangan Suluk

Untuk memudahkan kefahaman kita, elok rasanya kita susun kembali kalam hikmah di atas menjadi;

Tidak akan terjadi sesuatu yang dikatakan Waridat Ilahiyyah itu melainkan dengan terkejut yakni secara tiba-tiba atau secara mendadak. Kedatangan Warid secara tanpa di sangka-sangka ini adalah bertujuan untuk memelihara daripada mendakwa hamba-hambaNya kerana telah bersungguh-sungguh mengadakan persiapan(sanggarahanya) bagi menerima sesuatu Warid.

Secara kasarnya dapatlah kita fahami kalam hikmah di atas adalah ditujukan kepada sesuatu yang berkaitan kehaibatan kedatangan sesuatu Kurnia Allah Taala yang disebutkan sebagai Warid sehingga langsungnya boleh menghapuskan pelbagai sangkaan dan khayalan sehingga menyanggah dakwaan seseorang hamba.

Apakah yang dimaksudkan dengan Waridat Ilahiyyah atau di tempat lainnya disebut sebagai Warid Ilahi ini? Apakah pula kehaibatan dan keistimewaannya sehingga menafikan campur tangan dari hamba-hambaNya?..

Bagi mengetahuinya, kita lanjutkan perbincangan ini dengan mengikuti.........

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Bermula segala Waridat Ilahiyyah itu hadiah daripada Allah Taala dan Tuhfatun(Kurnia Pembukaan) Keramat; dipermuliakan dengan dia akan segala hambaNya. Maka tiada ada ia pada gholibnya melainkan dengan terkejut supaya jangan mendakwa akan dia dan melihat akan diri mereka itu ahli baginya kerana wujud segala Warid mereka itu.

Keterangan Suluk

Waridat Ilahiyyah itu ialah satu hadiah Kurniaan Allah Taala yang bangsa Ketuhanan yang juga sesuatu Kurnia Pembukaan Keramat yang datang dan melimpah ke atas hati/jiwa seorang hamba yang dipilihNya tanpa sesuatu kerana atau sebab. Ia datang bukan untuk meluluskan kehendak hamba dan kehadirannya pula cara datangnya ia dengan tiba-tiba . Datang secara mengejut dan tidak disangka-kan; itulah gholib atau kebiasaannya. Kekuatannya sehingga meluluskan sesuatu yang mencarik adat atau terkeluar daripada jalan yang teradat oleh akal. Semata-mata sebagai satu Manifestasi AgungNya, MuliaNya dan EsaNya Zat itu untuk dilimpahkan kepada "kekasih"Nya. Ianya merupakan satu hadiah kurniaan untuk mempermuliakan seorang hamba di sisiNya. Sedikitpun tidak bertalian atau berhubungan dengan pilihan, kehendak dan usaha dari seorang hambaNya. Yang Menjadi milik MutlaqNya; dan beruntunglah mereka-mereka yang berada di bahagian ini.

Antara hal Waridat Ilhaiyyah ini ialah seumpama tarikan yang langsung dari Allah Taala yang mencabut pandangan mata hati seorang hamba daripada lalai menilik akuan (benda-benda alam dan kejadian alam) kepada Memandang(Syuhud) kepada Yang Mengatur Segala Urusan atau lain-lain pembukaan Nama(Asma), atau lain Sifat-SifatNya Yang Maha Tinggi.

Demikianlah sebahagiannya; bagaimana Allah Taala memperkenalkan(Menzhohirkan dan Membatinkan) DiriNya kepada hamba-hamba pilihanNya. Ada ulama yang mengatakan proses ini dinamakan Pengalaman Hakikat yang menghasilkan Makrifat. Dinamakan juga sebagai Ilmu Rabbani (ilmu yang dinisbahkan kepada Ketuhanan) atau Ilmu laduni (ilmu yang diterima secara langsung dari Allah), tidak didapati dengan belajar atau dengan beramal. Tidak ada jalan atau persiapan yang boleh memastikan seseorang akan memperolehinya

Maka anugerah besar ini pada gholib atau kebiasaannya akan datang secara mendadak tanpa disentuh oleh apa-apa persiapan seorang hamba. Bila tiba-tiba datangnya, maka terjauhlah hamba yang berkenaan dari wujudnya lagi pelbagai dakwaan palsu. Tidak akan ada sama sekali dakwaan-dakwaan seperti

kerana kuatnya Mujahadah dan amal-taatku;

kerana hatiku memang bersih dan bersedia untuk menerimanya;

kerana hal-ahwalku sudah melayakkan aku menjadi ahli-ahli yang memiliki Warid itu

kerana tidak kerana istimewanya aku, maka mana mungkin Warid itu dikurniakan padaku.

Wajah-wajah dakwaan ini pula tidaklah semestinya secara terang dan nyata terluncur dari lisan seseorang, tetapi bahkan boleh muncul dari dalam tilikan dan kecenderungan hati hamba.

Jadi....jika difahami antara maksud kalam hikmah di atas, seseorang yang mengaku bahawa mereka telah mendapat anugerah Warid Ilahiyyah ini dengan punya pelbagai kelebihan dan keistimewaan, maka camkanlah yang mereka-mereka ini adalah adalah dakwa yang tertipu dengan sangkaan dan khayalan mereka.

Tegasnya hamba yang menerima kehadiran Warid yang tiba-tiba ini, adalah seorang yang telah siap terpelihara daripada sebarang dakwaan itu dan ini kerana;

"Apabila terbit matahari Makrifat di bumi hatimmu, maka hilanglah bintang-bintang Petunjuk, hilanglah Ulum-ulum(Pengetahuan) dan hancurlah sesuatu yang tidak hancur".

Ingin ditegaskan lagi sekali;

"Apabila terbit matahari Makrifat di bumi hatimmu, maka hilanglah bintang-bintang Petunjuk, hilanglah Ulum-ulum(Pengetahuan) dan hancurlah sesuatu yang tidak hancur".

Melanjutkan lagi perihal ini, kita ikuti

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis yang selanjutnya;

Dan adalah segala Tuhfatun Allah Taala dan HadiahNya itu Maha Suci daripada dikeranakan dengan sesuatu pekerjaan dan dimuqabalahkan(dihadapkan) dengan segala amal; tetapi iaitu semata-mata KaramNya dan FadholNya daripada RahmatNya pada segala hambanya supaya jangan sebut mereka itu.

Keterangan Suluk

Perlu disedari adalah segala jenis Tuhfatun Allah atau Kurnian Pembukaan Ketuhanan ini adalah merupakan satu keramat atau keistemewaan yang boleh mencarik adat.

Bukan kerana diajar atau belajar

Bukan kerana kecerdikan dan kepintaran

Bukan kerana banyaknya zikir

Bukan kerana sempurnanya amal taat

Bukan kerana itu atau ini

Bahkan HadiahNya itu Maha Suci daripada dikeranakan dengan sesuatu pekerjaan dan dimuqabalahkan(dihadapkan) dengan segala amal. yakni Kurnia Allah Taala itu Maha Suci daripada sesuatu sebab atau kerana atau apa-apa persembahan dari hamba.

Pembukaan bangsa Ketuhanan yang melimpahkan mereka dengan cahaya hakiki yang menjadikan mereka sebagai ahli Makrifat dengan TuhanNya adalah semata-mata KaramNya dan FadholNya daripada RahmatNya yakni semata-mata kerana KemurahanNya dan Limpah KurniaNya daripada Rahmat Kasih SayangNya untuk seorang hamba. Semata-mata bertujuan supaya jangan sebut mereka itu yakni menjauhkan hamba-hambaNya daripada mendakwakan sesuatu dengan dirinya.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan kerana inilah kata Kailani r.a;

Bermula Warid Ilahi itu

tiada datang ia dengan didakwa;

dan tiada datang atas suatu perkara;

dan tiada datang atas suatu waktu yang makhsus(tertentu);

dan tiada hilang dengan suatu sebab(dosa maksiat);

bersalahan dengan segala jalan Syaithoni(mencarik syara').

Keterangan Suluk

Menurut keterangan Ahli sufi di atas, Warid Ilahi itu ialah;

tiada datang ia dengan didakwa yakni Yang datang tanpa didakwa oleh yang menerimanya. Jika ada dakwa-dakwaan, maka itu bukanlah Warid Ilahi yang sebenar. Bersih daripada sebarang pandangan.

tiada datang atas suatu perkara yakni Yang datang kerana adanya sesuatu perkara seperti segala persiapan seperti amalan atau ibadat-ibadat yang tertentu atau kerana sesuatu hal-ahwal seseorang hamba. Ia boleh datang kepada seorang pelacur, penjenayah, pembunuh atau kepada seorang abid atau seorang murid atau seorang guru atau sesiapa sahaja.

tiada datang atas suatu waktu yang makhsus yakni Yang tidak akan datang mengikut sesuatu tempoh waktu yang tertentu mengikut sebarang jangkaan dan kiraan seseorang hamba. Ia boleh hadir sewaktu maksiat, sewaktu bala, sewaktu taat atau sewaktu nikmat. Lebih umum lagi ia boleh datang pada waktu sedar, pada waktu tidur, pada waktu berjalan, berlari atau bila-bila masa sahaja Yang DikehendakiNya.

tiada hilang dengan suatu sebab yakni Yang tidak akan hilang dengan sebab sesuatu dosa atau maksiat, aib, atau cela atau kecuaian seorang hamba.

Tegasnya Warid Ilahi ini ada kehebatan dan keistmewaan yang tersendiri sebagaimana di atas. Dan ianya tidak sama dan bersalalahan sekali dengan jalan-jalan Syathoni. Boleh datang dalam keadaan yang mencarik adat dan bertentangan dengan kebiasaan hukum adat.

Pada seorang Salik, mereka sepatutnya memerhati dan betul-betul memahami jalan-jalan Warid itu, agar dapat dibezakan mana yang baik dan mana yang jahat, yang mempedayakan dan menyesatkan. Untuk itu, marilah sama-sama kita jelujuri pula berkenaan dengan jenis-jenis Warid yang ada mengikut pengkelasan ulama Sufiah.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Maka segala Warid itu empat perkara;

Pertama, Warid Ilahi

[Kedua, Warid] Malaki

[Ketiga, Warid] Nafsani dan

[Keempat, Warid] Syaithoni.

Keterangan Suluk

Maka Warid Ilahi itu iaitu datang daripada Hadirat Al-Ghaib. Maka tiada ia melainkan dengan terkejut iaitu tiada tersalah ia selama-lamanya

Warid jenis yang pertama ini ialah sebagaimana yang sedang kita bincangkan seperti di atas. Ia datang daripada Hadirat Al-Ghaib yakni tanpa sebarang wasitah atau sesuatu sebab yang menengahinya. Semata-mata dari limpah kurniaan Ilahi. Dalam keterangan di atas, disebut bahawa Warid yang datang dengan tiba-tiba ini tidak akan tersalah selama-lamanya yakni menyentak atau menarik si penerima kepada bimbingan dan petunjuk ke arah jalan "kebenaran" jalan yang Haq dan kepada kesempurnaan Agama dan Tauhidnya. Warid ini akan menyingkirkan si hamba daripada pandangan yang rendah dan sebarang persekutuan sehingga membersihkan mereka daripada sifat berjahat adab daripada sebarang dakwaan hamba.

Dan [Warid] Malaki itu iaitu tiap-tiap barang yang dalamnya kebajikan. Dan dinamai ia akan Ilham.

Warid jenis yang kedua ini pula merujuk kepada apa yang dikatakan sebagai Ilham atau Ilmu Laduni. Warid Malaki atau Ilham atau Ilmu Laduni ini adalah yang juga datang secara terus dari Allah, tanpa kerana sesuatu sebab dari hamba. Dikurniakan kepada hamba-hambaNya yang terpilih yang terdiri daripada para Aulia dan Sholihin. Warid jenis ini akan memberikan kekayaan Ilmu kepada yang menerimanya. Segala kemusykilan yang didatangkan kepadanya dapat dijawab dan dihurai dengan jelas tanpa menimbulkan sebarang keraguan lagi; sedangkan dirinya tidak pernah belajar atau diajar mengenai perkara-perkara tersebut. Tidakkah ini boleh kita katakan inilah sebenar-benarnya ahli ilmu atau Ulama kerana mereka mendapat Ilmu Secara Terus dari Allah?

Dengan kerana ini, Kehadiran Warid Malaki ini membawa pelbagai kebajikan untuk hamba yang menerimanya; bahkan kepada mereka yang hampir dan mereka yang meyakini tindak-tanduk dan perkataan mereka.

Dilimpahkan dengan pelbagai petunjuk yang mampu menghuraikan teka-teki dan kesamaran lautan hikmah dan makna di sebalik Kalam Allah dan Hadis Rasulullah SAW.

Menyedarkan dirinya dan yang lain dari mabuk dunia dan kurungan dirinya kepada mengingati dan mengenali TuhanNya.

Mengajak dan membimbing manusia daripada Persekutuan dalam Pegangan dan Pandangan.

Semata-mata kebajikan; tiada lainnya. Warid Malaki ini datang dengan membawa semata-mata kebajikan untuk hamba-hambaNya yang terpilih sebagai satu Rahmat untuk Semesta Alam..

Dan [Warid] Nafsani itu iaitu barang yang di dalamnya bahagian nafsu dan dinamakan ia Haajis(lintasan)

Warid Nafsani itu ialah sesuatu yang terdapat di dalamnya unsur-unsur nafsu yang berkecenderungan kepada ghairuLlah yakni sesuatu selain daripada Allah. Kesannya Warid jenis ini ialah membawa seseorang kepada pelbagai sangkaan dan khayalan. Sebab itulah dinamakannya sebagai Haajis atau lintasan(khotir). Pemerhatian dan tumpuannya kepada sesuatu yang batil seperti mengharapkan terbuka sesuatu yang ghaib atau mendapat keistemewaan-keistimewaan tertentu atau mencari harga bagi hal-ahwalnya akan mengundangkan pelbagai lintasan yang terdiri daripada pelbagai sangkaan atau khayalan yang tidak sebenar.

Disangkakan dirinya dekat dengan Allah tetapi sebenarnya jauh

Disangkakan amal-taatnya sudah sempurna tetapi sebenarnya terlalu banyak aib, cacat dan celanya.

Disangkakan telah mendapat makrifat tetapi sebenarnya jahil

Disangkakan dirinya telah menyempurnakan pelbagai adab tetapi jahat adab sebenarnya

Disangkakan telah Wushul ilaLlah(sampai kepada Allah) tetapi sebenarnya hanyalah khayalannya semata.

Dan lain-lain sangkaan yang merujuk kepada adanya harga amal dan dirinya.

Sama-samalah memohon perlindungan dengan Allah dari dibayangi oleh lintasan-lintasan dan tipu daya yang susah untuk dikenali ini. Memang seronok dan menggembirakan kerana salah satu daripada sifat-sifat nafsu ialah berseronok dengan pelbagai khayalan dirinya.

Dan [Warid] Syaithoni itu iaitu barang yang membawa kepada segala jalan yang menyalah Haq Taala. Dan dinamakan dia Waswas.

Yang keempat ini lagi teruk. Dinamakan Warid Syaithoni kerana semata-mata mengheret seseorang kepada jalan yang sesat atau yang menyalah Haq Allah Taala. Hasilnya tidak lain; semata-mata meletakkan pemikiran dan kepercayaan seseorang di dalam kaedaan yang ragu-ragu. Melumpuhkan keyakinan kepada Yang Haq dan mengheret seseorang untuk sama-sama sesat dengan mereka(Syaithon). Sebab itu ianya dinamakan Waswas kerana bersimpang-siurnya bisikan dan bujukan syaitan dan iblis yang sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan seseorang hamba.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan tatkala ada memeliharakan Waridat itu daripada segala wajah hikmah, maka memeliharakan dia(Warid) atas orang yang Ahli al-Khidmat.

Keterangan Suluk

Apabila seseorang hamba yang sedar dan faham akan tiap-tiap hikmah yang terdapat di sebalik keadatangan Warid itu yakni tidak mendakwakan dirinya atau menyempurnakan segala kebajikan untuk dirinya dan hamba-hamba Allah yang lain, maka mereka itu adalah yang terdiri daripada hamba-hambaNya yang menyempurnakan adab dan yang tahu menjaga adab-adab Warid Ketuhanan.

Hasilnya, mereka akan dipeliharakan pula oleh Warid kurnia Allah Taala itu sebagai seorang yang disempurnakan(diahlikan) dirinya sebagai ahli al-Khidmat.

Ada yang dipelihara untuk tetap sebagai seorang yang mengistiqamahkan segala sholat-sholat sunat di sebalik yang fardu.

Ada yang dipelihara untuk tetap sebagai yang sentiasa berpuasa di siang hari.

Ada yang dipelihara untuk tetap kepada kedua-duanya sekali iaitu yang berpuasa di siang hari dan Qiyam di waktu malam;

Ada yang dipelihara untuk sentiasa basah lisannya dengan pelbagai bacaan al-Qur'an, zikir dan wirid.

Ada yang dipelihara untuk tetap duduk sebagai seorang alim ulama yang membimbing manusia ke arah beragama sebagaimana semestinya;

Ada pula dipelihara untuk tetap sebagai seorang pejuang dan penegak agama menentang kaum kafir

Ada pula yang dipelihara untuk menjadi seorang yang berakhlak mulia yang sedia membantu dan menolong saudara-saudaranya dengan melupakan kepentingan diri.

Dan yang lain-lain lagi sebagaimana yang terzhohir dari peribadi abid, zahid dan lain-lainnya. Apa yang perlu difahami, mereka adalah ahli-ahli Al-Khidmat yang berkhidmat kepada Allah mengikut kedudukan dan ketetapan dan cara masing-masing.

Ini perlu diingat.....kerana mereka ada keistimewaan dan ada kedudukannya yang tersendiri di sisi Allah.

Sambungan Keterangan oleh Tok Pulau Manis

Dan tertentulah bahawasanya orang yang mengharuskan akan dia(Warid) itu, maka sungguhnya telah membinasakan hurmat[Warid yang dikurniakan itu]. Maka kerana demikian, kata Muallif; (Sheikh Ibnu Atoillah As-Kandari)

Jika dari keterangan sebelumnya, dihuraikan bagaimana seorang yang tahu menjaga hikmah-hikmah kedatangan sesuatu Warid sehingga membolehkan mereka diahlikan sebagai Ahli Al-Khidmat, maka keterangan yang berikutnya adalah berkenaan dengan yang sebaliknya.

orang yang mengharuskan akan dia(Warid) itu ialah merujuk kepada mereka yang "tidak memperwajibkan" diri mereka untuk menjaga adab-adab dan hikmah yang ada di sebalik sesuatu Warid. Orang yang tidak menjaga dan memelihara(yakni tidak memperwajibkan dirinya) sesuatu Warid yang dikurniakan itu sesungguhnya telah membinasakan hurmat atau adab-adab sebagai seorang yang mendapat Warid.

Perkara inilah yang akan menjadi intipati perbincangan dalam pengajian yang seterusnya sebagaimana yang disebut olehTok Pulau Manis sebagaimana berikut:

Maka kerana demikian, kata Muallif; (Sheikh Ibnu Atoillah As-Kandari)

Barangsiapa engkau lihat akan dia memberi jawab daripada tiap-tiap yang ditanyai daripadanya daripada Makrifat dan Tauhid; dan mengibaratkan daripada tiap-tiap yang dipandang daripada Sir dan Kashaf dan menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui daripada ghaib, maka engkau mengambil dalil dengan demikian itu akan diperoleh jahilnya akan Haq TuhanNya dan akan hikmatnya pada makhluk.

Bersambung dalam pengajian berikutnya di bawah tajuk Kejahilan Ahli Jawab

Insya Allah.....jika direzekikan lagi

Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 14. 09. 2000 / 15 Rejab 1421)

KEJAHILAN AHLI ILMU

Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan Huraian Pengajian Terdahulu

orang yang mengharuskan akan dia(Warid) itu ialah merujuk kepada mereka yang "tidak memperwajibkan" diri mereka untuk menjaga adab-adab dan hikmah yang ada di sebalik sesuatu Warid. Warid itu adalah amanah Tuhan, Orang yang tidak menjaga dan memelihara(yakni tidak memperwajibkan dirinya) sesuatu Warid yang dikurniakan itu sesungguhnya telah membinasakan hurmat atau adab-adab sebagai seorang yang mendapat Warid.

Perkara inilah yang akan menjadi intipati perbincangan dalam pengajian yang seterusnya sebagaimana yang disebut olehTok Pulau Manis sebagaimana berikut:

Barangsiapa engkau lihat akan dia memberi jawab daripada tiap-tiap yang ditanyai daripadanya daripada Makrifat dan Tauhid; dan mengibaratkan daripada tiap-tiap yang dipandang daripada Sir dan Kashaf dan menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui daripada ghaib, maka engkau mengambil dalil dengan demikian itu akan diperoleh jahilnya akan Haq TuhanNya dan akan hikmatnya pada makhluk.

Keterangan Suluk

Kalam Hikmah di atas membawa kita untuk mengenali antara wajah atau rupa perihal orang-orang tidak tahu menjaga adab-adab kedatangan Waridat Ilahiyyah. sehingga membinasakan hurmatnya. Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Sama-sama kita perhalusi dalam Pengajian ini mengikut Syarah oleh Tok Pulau Manis;.

Bermula memberi jawab daripada tiap-tiap tanya dan mengibaratkan bagi tiap-tiap yang dipandang dan menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui, itu alamat atas wujud jahil orang yang bersifat dengan dia seperti yang telah dikata Muallif.

Keterangan Suluk

Terdapat tiga isyarat utama yang ingin diketengahkan sebagai menyatakan alamat atau tanda-tanda yang menunjukkan wujudnya kejahilan seorang hamba dalam menyambut sesuatu Waridat Ilahiyyah yang mendatang. Mereka jahil kerena;

1. memberi jawab daripada tiap-tiap tanya [berkenaan Makrifat dan Tauhid] yakni Orang yang sentiasa memberi jawab kepada setiap pertanyaan dan kemusykilan yang diajukan kepadanya menunjukkan tanda-tanda sememangnya seorang yang JAHIL. Wujud jahilnya kerana terlalu suka pada menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kepadanya. Tanyalah apa-apa bab atau rahsia yang seni-seni, mereka akan cuba menjawab dengan sebaiknya.

Bab Ketuhanan, bab makrifat, bab maqam, bab hal, bab musyahadah, bab mukasyafah, muroqabah, rahsia diri, nur muhammad, martabat tujuh, hakikat itu hakikat atau hakikat ini dan sebagainya lagi, yang ajib-ajib, yang pelik, yang ganjil, yang qhaib-ghaib, yang keramat dan entah apa-apa lagi. Tanya apa sahaja berkenaan mana yang di atas, pasti orang yang Jahil itu akan cuba menjawab dengan terbaiknya. Orang yang jahil akan memberi jawab daripada tiap-tiap tanya yang dikemukakan kepadanya.

2. mengibaratkan bagi tiap-tiap yang dipandang yakni sesorang yang membukakan rahsia-rahsia Ketuhanan yang wajib disembunyikan. Wujud jahilnya kerana tidak tahu menjaga amanah Allah. Mereka berlagak sebagai seorang ahli tahqiq dengan bermain-main dengan kata-kata dan ibarat berkenaan rahsia-rahsia yang wajib disembunyikan. Jahilnya mereka sehingga sengaja mengungkapkan kata-kata seperti;

Aku lihat Allah di tengah jalan tadi,

Bukan aku yang makan, tetapi Allah yang makan

dan banyak lagi yang lain-lainnya

3. menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui yakni menyebutkan apa sahaja yang tinggi-tinggi dengan tidak mengira masa, tempat dan keperluan dan orang yang menerimanya.. Perbuatan ini seolah-olah ingin menafikan keluasaan Ilmu Allah yang tiada terhad dan bersempadan itu. Satu juzuk dari titisan air manakan sama dengan lautan air itu. Manakan mungkin yang terhad itu dapat memperihalkan tentang yang tidak terhad? Semata-mata kerana wujudnya kejahilan orang-orang yang menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui berlagak pandai.....tetapi jahil,

Untuk huraian dan keterangan yang lebih terperinci berkenaan tanda-tanda atau alamat seorang yang Jahil yang mendakwa dirinya sebagai seorang Ahli Ilmu, atau Ahli Kasyaf atau Yang Serba Tahu, sama-samalah kita jelujuriKeterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Adapun menjawab bagi tiap-tiap tanya itu, maka dari kerana menghendaki akan dia daripada mengliputi pada sekelian maklumat(alamat ada wujud riya dan penyakit dalam hati); dan demikian itu Muhal(mustahil) dalam haknya(hamba) seperti firman Allah; "dan tiada didatangkan akan kamu daripada Ilmu melainkan sedikit jua" dan betapa tasawwur(terupa) daripadanya(hamba) menjawab daripada tiap-tiap tanya itu jikalau tida wujud jahilnya.

Keterangan Suluk

Adapun menjawab tiap-tiap soalan yang dihadapkan adalah kerana cenderung kepada keinginan untuk menyatakan dirinya tahu akan serba-serbi dalam segala ilmu. Tidakkah disedari bahawa perkara ini adalah mustahil pada haq seorang hamba???. Mana mungkin hamba yang terhad ini boleh mencapai sesuatu yang tidak terhad!!!. Bukankah ini menunjukkan wujudnya hama-hama "Sombong" "Ujub", "Suma'ah" dan pelbagai penyakit dalam hatinya!!!.

Hendaklah disedari kenyataan ini telah diperingatkan oleh Allah Taala dalam firmanNya yang bermaksud; "dan tiada didatangkan akan kamu daripada Ilmu melainkan sedikit jua" . Tidak banyak yang dia ada, seumpama setitik air dari sebuah lautan yang tidak bertepi. Cuma sedikit jua. Itu yang perlu disedari dan sentiasa diingat-ingatkan selalu di sisi orang yang merasakan dia berilmu dan boleh menjawab semua soalan. Cuma sedikit jua, malah lebih sedikit dari yang sedikit itu.

dan betapa tasawwur(terupa) daripadanya(hamba) menjawab daripada tiap-tiap tanya itu jikalau tida wujud jahilnya. yakni; Jadi bagaimana mungkin tidak jahilnya (yakni tentu sekali jahil) seorang yang suka menjawab tiap-tiap soalan yang diajukan kepadanya.

Hairan ya!. Tahu menjawab setiap soalan tetapi dikatakan Jahil?. Semestinya begitu, kerana orang yang suka menjawab tiap-tiap soalan yang diajukan kepadanya membuktikan mereka itu Jahil.

Mereka jahil tentang ilmu-ilmu lain yang ada.

Mereka jahil tentang ilmu-ilmu di tangan yang lain

Mereka jahil tentang keluasan ilmu Allah Taala yang tiada Kehinggaan.

Mereka jahil tentang adab-adab ahli ilmu.

Mereka jahil tentang Kesempurnaan Hakikat itu.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan lagi pula, bahawasanya wajib atasnya memelihara hal yang bertanya daripada ahlinya bagi barang yang ditanya daripadanya. Maka tertegah daripada menjawab bagi orang yang tiada ahlinya dalamnya.

Keterangan Suluk

Di samping wujudnya jahil-jahil yang disebutkan di atas, mereka ini jahil pula berkenaan adab-adab dalam memelihara Hurmat Ketuhanan. Mereka perlu sedar darjah dan tingkat-tingkat ilmu yang diberikan kepada mereka hendaklah sentiasa dijaga hak-hak dan adab-adabnya. Antaranya ialah;

Melayani setiap pertanyaan tersebut dengan taraf kefahaman seseorang yang bertanya;

Menjawab hanya mengikut keperluan dan kedudukan orang yang bertanya dan

Ditegahkan daripada menghuraikan sesuatu ilmu-ilmu keruhanian dan ketuhanan kepada orang yang tidak ahli dalamnya.

Sebab itu, selalu ditegaskan dan diingatkan dalam webpage suluk ini, bahawa bagi tiap-tiap ilmu itu ada ahlinya. Jika terdapat kekeliruan dalam memahaminya, dan jika ada kemusykilan yang bersarang dan jika mahu perincian yang lebih detail, hendaklah dirujuk kepada ahli-ahlinya. Secara mengadap, bersua muka dan berhadapan dengan yang ahli. Bukan dengan membina kefahaman sendiri yang kelaknya terjerumus dalam lembah tipu daya atau melatah menyatakan sesuatu yang bukan dalam bidang keahlian kita.

Perlu diingatkan. tulisan catatan pengajian suluk ini adalah semata-mata perkongsian maklumat untuk saudara-saudara yang mungkin tidak pernah berdepan dengan Pengajian Kitab Tua. Semoga berputik minat dan kecenderungan untuk mengambil manfaat dari kitab-kitab tua. Seperkara lagi; Kefahaman dan ilmu sebenarnya bukan pada tulisan-tulisan di sini, tetapi ianya perlu ditalkinkan oleh seorang guru yang ahli. Dan bagi yang sudah melalui kitab ini, sekurang-kurang boleh menambah beberapa sudut pandangan yang mungkin dipinggirkan dari kefahaman sebelum ini.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan adapun mengibaratkan bagi tiap-tiap yang dipandang itu, maka iaitu membukakan sir yang wajib mensembunyikan dia.

Keterangan Suluk

Pelanggaran adab-adab dalam mengibaratkan(membukakan) sentuhan pengalaman hakikat mereka itu ialah dengan kerena mereka mendedahkan sesuatu yang wajib disembunyikan untuk dirinya semata-mata. Jadi... dengan ini, orang yang membukakan sesuatu rahsia pengalaman hakikatnya kepada umum adalah seorang yang jahil tentang hakikat, malahan adalah seorang seorang yang kotor , cemar hati dan banyak aibnya.

Hanya yang bersih dan yang suci sahaja yang dapat menyimpan rahsia-rahsia ini sebagaimana

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata mereka itu(Sufiah);

Bermula segala hati-hati orang yang telah suci itu tempat menanam segala rahsia.

Dan Sir itu amanah Allah Taala kepada hamba.

Maka mengisyaratkan dengan ibarat daripadanya itu khiyanat.

Dan bahawasanya Allah Subhanahuwa Taala itu tiada suka bagi segala orang khianat kerana bahawasanya segala pekerjaan yang zauqiyah itu mustahil didapat Haqaiq dengan segala ibarat Nutqiyah(pertuturan).

Maka membawa demikian itu kepada ingkar dan memberi kecelaan dalam Ilmu orang yang telah merdeka Maqamnya.

Keterangan Suluk

Bermula segala hati-hati orang yang telah suci itu tempat menanam segala rahsia. yakni rahsia-rahsia ketuhanan dan pengalaman hakikat tempat tetapnya ialah pada hari-hati Ahli Makrifat yang telah suci hatinya daripada jahat-jahat adab. Di hati yakni pada Sir merekalah Tajalli Allah mencurah-curah datang menutupi buminya yang menumbuhkan pelbagai pohon-pohon rahsia ketuhanan. Ini adalah untuk mereka dan menjadi bahagian khusus untuk mereka. Tidak dapat untuk dikongsi dengan saudara-saudaranya yang lain hatta yang paling dekat dengannya sekalipun. Sebabnya hati ini pandai menjaga Sir mereka Dan itu amanah Allah Taala kepada hamba. yakni sedar dan tahu untuk menjaga Amanah Allah yang dikhususkan buat mereka.

Maka mengisyaratkan dengan ibarat daripadanya itu khiyanat. yakni dengan kerana rahsia itu adalah amanah, maka jika seseorang ahli yang menerimanya jika cuba memperihalkan pengalaman hakikatnya dengan berbagai-bagai kiasan atau bandingan atau pertuturan, mereka itu telah jatuh dalam khianat dengan TuhanNya. Mereka khianat, sedangkan Allah Subhanahuwa Taala itu tiada suka bagi segala orang khianat yakni Allah memurkainya. Memang sepatutnya mereka dimurkai kerana mereka seakan-akan cuba untuk memperihalkan segala pekerjaan yang zauqiyah itu dengan bahasa pertuturan sedangkan ianya adalah mustahil sema sekali. Manakan mungkin yakni mustahil didapat Haqaiq dengan segala ibarat Nutqiyah(pertuturan). yakni yang membawa maksud pekerjaan hakikat itu tidak akan didapati dari isyarat, kiasan, bandingan atau ilmu. Tegasnya pengalaman hakikat itu adalah sesuatu yang sudah melewati bidang rasa, bukan lagi bidang tahu dan lihat atau dengar. Rasa yang hasil dari Zauq dan Wujdan. Maka membawa demikian itu kepada ingkar yakni kepada ketetapan dan ketentuan Tuhan dan memberi kecelaan dalam Ilmu orang yang telah merdeka Maqamnya yakni kejahilan seorang yang tidak amanah ini menjadi sesuatu yang tercela di sisi ahli Ilmu yang telah bebas dari kurungan hissi(perasaannya).

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan adapun menyebutkan bagi tiap-tiap maklumat itu, maka dari kerana ketiadaan bercerainya antara segala maklumat.

Maka kerana inilah

menjawab daripada tiap-tiap tanya dan

mengibaratkan daripada tiap-tiap yang dipandang dan

menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui

itu jahil kepada seorang yang ahli Al-Kamil.

Keterangan Suluk

Melanjutkan lagi keterangan berkaitan dengan kenapa tidak bolehnya sesuatu rahsia itu dibukakan kepada orang lain, Tok Pulau Manis mendatangkan keterangan sebagaimana di atas.

Apabila seseorang cuba untuk menyatakan tiap-tiap maklumat yang diketahui dan dirasai itu seakan-akan menunjukkan sedikitnya Ilmu Allah ini. Seakan ketiadaan pecahan-pecahan yang lain, tiada pada orang lain atau di tempat lain yang mana ianya seperti menafikan jenis-jenis Ilmu Allah yang tiada kehinggaan itu.

Maka,......dengan kerana tidak sedikitnya Ilmu Allah; bahkan tidak terhad adanya,

menjawab daripada tiap-tiap tanya dan

mengibaratkan daripada tiap-tiap yang dipandang dan

menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui

adalah jahil mengikut pandangan mereka yang ahli Al-Kamil yakni HambaNya yang sempurna.

Hanya hamba yang Kamil sahaja yang tahu beradab dan tahu kaifiat berkata-kata dengan ilmunya sebagaiamana dalamKeterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata Sheikh Junaid r.a;

Bermula jawab itu atas kadar yang bertanya, tiada atas kadar yang ditanyakan.

Keterangan Suluk

Lihat dulu kepada kedudukan dan pengetahuan orang yang bertanya. Lihat dulu hal-ahwal/peribadinya yang bersangkutan dengan syariat dan aqidahnya. Jangan dipedulikan kepada kadar ilmu atau jenis-jenis soalan yang ingin diketahuinya. Jika seorang ahli dunia yang lalai bertanyakan berkaitan hakikat atau makrifat, maka jawablah mengikut kedudukannya sebagai ahl ghaflah dengan disembunyikan kehendak soalan-soalannya. Menyembunyikan ilmu ini adalah tidak salah, malah adalah amat wajar sekali dilakukan kepada yang tidak ahli sebagaimanaKeterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan telah ditanyai setengah ulama daripada suatu[ilmu]. Maka tiada menjawab ia. Maka kata yang bertanya; "Tiadakah engkau ketahui bahawasanya Rasulullah SAW. telah bersabda; Barangsiapa ditanyai daripada ilmu maka disembunyikan, nescaya diganggang Allah akan dia pada hari kiamat dengan kekang daripada api neraka". Maka katanya(ulama); "Iaitu bagi orang yang mustahak akan dia".

Keterangan Suluk

Mereka yang ahli al-Kamil ini memahami maksud hadis Rasulullah SAW di atas kepada mereka yang menyembunyikan sesuatu ilmu itu kepada yang sangat-sangat memerlukannya dari kalangan ahlinya. Bukan untuk dibawa berbual-bual di warung kopi atau di tepi jalan. Jika syariat masih tunggang-langgang bagaimana seorang yang benar-benar faham akan menjawab soalan-soalan hakikat yang tinggi-tinggi dan halus-halus.

Menjawab kepada orang yang sebegini bukanlah menjadi tuntutan malah hendaklah dielakkan dengan apa cara sekali pun. Sesuatu yang suci, halus dan mulia hanya layak untuk yang suci, berjiwa halus dan mulia juga. Kenyataan ini tidak bertentangan dengan.......Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata Isa alaihissalam bagi segala sahabatnya;

Dengan sebenar-benar kataku bagi kamu, jangan kamu gantungkan mutiara dalam segala binatang leher babi.

Keterangan Suluk

Menjawab soalan-soalan ahli syariat yang jahil hakikat, atau ahli bidaah yang lalai adalah merosakkan kemurnian dan kesucian ilmu-ilmu Ketuhanan ini.

Bukan setakat itu sahaja, jika diberikan kepada kepada si bodoh yang singkat akalnya akan menyebabkan mereka teraniya terkial-kial dalam cuba memahami maksud-maksud di sebalik jawaban yang dikehendaki. Kenyataan ini boleh didapati dari ......Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan dalam khabar daripada Nabi kita Assolatuwassam;

Jangan kamu datangkan hikmat lain daripada ahlinya, maka aniyai kamu akan dia;

dan jangan kamu tegahkan akan dia bagi ahlinya, maka aniyai kamu akan dia.

Keterangan Suluk

Dengan kata lain, jika ingin memberi, hulurkan kepada yang berhak; dan jika ingin menahan pemberian, sembunyikannya daripada yang bukan ahli baginya.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan ketahui olehmu bahawasanya sekalian Musyahadah itu dan ahwal itu tiada sempurna Haqaiqnya melainkan dalam negeri akhirat kerana bahawasanya negeri akhirat itu tempat balas yang sempurna; dan negeri dunia itu tempat Sitrun dan takhlif dan amal; dan akhirat itu negeri kashaf jaza' dan fadhol.

Bersambung dalam catatan pengajian yang selanjut.

Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 28. 09. 2000 / 29 Rejab 1421)

KESEMPURNAAN PEMBALASAN ALLAH

Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan Huraian Pengajian Terdahulu

Dan ketahui olehmu bahawasanya sekalian Musyahadah itu dan ahwal itu tiada sempurna Haqaiqnya melainkan dalam negeri akhirat kerana bahawasanya negeri akhirat itu tempat balas yang sempurna; dan negeri dunia itu tempat Sitrun dan takhlif dan amal; dan akhirat itu negeri kashaf dan jaza' dan fadhol.

Keterangan Suluk

Perlu diketahui oleh seorang yang ada cita-cita untuk sampai kepada TuhanNya, bahawasanya sekelian Musyahadah,

sama ada Syuhud Af'al, Asma, Sifat atau Zat;

atau samada Syuhuudul Kasrah Fil Wahdah atau Syuhuudul Wahdah Fil Kasrah,

sama ada pada A'yan Saabitah atau A'yan Khorijah

serta yang lain-lain lagi;

adalah tidak sempurna Haqaiqnya. Demikian juga segala hal-ahwal hamba-hamba PilihanNya seperti;

Khouf,

Tawakkal,

Zuhud,

Wara',

Zauq dan Wujdan

Fana

Baqa

Mahabbah dan

yang lain-lain lagi.

Sekelian Musyahadah dan ahwal seperti yang disebutkan di atas, tidak sempurna hakikatnya melainkan di dalam negeri Akhirat Nanti.

Ini adalah kerana negeri akhirat itu dijadikan tempat untuk menyempurnakan segala nikmat dan balasan Allah Taala untuk hamba-hambaNya yang mu'min. Hanya di akhirat nanti akan disempurnakan nikmat Allah yang benar-benar hakiki.

Tambahan pula dunia ini adalah Sitrun dan takhlif yakni tempat untuk kita diam(taat dan patuh) dan tetap(yakin) untuk menerima segala apa yang diperintahkan oleh Taala. Dunia ini adalah tempat untuk kita berbuat sebanyak mungkin amal dan ibadat terhadap Allah dengan penuh ketaatan dan kepatuhan dan keyakinan.

Berlainan sekali dengan negeri akhirat. Ianya adalah negeri negeri kashaf yakni tempat di mana terbukanya segala yang sesuatu yang sebelumnya tertutup, yang menjadi rahsia dan yang tersembunyi. Negeri di mana menunjukkan tidak ada nikmat yang lebih sempurna daripada melihat Wajah Allah di dalam Syurga. Ini adalah kerana negeri akhirat itu adalah tempat jaza' dan fadhol yakni menerima balasan dan nikmat yang sempurna.

Berkenaan dengan pembalasan Allah di akhirat inilah, yang menjadi isi perbincangan dari Kalam Hikmah Sheikh Ibn Atoillah yang selanjutnya mengikutKeterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis;

Hanya sungguhnya dijadikan Allah Taala negeri akhirat akan tempat bagi membalas segala hambaNya yang mu'min kerana bahawasanya;

negeri dunia ini tiada lulus yang dikehendakiNya Mengurniai akan mereka itu;

dan dari kerana ia membesarkan kadar mereka itu daripada membalas mereka itu dalam negeri yang tiada kekal baginya;

padahal memuliakan bagi mereka itu dan membesarkan pada kadar mereka itu;

kerana negeri dunia itu negeri fana tiada kekal baginya dan negeri akhirat itu negeri kekal tiada fana dalamnya.

Maka membalas bagi segala hambaNya yang mu'min dalam negeri yang kekal daripada terlebih sempurna nikmat dan terlebih mulia pembalasan bagi mereka itu.

Keterangan Suluk

Sesungguhnya telah dijadikan oleh Allah Taala akan negeri akhirat nanti sebagai tempat untuk menyempurnakan nikmat pembalasanNya terhadap hamba-hambaNya yang mu'min kerana;

Dunia ini terlalu sempit dan terhad untuk disempurnakan keluasan nikmat Allah yang tiada kehinggaan;

Ingin membesarkan kadar nikmat dengan sesuatu yang tidak binasa dan kekal selama-lamanya.

Inilah kelebihan dan kesempurnaan negeri akhirat.

Bahasan lanjut, elok kita jelujuri .............

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan hanya sungguhnya dijadikan membalas segala mu'min dalam negeri akhirat itu kerana dua perkara; Pertama; bahawasanya negeri dunia itu tiada lulus yang dikehendakiNya Mengurniai mereka itu daripada segala bahagi(bagai) nikmat pada hissi atau pada ma'ani.

Keterangan Suluk

Telah ditegaskan lagi sekali, sesungguhnya dijadikan akhirat itu tempat untuk membalas hamba-hambaNya yang mu'min adalah kerana dua sebab. Yang pertamanya ialah, dunia ini terlalu sempit dan tidak berupaya untuk meluluskan kadar kurniaan nikmat yang luas tiada kehinggaan dengan berbagai-bagai nikmat yang hissi yakni atau ma'ani .

Apakah itu nikmat hissi dan nikmat maani ini?. Kita ikuti..........

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Adapun yang pada hissi itu maka dari kerana dunia itu hampir perjalanannya, picik daerahnya dan dikurniai Allah Taala dalam negeri akhirat bagi salah suatu daripada mu'min itu dalam satu milik daripada mereka itu seperti yang datang dalam khabar; "Perjalanan 700 tahun". Maka apa sangkamu kepada yang khowas mereka itu. Maka piciklah dunia daripada sekelian balas mereka itu dari kerena terlebih besar kadar mereka itu daripada membalas mereka itu dalam negeri yang tiada kekal baginya.

Keterangan Suluk

Nikmat pada hissi Allah Taala teramat besar; sedangkan negeri dunia ini terlalu sempit dan picik serta terhad daerahnya. Bagaimana dunia ini boleh menyempurnakan keluasan dan kebesaran nikmat Allah ini sekiranya seorang hamba dikurniakan daerahnya sejauh 700 tahun perjalanan sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW. Mana mungkin dunia kecil yang kita duduki sekarang ini dapat menempatkan kesemua hamba-hambaNya yang mu'min sekiranya untuk seorang hamba pun tidak dapat dimuatkan. Bagaimana pula hal keadaannya pula bagi yang yang khusus dan terpilih untuk mendapat kebesaran nikmat yang lebih berkali-ganda lagi?

Maka dengan itu, terlalu sempitlah dunia ini jika hendak dibandingkan dengan kadar nikmat balasan Allah yang lebih besar kadarnya. Tidaklah mungkin dapat disempurnakan nikmat Allah yang besar itu di negeri dunia yang sempit dan akan binasa ini. Di akhirat jualah dapat disempurnakan nikmat-nikmat Allah pada hissi ini.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan adapun yang pada Ma'ani itu maka dari kerana dunia itu tempat hina dan kurang dan keji; dan tiap-tiap suatu yang memberi kesukaan dalam syurga itu terlebih mulia dan terlebih tinggi seperti yang datang dalam khabar bahawasanya "cahaya segala pakaian Huuru'ain itu memadamkan cahaya matahari" dan tiadalah seumpamanya.

Keterangan Suluk

Adapun kenapa dunia ini tidak dapat meluluskan nikmat pada Ma'ani pula dari kerana dunia ini adalah tempat yang hina, yang kurang lagi yang keji. Termasuklah apa-apa sahaja yang hodoh, yang cacat, yang lekeh, yang remeh dan apa sahaja yang menunjukkan ketidaksempurnaannya.

Sedangkan tiap-tiap sesuatu yang menjadi kesukaan dan kenikmatan dalam syurga dalam negeri akhirat nanti terlalu mulia, terlebih tinggi dan terlebih sempurna sehinggakan hanya dengan pakaian seorang bidadari sahaja boleh memadamkan terus cahaya matahari yang begitu kuat dan teguh. Tentu sekali tak dapat nak dibayangkan bagaimana pula apabila melihat wajah bidadari itu. Benarlah apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW. melalui hadis Qudsi sebagaimana..........Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan sabda Nabi SAW. pada yang dikhabarkan dari TuhanNya 'Azzawajalla; Telah Kusanggarahakan(sediakan) bagi segala hambaKu yang sholeh yang

tiada mata mereka itu;

dan tiada telinga mendengar;

dan tiada khotir atas hati manusia.

Bagaimana layak dunia yang hina ini menyempurnakan nikmat maani Allah Taala yang Maha Tinggi lagi Maha Sempurna???

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kepada Allah Subhanahuwa Taala membesarkan kadar segala hambaNya mu'min. Maka tiada dijadikan mereka itu balas atas taat mereka itu dalam negeri Faniyyah(yang binasa), tetapi diAnugerahi mereka itu kekal dalam ni'mat. Maka dinamai akan Dia dengan NamaNya Yang Karim iaitu Yang Hidup Yang Tiada Mati.

Keterangan Suluk

Sesungguhnya Allah Taala sentiasa ingin membesarkan dan memuliakan kadar kurnia untuk hamba-hambaNya yang mu'min. Maka kerana itulah tidak dibalaskan lagi amal taatnya dalam negeri yang fana dan akan hancur binasa ini; dan kerena anugerah Allah kepada mereka itu adalah kekal selama-lamanya; kekal dalam nikmatnya yang tidak ada akhirnya.

Segala puji dan kesyukuran itu kepada Allah Taala, Zat Yang Karim iaitu Yang Hidup dan Yang Tiada Mati. Siapakah lagi selaian daripadaNya yang memiliki kebaikan yang sempurna.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata Muhammad bin Al-Hanafiah ra;

Tiada bagi segala badan kamu itu harga melainkan Syurga. Maka jangan kamu jual akan dia melainkan dengan Syurga; dan tiada mulia atas diri hamba jual akan dia melainkan dengan Syurga; dan tiada mulia atas diri hamba itu melainkan hina atasnya segala syahwatnya.

Keterangan Suluk

Nilai bagi diri kamu itu ialah dengan harga Syurga.

Bukan dengan wang-ringgit,

bukan dengan pangkat,

bukan dengan kedudukan dan kemulian,

bukan dengan sekeping sijil atau sekalung bintang atau pingat.

Demikian juga nilai bagi diri kamu itu

bukan dengan maqam,

keramat,

musyahadah atau

mukasyafah,

bahkan nilainya adalah dengan syurga yang kekal abadi.

Diri kamu itu adalah diri yang mulia, yang suci, yang layak untuk menerima kesempurnaan kebaikan itu. Jangan dilekehkan dirimu yang mulia itu dengan dijual kepada sesuatu selain daripada Syurga. Hanya dengan syurga sahaja yang layak bagi kemulian yang kau miliki itu.

Janganlah dijualkan dunia yang hina dan lekeh ini.

Janganlah dijualkan kepada maqam atau karamat.

Janganlah dijualkan melainkan dengan syurga.

Kemuliaan dirimu itu akan bertukar menjadi sesuatu yang hina kiranya tidak dipeliharakan fitrah diri yang dimuliakan. Hinanya engkau kerena terbelanggu dan menjadi hamba kepada syahwatmu.

Di manakan lagi ada kemuliaan dirimu itu jika asyik berkeinginan kepada sesuatu yang hina?

Dunia, harta, pangkat, kekayaan, kemuliaan, kekuasaan yang apa sahaja yang bersifat keduniaan.

Di manakan lagi ada kemuliaan dirimu itu jika masih berkecenderungan kepada sesuatu yang lekeh?

Terbuka yang ghaib, maqam, keramat dan berbagai-bagai pembukaan yang lain.

Di manakan lagi ada kemuliaan dirimu itu jika mudah terpedaya kepada sesuatu yang tidak hakiki? Menilik wujud diri sehingga lalai dari Wujud yang Hakiki

Sesungguhnya tiada kemuliaan di atas dirimu itu melainkan hina semata-mata jika dituruti syahwatmu yang nyata dan syhawatmu yang tersembunyi itu.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Maka adalah balas dalam negeri akhirat itu baginya alamat dalam negeri dunia sebagaimana iaitu....(Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Atoillah yang selanjutnya);

Barangsiapa diperolehnya akan buah amalnya pada sekarang, maka demikian itu menunjukkan atas diperoleh Qabul dengan Anugerah Allah Taala

Bersambung dalam catatan pengajian yang selanjut di bawah tajuk Tanda Dan Alamat Diterima AmalanPengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 05. 10. 2000 / 02 Sya'ban 1421)

TANDA & ALAMAT DITERIMA AMALAN

Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan Huraian Pengajian Terdahulu

Maka adalah balas dalam negeri akhirat itu baginya alamat dalam negeri dunia sebagaimana iaitu....Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Atoillah yang selanjutnya;

Barangsiapa diperolehnya akan buah amalnya pada sekarang, maka demikian itu menunjukkan atas diperoleh Qabul dengan Anugerah Allah Taala

Keterangan Suluk

Sebelum ini kita telah diperihalkan berkenaan dengan kesempurnaan pembalasan yang hanya akan ada di negeri akhirat. Tidak ada lain tempat lagi yang seumpamanya yang dapat meluluskan kesempurnaan balasan Allah Taala. Semata-mata di akhirat sahajalah tempat yang layak untuk dibalasi hamba-hambaNya yang mu'min dengan balasan yang mulia, kekal lagi sempurna itu.

Namun demikian, bagi yang mengetahui dan yang memahaminya, mereka dapat merasakan wujudnya tanda-tanda atau alamat di negeri dunia ini lagi. Hanya yang merasainya sahaja yang dapat mengenali tanda-tanda itu dunia ini lagi.

Mereka itu adalah terdiri dari sesiapa yang beramal dengan pelbagai taat dan ibadat sehingga memperolehi buahnya sekarang. Dengan adanya buah pada amalan itu, maka itu menunjukkan atas diterima dan diredhoi Allah dengan telahpun mendapat limpah kurnia anugerah Allah Taala.

Apakah yang dimaksudkan dengan buah yang terbit dari amalan itu?,

Apakah kaitannya dengan tanda-tanda atau alamat orang yang telah diterima amalannya dengan mendapat anugerah yang besar?

Sama-samalah kita jelujuriHuraian dan Keterangan oleh Tok Pulau Manis;

Maka buah amal itu iaitu diperoleh manis dalamnya(amal) dan lazat dengan dia(amal); dan didapat demikian itu dalam membanyakkan dia amal dengan menetapkan atasnya.

Keterangan Suluk

Bertemulah kita dengan apakah yang dimaksudkan dengan buah amal itu.