3.0 akta perancangan bandar dan desa 1976 (akta 3-akta 172.pdf · pdf file(2) perkara 80...

Click here to load reader

Post on 29-Mar-2019

227 views

Category:

Documents

2 download

Embed Size (px)

TRANSCRIPT

3001

Ensiklopedia Undang-undang dan Pentadbiran Perancangan Bandar dan Desa

3.0 AKTA PERANCANGAN BANDAR DAN DESA 1976 (AKTA 172)

3.1 Pengenalan

Perihal Perancangan Bandar dan Kampung telah diperuntuk-kan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan sebagai Senarai Bersama di mana kuasa eksekutif dan kuasa perundangan adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri (Lampiran 3.1).

Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) diperbuat menurut Fasal (1) Perkara 74, Fasal (4) Perkara 76 dan Fasal (2) Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan bagi maksud memastikan keseragaman undang-undang dan dasar suatu undang-undang dibuat bagi pengawalan dan pengawalseliaan yang sepatutnya mengenai perancangan bandar dan desa di Semenanjung Malaysia. Struktur perancangan yang lebih dinamik diperlukan bagi menghadapi aliran pembangunan negara yang semakin berkembang pesat. Akta 172 telah digubal untuk menghasilkan perancangan yang lebih sistematik. Melalui Akta 172, sekali lagi bidang perancangan bandar mengalami satu titik tolak baru yang mencorakkan disiplin perancangan bandar di negara ini hingga ke hari ini. Akta 172, memperuntukkan bahawa sistem rancangan pembangunan di negara ini adalah meliputi tiga peringkat utama iaitu Rancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan. Falsafah perancangan juga telah beranjak daripada bentuk pelan pengezonan guna tanah fizikal kepada perkara yang lebih komprehensif, terbuka, terperinci dan lebih kompleks iaitu meliputi aspek sosial dan ekonomi selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan cabaran pembangunan negara semasa.

Akta 172 menyediakan kerangka undang-undang dan prosedur untuk polisi, pentadbiran, merancang, mengatur, mengawal dan menguatkuasakan aktiviti perancangan bandar dan desa di negeri-negeri Semenanjung Malaysia. Akta ini menjelaskan serta menetapkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri dan pihak berkuasa perancang tempatan dalam mengatur, mengawal dan merancang pemajuan dan penggunaan tanah dan bangunan dalam bidang kuasa pihak pentadbiran mengikut dasar kebangsaan dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Akta 172 ini telah diterima pakai di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan tidak dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak. Akta 172 adalah merupakan suatu:

3002

i. jentera perancangan dan sistem baru di dalam negeri dan kawasan-kawasan pihak berkuasa tempatannya.

ii. asas untuk menggalakkan pembentukan dasar-dasar negara, wilayah dan negeri serta menterjemahkannya ke dalam bentuk fizikal di peringkat tempatan;

iii. tatacara dan sistem yang tegas serta lebih menitikberatkan keperluan-keperluan awam;

iv. keperluan undang-undang untuk mengenal pasti kawasan-kawasan utama (kawasan-kawasan khas) dan untuk mengambil tindakan membangunkannya dalam tempoh yang ditetapkan;

v. rangka perundangan bagi perancangan, pengawalan dan pemajuan kawasan-kawasan yang dimaksudkan;

vi. sistem rayuan yang membolehkan pihak terkilan terhadap sesuatu keputusan perancangan membuat rayuan melalui lembaga rayuan;

vii. tatacara yang sesuai bagi pengawalan dan penguatkuasaan aktiviti perancangan melalui penyusunan tiap-tiap langkah yang seharusnya diambil;

viii. sistem pengurusan kewangan bagi penyediaan kemudahan-kemudahan awam melalui pungutan bayaran pemajuan sekiranya terdapat kenaikan nilai sesuatu tanah itu akibat dari sesuatu perancangan dan pemajuan;

ix. satu sistem untuk pemajuan tanah yang terlibat dalam notis pembelian di mana tanah tersebut tidak berupaya untuk kegunaan berfaedah yang munasabah kerana ianya telah dizonkan atau digazet dalam rancangan pemajuan sebagai maksud kepentingan awam, atau tertakluk kepada sesuatu notis rekuisisi (permintaan);

x. sistem pemajuan tanah melalui perisytiharan kawasan pemajuan, yang membolehkan pihak berkuasa perancang tempatan mengambil semua tanah milik di dalam kawasan itu dan memajukannya; dan

xi. sistem yang membolehkan pihak berkuasa perancang tempatan menubuhkan perbadanan bagi memajukan

3003

Ensiklopedia Undang-undang dan Pentadbiran Perancangan Bandar dan Desa

kawasan pemajuan, melantik atau menggaji ejen, atau membuat perkiraan bagi pekongsian untung, penyatuan kepentingan, kerjasama, usahasama, atau konsesi bersaling dengan mana-mana orang, syarikat atau badan.

Sebarang proses untuk membuat semakan, pindaan dan menggubal Rang Undang-undang pindaan Akta 172 melibatkan pelbagai pihak dan perlu melalui peringkat-peringkat berikut:

i. Jawatankuasa Pelaksanaan Akta 172 peringkat JPBD, dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah II;

ii. Mesyuarat Pengarah Negeri, dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa;

iii Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan peringkat JPBD, dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa;

iv. Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); dan

v. Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara, dipengerusikan oleh Y.A.B Perdana Menteri.

Setelah Rang Undang-undang diluluskan oleh Parlimen, semua pengarah-pengarah Perancangan Bandar dan Desa Negeri, seperti ditafsirkan dalam seksyen 2 Akta 172, adalah bertanggungjawab untuk menasihati Pihak Berkuasa Negeri masing-masing mengenai prosedur pewartaan dan tarikh mula penguatkuasaan bahagian-bahagian Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan pindaan-pindaannya dalam Negeri. Pindaan Akta yang telah mendapat kelulusan MMKN untuk diterima pakai hendaklah dikemukakan kepada Y.B. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk persetujuan penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Akta 172 di Negeri dan ianya hendaklah disiarkan dalam Warta Negeri demi mengelakkan kekeliruan dan implikasi teknikal yang mungkin timbul dalam pelaksanaan perundangan di Negeri terbabit.

3004

3.2 Pindaan-Pindaan Kepada Akta 172

Semenjak Akta 172 diluluskan pada tahun 1976, ia telah dipinda sebanyak empat (4) kali iaitu pindaan pada tahun 1993 (Akta A866), pindaan tahun 1995 (Akta A933), pindaan tahun 2001 (Akta A1129) dan yang terkini pada tahun 2007 (Akta A1313). Pada asalnya Akta 172 mengandungi 9 bahagian dengan 59 seksyen tetapi setelah pindaan sehingga tahun 2007 ia telah bertambah kepada 12 bahagian dengan 82 seksyen. Tujuan utama kesemua pindaan-pindaan kepada Akta 172 dari tahun 1995 sehingga 2007 adalah untuk memastikan Akta 172 ini dapat memenuhi kehendak rakyat seiring dengan perkembangan sektor ekonomi, sosial dan politik negara; menangani pelbagai isu pelaksanaan yang wujud akibat kegiatan perancangan dan pembangunan tanah yang tidak terancang; dan memberikan kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memastikan pihak berkuasa perancang tempatan menjalankan kegiatan merancang dan mengawal kegiatan guna tanah di kawasan-kawasan kerajaan tempatannya mengikut kehendak undang-undang dan dasar-dasar yang digubal di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Pembangunan ekonomi yang pesat dalam tahun 1990-an memberi tekanan kepada pembangunan fizikal dan meningkatkan keperluan untuk memperkemaskan lagi sistem pemajuan dan kawalan guna tanah bagi memberi hala tuju yang lebih kukuh dalam menangani arus perbandaran dan pemodenan negara. Pindaan ini adalah dibuat demi mempertingkatkan kelicinan dan keberkesanan dalam perkara-perkara berkaitan dengan perancangan bandar dan desa di semua peringkat pentadbiran di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan.

3.2.1 Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Pindaan) 1993 (Akta A866)

Akta 172 telah dipinda buat pertama kali pada tahun 1993 dan dikenali sebagai Akta A866. Pindaan ini memasukkan peruntukan untuk memastikan bahawa keperluan sistem pembetungan seperti yang dikehendaki oleh Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993 (Akta 508) diambil kira oleh pihak berkuasa perancang tempatan dalam menimbang permohonan kebenaran merancang. Ini adalah selaras

3005

Ensiklopedia Undang-undang dan Pentadbiran Perancangan Bandar dan Desa

dengan pewujudan Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993 (Akta 508) pada tahun yang sama. Walau bagaimanapun Akta 508 kini telah dimansuhkan dan diganti dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 654) dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655). (Rujuk Lampiran 3.2).

3.2.2 Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Pindaan) 1995 (Akta A933)

Berikutan tragedi keruntuhan blok A di Highlands Towers di Mukim Hulu Klang, Selangor pada 11 Disember 1993, jawatankuasa khas kabinet yang diketuai oleh YAB Timbalan Perdana Menteri telah menyarankan supaya pindaan dibuat kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Peristiwa ini telah menguatkan kesedaran tentang perlunya satu usaha untuk menangani isu-isu persekitaran secara serius seperti pengekalan dan pemeliharaan sumber semula jadi, penghijauan alam sekitar serta perlindungan bangunan yang mempunyai warisan sejarah dan seni bina tersendiri, yang mempunyai hubungan langsung dengan aktiviti perancangan bandar dan desa.

Atas ketetapan untuk meningkatkan kepentingan pemeliharaan alam persekitaran fizikal, Akta A933 diperkenalkan dengan mengenakan syarat-syarat tambahan semasa memberikan kebenaran merancang berhubung dengan larangan penebangan pokok, pemotongan bukit dan penjagaan topografi dan lanskap semula jadi sekitar kawasan itu. Ini kerana masih terdapat kejadian pemotongan bukit secara berleluasa, penebangan pokok tanpa had dan kerja-kerja yang merosakkan topografi serta lanskap semulajadi tanpa batasan yang berlaku di merata tempat khususnya di kawasan-kawasan pembangunan.

Cadan

View more