1. peruntukan-peruntukan am - archive.unimas.my file2. takrif “amali” ialah sesi pembelajaran di...

29
1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM 1.1 Pelajar prasiswazah adalah dinasihatkan untuk mengetahui dan memahami sepenuhnya Peraturan Akademik ini dan adalah menjadi tanggungjawab semua pelajar prasiswazah untuk mematuhi segala dasar yang dinyatakan dalam peraturan ini. 1.2 Tertakluk pada kuasanya sebagai badan akademik tertinggi universiti, Senat berhak mengubah/meminda mana-mana peraturan ini dari semasa ke semasa apabila keadaan memerlukannya dan ianya akan berkuatkuasa dari tarikh pindaannya disahkan oleh Senat. 1.3 Peraturan Akademik Universiti Malaysia Sarawak adalah peraturan yang dikuatkuasakan dan mesti dipatuhi oleh semua pelajar prasiswazah berdaftar dengan universiti ini termasuk pelajar antarabangsa, pelajar antarabangsa yang mengikuti program pertukaran pelajar dan pelajar yang mengikuti program antara kampus (cross-campus programmes) universiti awam tempatan. 1.4 Di mana ia tidak dinyatakan secara khusus dalam peraturan ini, bidang kuasa yang diguna pakai dalam pelaksanaan peraturan ini adalah kuasa Senat. Kuasa Dekan dan Pendaftar dinyatakan dengan khusus dalam klausa-klausa tertentu peraturan ini. 1.5 Tertakluk pada Perkara 1.1, pengecualian ke atas mana-mana perkara atau bahagian Peraturan Akademik ini adalah kuasa mutlak Senat.

Upload: hatu

Post on 09-Jun-2019

231 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM

1.1 Pelajar prasiswazah adalah dinasihatkan untuk mengetahui

dan memahami sepenuhnya Peraturan Akademik ini dan

adalah menjadi tanggungjawab semua pelajar prasiswazah

untuk mematuhi segala dasar yang dinyatakan dalam

peraturan ini.

1.2 Tertakluk pada kuasanya sebagai badan akademik tertinggi

universiti, Senat berhak mengubah/meminda mana-mana

peraturan ini dari semasa ke semasa apabila keadaan

memerlukannya dan ianya akan berkuatkuasa dari tarikh

pindaannya disahkan oleh Senat.

1.3 Peraturan Akademik Universiti Malaysia Sarawak adalah

peraturan yang dikuatkuasakan dan mesti dipatuhi oleh

semua pelajar prasiswazah berdaftar dengan universiti ini

termasuk pelajar antarabangsa, pelajar antarabangsa yang

mengikuti program pertukaran pelajar dan pelajar yang

mengikuti program antara kampus (cross-campus programmes)

universiti awam tempatan.

1.4 Di mana ia tidak dinyatakan secara khusus dalam peraturan

ini, bidang kuasa yang diguna pakai dalam pelaksanaan

peraturan ini adalah kuasa Senat. Kuasa Dekan dan Pendaftar

dinyatakan dengan khusus dalam klausa-klausa tertentu

peraturan ini.

1.5 Tertakluk pada Perkara 1.1, pengecualian ke atas mana-mana

perkara atau bahagian Peraturan Akademik ini adalah kuasa

mutlak Senat.

Page 2: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

2. TAKRIF

“Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan

bagi sesuatu kursus.

“Antarsesi” ialah satu tempoh pengajian yang diadakan dalam masa

cuti akhir tahun akademik.

“Dekan” ialah ketua Fakulti yang dilantik oleh Naib Canselor.

“Dewan Peperiksaan” ialah mana-mana tempat/ruang yang

digunakan untuk tujuan peperiksaan.

“Fakulti” ialah entity akademik yang menawarkan program pengajian

di universiti termasuk mana-mana pusat atau institute universiti yang

menawarkan program akademik.

“Gagal Kursus” ialah tidak mencapai gred minimum sesuatu kursus

yang ditetapkan oleh Universiti.

“Hukuman Akademik” ialah hukuman yang dikenakan ke atas

pelajar oleh Jawatankuasa Tatatertib (Akademik) bagi kesalahan

akademik.

“Jam Pembelajaran” ialah jumlah masa pembelajaran yang

diperlukan untuk memenuhi keperluan kredit.

“Jawatankuasa Akademik Fakulti” ialah Jawatankuasa yang

dipengerusikan oleh Dekan dan dianggotai oleh Timbalan Dekan, Ketua

Jabatan, Penyelaras Program, Pensyarah serta Penolong Pendaftar

sebagai Urusetia/Setiausaha. Jawatankuasa ini akan membincangkan

isu-isu berkaitan hal ehwal akademik fakulti.

“Jawatankuasa Pemeriksa Fakulti” ialah Jawatankuasa yang

dipengerusikan oleh Dekan dan dianggotai oleh Timbalan Dekan, Ketua

Jabatan, Penyelaras Program, Pensyarah serta Penolong Pendaftar

sebagai Urusetia/Setiausaha untuk mengesahkan keputusan penilaian

pelajar, membuat pindaan keputusan sekiranya perlu dan menentukan

pelajar yang layak bergraduat.

“Jawatankuasa Rayuan Pelajar” ialah Jawatankuasa yang

dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan

Antarabangsa) bagi mempertimbang dan meneliti kes rayuan pelajar

bagi meneruskan pengajian setelah mendapat keputusan Gagal dan

Diberhentikan (GB) bagi sesuatu semester.

Page 3: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

“Jawatankuasa Tatatertib (Akademik)” ialah Jawatankuasa yang

dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan

Antarabangsa) dan dianggatoi oleh Dekan-Dekan. Jawatankuasa ini

membicarakan kes-kes pelajar yang melanggar peraturan akademik.

“Kepujian Dekan” ialah pengiktirafan yang diberikan oleh Fakulti

kepada pelajar yang mencapai kecemerlangan akademik bagi sesuatu

semester dan memperolehi PNG 3.5 dan ke atas dan telah mengambil

minimum 12 kredit kursus bergred.

“Kerja Kursus” ialah pembelajaran yang boleh merangkumi dan tidak

terhad kepada projek, laporan amali, praktikum, tugasan, kuiz, ujian

lisan dan kerja lapangan bagi sesuatu kursus.

“Kesalahan Akademik” ialah apa-apa pelanggaran terhadap

peraturan akademik Universiti Malaysia Sarawak.

“Ketua Jabatan” ialah pegawai akademik yang dilantik oleh Naib

Canselor untuk mengetuai sesebuah jabatan di Fakulti.

“Kredit” ialah nilai yang diberi kepada sesuatu kursus untuk

melambangkan beban pembelajaran kursus berkenaan.

“Kuliah” ialah kelas pembelajaran sesuatu kursus.

“Kursus” ialah mata pelajaran yang ditawarkan oleh setiap program

dan mempunyai kod yang khusus.

“Kursus Audit” ialah kursus yang diberi kepada pelajar yang

mendaftar dan mengikuti kursus serta mengambil penilaian kursus

berkenaan tetapi tidak diberi gred.

“Kursus Elektif Universiti” ialah kursus yang diambil sama ada

daripada program lain di dalam atau di luar Fakulti.

“Kursus Pembangunan Generik” ialah kursus sepunya Universiti

bertujuan membangun minda, sikap dan sahsiah pelajar.

“Kursus Pengukuhan” ialah kursus asas yang membantu

meningkatkan pemahaman dan penguasaan pelajar dalam sesuatu

bidang.

“Kursus Teras” ialah kursus yang wajib diambil oleh pelajar bagi

sesuatu program.

“Lulus Kursus” ialah pencapaian gred minimum sesuatu kursus yang

ditetapkan oleh Universiti.

Page 4: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

“Menipu” ialah menipu atau cuba untuk menipu atau berkelakuan

mengikut cara yang boleh ditafsirkan sebagai menipu, atau cuba untuk

menipu dalam sesuatu peperiksaan, semasa peperiksaan itu sedang

dijalankan.

“Pelajar Aktif” ialah pelajar yang telah menyempurnakan pendaftaran

pelajar dan pendaftaran kursus untuk semester berkenaan.

“Pelajar Semasa” ialah pelajar yang telah melalui sekurang-

kurangnya satu semester pengajian di Universiti.

“Pelajar Tidak Aktif” ialah pelajar yang tidak menyempurnakan

pendaftaran pelajar dan pendaftaran kursus.

“Pelajar” ialah seseorang yang telah menyempurnakan pendaftaran

pelajar di Universiti.

“Pindah Gred” ialah gred kursus yang telah mendapat kelulusan

Fakulti untuk diambil kira dalam pengiraan PNGK.

“Pindah Kredit” ialah jumlah kredit dari institusi lain yang telah

mendapat kelulusan Fakulti dan diambil kira untuk tujuan bergraduat.

“Penangguhan Pengajian” ialah tempoh sementara pelajar

dibenarkan untuk tidak mengikut pengajian.

“Pendaftaran Kursus” adalah proses pelajar mendaftar kursus

tertentu dalam sesuatu program dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pendaftaran Pelajar” adalah proses pelajar mendaftar program dan

semester serta menjelaskan yuran pengajian dalam tempoh yang

ditetapkan.

“Penilaian Berterusan” ialah penilaian pembelajaran yang

dijalankan sepanjang kursus dan merangkumi pelbagai jenis kerja

kursus serta peperiksaan akhir.

“Penilaian” ialah sesuatu mekanisme untuk mengukur pencapaian

akademik seseorang pelajar.

“Penyelaras Program” ialah pegawai akademik yang dilantik oleh

Naib Canselor untuk menyelaras sesuatu program pengajian.

“Peperiksaan” ialah apa-apa cara atau kaedah penilaian yang

menyebabkan markah atau gred diberikan bagi sesuatu kursus atau

sebahagian daripada kursus tertentu.

Page 5: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

“Plagiat” ialah menciplak idea, kalimat atau maklumat tanpa

mengiktiraf penulis asal dan mengakuinya sebagai hasil kerjanya

sendiri.

“PNG” (Purata Nilai Gred) ialah ukuran pencapaian akademik

seseorang pelajar dalam sesuatu semester.

“PNGK” (Purata Nilai Gred Kumulatif) ialah ukuran pencapaian

akademik seseorang pelajar bagi keseluruhan semester yang telah

disempurnakan.

“Program” ialah bidang pengajian peringkat ijazah yang ditawarkan

oleh Fakulti.

“Semester” ialah satu tempoh pengajian (lazimnya 17 minggu) yang

ditetapkan oleh Senat untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

“Senat” ialah badan akademik tertinggi Universiti yang mengawal dan

bertanggungjawab ke atas arahan am mengenai pengajaran,

penyelidikan dan peperiksaan dan penetapan serta pengurniaan ijazah,

diploma, sijil dan kepujian akademik lain.

“Sesi Akademik” ialah tempoh pengajian bagi dua semester dan satu

antarsesi dan dikenali sebagai Tahun Akademik Universiti.

“SPP” ialah singkatan bagi Sistem Pengurusan Pelajar. Sistem

berkomputer “real-time” ini adalah sistem digital yang menyimpan

semua maklumat dan data bagi semua pelajar prasiswazah yang sedang

dan telah menuntut di Universiti.

“Tawaran Semula/Clean Slate” ialah peluang kedua (sekali sahaja

dalam satu-satu tempoh pengajian) yang diberikan kepada pelajar

untuk memulakan pengajian dalam program yang sama atau berbeza

dengan memansuhkan keputusan/rekod akademik yang terdahulu.

“TNC (Akademik dan Antarabangsa)” ialah pegawai utama

Universiti yang membantu Naib Canselor dalam hal ehwal akademik.

“Tutorial” ialah sesi perbincangan yang diadakan di antara pelajar dan

tutor/pensyarah/fasilitator.

“Universiti” ialah Universiti Malaysia Sarawak.

“Yuran” ialah bayaran yang ditetapkan oleh Universiti bagi tujuan

tertentu.

Page 6: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

3. SESI AKADEMIK

3.1 Sesi Akademik Universiti dibahagikan kepada dua semester (17

minggu setiap semester) dan antarsesi (8 minggu).

3.2 Sesi Akademik bagi Program Perubatan dibahagikan kepada

sistem blok dan penempatan di hospital. Sesi tahunan Fakulti

Perubatan dan Sains Kesihatan mempunyai tiga blok akademik.

4. PENDAFTARAN PELAJAR

4.1 Pendaftaran Pelajar Baru

Semua calon pelajar hendaklah mendaftar sebagai pelajar dalam

program yang ditawarkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Tawaran dianggap terbatal jika calon pelajar gagal berbuat

demikian tanpa alasan yang boleh diterima oleh Universiti.

4.2 Pendaftaran Pelajar Semasa

4.2.1 Pelajar Semasa hendaklah mendaftar untuk pengajian

setiap semester/antarsesi pada/sebelum tarikh yang telah

ditetapkan oleh Universiti. Pelajar yang gagal

menyempurnakan pendaftaran tanpa alasan yang

munasabah akan digantung pengajian.

Tatacara pendaftaran adalah seperti di Lampiran 1.

4.2.2 Pelajar yang tidak menepati kredit minimum yang

ditetapkan (rujuk perkara 4.3.3) akan dibatalkan

pendaftaran dan diberi status Penangguhan

Pengajian.

4.2.3 Pelajar yang telah menangguh/digantung pengajian

hendaklah membuat pendaftaran pada semester

berikutnya setelah tamat tempoh

penangguhan/penggantungan tersebut.

4.2.4

Pendaftaran pelajar dianggap sempurna setelah pelajar

menjelaskan semua yuran semasa dan segala hutang

dengan Universiti bagi semester sebelumnya.

4.2.5 Permohonan mendapatkan salinan surat tawaran

hendaklah disertakan dengan resit bayaran RM5.00.

Page 7: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

4.3 Pendaftaran Antarsesi

Pelajar Semasa hendaklah mendaftar program pada tarikh yang

ditetapkan oleh Universiti.

Tatacara pendaftaran adalah seperti di Lampiran 1.

4.4 Pendaftaran Kursus

4.4.1 Pelajar mesti dan bertanggungjawab sepenuhnya

untuk mendaftar kursus yang diambil pada setiap

semester melalui Sistem Pengurusan Pelajar (SPP).

Pelajar bertanggungjawab sepenuhnya untuk mencetak

dan memastikan ketepatan kursus yang didaftarkan

pada slip pendaftaran kursus sementara. Sekiranya

terdapat kesilapan, pelajar hendaklah melaporkan

kepada Universiti sebelum atau pada minggu ketiga

(3) perkuliahan untuk pembetulan.

4.4.2 Kursus yang boleh didaftar hanyalah kursus yang

ditawarkan pada semester berkenaan sahaja.

Bagi Program Perubatan, kursus yang boleh didaftarkan

hanyalah kursus yang ditawarkan pada tahun yang

berkenaan sahaja.

4.4.3 Bagi pelajar Program Perubatan, bilangan kredit yang

didaftar adalah bergantung kepada blok atau

penempatan yang ditawarkan pada tahun berkenaan.

4.4.4 Pelajar dibenarkan mendaftar di antara 8 hingga 22

kredit pada setiap semester. Kredit maksimum bagi

pelajar yang mendapat status Lulus Bersyarat (LB)

ialah 12 kredit. Bagi pelajar yang mendapat PNGK 2.50

dan ke bawah, kredit maksimum yang dibenarkan ialah

15 kredit. Pendaftaran di luar julat ini (termasuk

pelajar yang memohon untuk mengambil lebih daripada

22 kredit) memerlukan kelulusan Jawatankuasa

Akademik Fakulti.

4.4.5 Pelajar dibenarkan menambah dan menggugur kursus

sehingga akhir minggu kedua (2). Gred tidak akan

diberikan sekiranya pelajar gagal mendaftar secara sah.

Pelajar yang gagal menggugurkan kursus secara sah

dalam tempoh yang dibenarkan akan diberikan gred F.

4.4.6 Pertukaran status kursus yang didaftarkan ke kursus

Audit (U) dan kursus Tambahan (KT) boleh dilakukan

sehingga minggu kedua (2) semester berkenaan.

Page 8: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

5. SISTEM KREDIT

5.1 Setiap kursus mempunyai nilai kredit berdasarkan kepada

kriteria yang ditetapkan oleh Senat.

5.2 Nilai kredit bagi setiap kursus lazimnya berasaskan jam

pembelajaran.

5.3 Kredit untuk satu kursus bermaksud jumlah jam pembelajaran

yang perlu diadakan dalam masa satu minggu termasuk tutorial

atau kuliah atau kerja makmal.

6. PINDAH KREDIT

6.1 Atas kelulusan Fakulti, pelajar boleh memohon pemindahan

kredit ke program sekiranya dapat membuktikan bahawa beliau:

(a) telah lulus sekurang-kurangnya Gred B dari institusi lain

yang diiktiraf dan diperakui setara oleh Fakulti;

Bagi Program Kejururawatan, kursus-kursus yang boleh

dipindah kredit telah ditetapkan oleh Fakulti. Walau

bagaimanapun, kursus lain yang tiada dalam

senarai boleh dipohon untuk pemindahan kredit tertakluk

kepada kelulusan Fakulti.

dan/atau

(b) mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang

diiktiraf dan diperakui setara oleh Fakulti;

(c) Perkara 6.1 (a) dan 6.1 (b) di atas hendaklah diperolehi

dalam masa lima tahun yang lepas.

6.2 Kredit yang dipindahkan diambil kira untuk bergraduat tetapi

tidak digunakan dalam pengiraan PNG dan PNGK.

6.3 Jumlah kredit yang dipindahkan bagi pelajar lepasan Diploma

atau setara tidak melebihi 30% daripada jumlah kredit yang

disyaratkan bagi program berkenaan.

6.4 Bagi Program Perubatan, pelajar perlu mendapatkan kelulusan

pemindahan kredit daripada badan professional berkaitan.

Page 9: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

7. PINDAH GRED

7.1 Pindah Gred diguna pakai apabila pelajar bertukar program

pengajian di Universiti. Pindah Gred boleh dilakukan untuk

semua kursus tertakluk kepada kelulusan Fakulti.

7.2 Kursus (serta gred) yang dipindahkan diambil kira dalam

pengiraan PNG dan PNGK.

7.3 Pindah Gred untuk Kursus Teras dalam Fakulti/Program yang

sama hendaklah mengambil kira kesetaraan kursus.

7.4 Pelajar perlu membuat permohonan untuk pemindahan gred

kepada Fakulti yang berkenaan.

Pemindahan gred untuk Kursus Elektif Universiti hanya akan

diambil kira jika kursus tersebut merupakan Kursus Elektif

Fakulti.

8. JUMLAH KREDIT BAGI PROGRAM

8.1 Pelajar dikehendaki mengikuti minimum seratus dua puluh

(120) kredit. Bagi Ijazah Doktor Perubatan jumlah

minimumnya ialah dua ratus dua puluh (220) kredit. Walau

bagaimanapun, Senat berhak menetapkan jumlah kredit

minimum yang berbeza berdasarkan pada keperluan tertentu.

8.2 Jumlah kredit dalam Perkara 8.1 hendaklah diambil daripada

kelompok kursus seperti berikut tertakluk kepada ketetapan

yang terkandung dalam Panduan Standard Program

Peringkat Sarjana Muda Bil. 1 terbitan Bahagian Jaminan

Kualiti, Jabatan Pendidikan Tinggi , Kementerian

Pendidikan Tinggi Malaysia, September 2003:

8.2.1 Kursus Teras (50% - 85%);

8.2.2 Kursus Elektif Universiti (5%-30%); dan

8.2.3 Kursus Pembangunan Generik dan Ko-kurikulum

(5%-25%).

(Keperluan kursus-kursus profesional adalah berdasarkan syarat

yang ditetapkan oleh badan profesional berkaitan)

Page 10: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

8.3 Kursus Pengukuhan

Setiap pelajar hendaklah mempunyai kemahiran Bahasa Inggeris

(MUET atau yang setaraf dengannya) dan kemahiran ICT

(Teknologi Maklumat dan Komunikasi) yang ditetapkan oleh

Universiti. Bagi pelajar-pelajar yang tidak mencapai tahap

berkenaan, mereka diwajibkan mengikuti Kursus Pengukuhan

yang ditetapkan oleh Senat bagi melayakkan mereka mengikuti

kursus yang seterusnya dalam Kursus Generik. Keputusan yang

diberikan hanya Lulus/Gagal sahaja.

8.4 Pelajar boleh mengambil Kursus Tambahan (KT) kepada jumlah

kredit seperti di perkara 8.1 dan wajib lulus kursus-kursus

berkenaan.

9. TEMPOH PENGAJIAN

9.1 Tempoh pengajian adalah 6 hingga 12 semester atau 8 hingga 14

semester bagi Ijazah Sarjana Muda dan 5 hingga 7 tahun

akademik bagi Ijazah Doktor Perubatan.

9.2 Permohonan untuk melanjutkan tempoh pengajian melebihi

tempoh maksimum seperti dalam Perkara 9.1 adalah tertakluk

kepada kelulusan Senat.

9.3 Bagi kes pelajar Gagal dan Diberhentikan (GB) yang

diluluskan oleh Senat untuk meneruskan pengajian, tempoh

pengajian masih mengambil kira tahun masuk bagi seseorang

pelajar.

10. SISTEM PENILAIAN

10.1 Kaedah Penilaian

10.1.1 Penilaian kursus lazimnya dibuat secara berterusan

melalui penilaian (bertulis/lisan), tugasan dan lain-

lain bentuk kerja kursus.

10.1.2 Pelajar akan dihalang dari menduduki peperiksaan

akhir sekiranya:

(a) didapati masih berhutang yuran pengajian

dengan Universiti;

(b) kehadiran ke kuliah kurang daripada 80%.

Page 11: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

10.1.3 Peperiksaan pertengahan semester (sekiranya ada)

diadakan pada minggu ke-7 atau ke-8. Peperiksaan

akhir semester diadakan pada penghujung semester.

10.1.4 Peperiksaan pertengahan semester membawa markah

sebanyak 20%-30%, peperiksaan akhir semester 30%-

50%, kerja kursus 20%-50%. Peperiksaan akhir

semester boleh bersifat komprehensif ATAU tertumpu

kepada sebahagian daripada kandungan kursus atau

tertumpu kepada bahagian kursus yang tidak dinilai

sebelumnya.

10.1.5 Untuk kursus berbentuk hasil karya cipta/praktikum,

markah maksimum bagi penilaian kerja kursus ialah

70%.

10.1.6 Penilaian kursus berdasarkan markah maksimum

bagi kerja kursus dan ujian di luar julat di Perkara

10.1.4 boleh dilaksanakan tertakluk kepada kelulusan

Senat.

10.2 Klasifikasi Gred

10.2.1 Penilaian kursus tanpa gred boleh diberi simbol

seperti berikut:

L/G (Lulus/Gagal)

Diberikan bagi kursus tertentu yang keputusannya

tidak digredkan tetapi hanya catatan Lulus atau

Gagal sahaja. Kredit diambil kira untuk tujuan

bergraduat kecuali kredit bagi Kursus Pengukuhan.

TL (Tidak Lengkap)

Diberikan dengan kelulusan Fakulti kepada pelajar

yang telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 70%

daripada keperluan kursus kerana alasan

munasabah. Pelajar perlu melengkapkan keperluan

sepenuhnya selewat-lewatnya pada minggu

keempat (4) selepas berakhirnya semester tersebut

untuk mendapat penilaian penuh dan gred.

SM (Sedang Maju)

Digunakan bagi sesuatu kursus yang telah

dirancangkan melebihi satu semester untuk

dilengkapkan. Pelajar tidak perlu mendaftar

semula kursus berstatus SM pada semester yang

Page 12: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

berikutnya. Walau bagaimanapun, pelajar yang

menangguh atau digantung pengajian perlu

mendaftar semula semua kursus yang bertaraf

SM. Kredit dan nilai gred bagi kursus ini hanya

diambil kira apabila gred sebenar diberikan. Bagi

Latihan Industri gred hanya akan dikeluarkan

selepas mendapat laporan daripada pihak industri.

PK (Pindah Kredit)

Simbol ini dicatat dalam transkrip pelajar bagi

senarai kursus yang mendapat kelulusan

pemindahan kredit daripada Dekan Fakulti.

U (Audit)

Diberi kepada pelajar yang mendaftar dan mengikuti

kursus serta mengambil penilaian bagi kursus

berkenaan tetapi tidak diberik gred. Simbol U akan

direkod jika pelajar lulus kursus. Pelajar yang tidak

memenuhi keperluan kursus, tidak mendapat apa-

apa catatan. Pendaftaran atau pertukaran status ke

kursus Audit hendaklah dilakukan selewat-lewatnya

sehingga minggu kedua (2) semester.

KK (Kes Gangguan Kesihatan)

Diberi kepada pelajar yang terhenti pengajiannya

bagi sesuatu semester aas sebab kes gangguan

kesihatan berasaskan laporan perubatan yang

diiktiraf oleh Universiti.

TD (Tarik Diri)

Diberi kepada pelajar yang telah diluluskan untuk

berhenti secara sukarela daripada meneruskan

pengajian di UNIMAS.

KT (Kursus Tambahan)

Diberi kepada kursus yang diikuti oleh pelajar

sebagai tambahan kepada kursus yang diwajibkan.

Pelajar mengikuti dan mengambil penilaian bagi

kursus berkenaan. Nilai Gred bagi kursus ini akan

diambil kira dalam pengiraan PNG dan PNGK tetapi

bilangan kredit kursus tambahan tidak diambil kira

bagi maksud pengijazahan. Pendaftaran atau

pertukaran status ke Kursus Tambahan hendaklah

dilakukan selewat-lewatnya pada minggu kedua (2)

sesuatu semester.

Page 13: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

R1 (Kursus Ulangan)

Simbol ini dicatat dalam slip keputusan semester

bagi kursus yang telah diulang selepas diambil tetapi

gagal. Hanya kredit dan nilai gred terkini kursus

yang diulangi akan diambil kira dalam pengiraan

PNG dan PNGK. Angka 1, 2 dan 3 menunjukkan

berapa kali kursus berkenaan telah diulang.

KB1 (Kursus Baiki)

Simbol ini dicatatkan bagi kursus yang diambil untuk

memperbaiki gred bagi kursus yang pernah diambil

sebelumnya. Gred terbaik akan diambil kira untuk

pengiraan PNG dan PNGK. Angka 1,2 dan 3

menunjukkan berapa kali kursus berkenaan telah

dibaiki.

PG (Pindah Gred)

Simbol ini dicatat dalam slip/transkrip pelajar bagi

senarai kursus yang telah diluluskan pemindahan

gred.

10.2.2 Gred dan nilai gred yang diberi bagi sesuatu kursus

adalah seperti dalam jadual berikut:

Gred Julat

Markah

Nilai

Gred

Taraf Pencapaian

Kursus Teras/Generik/

Elektif

A 80-100 4.00 Lulus Cemerlang

A- 75-79 3.67

B+ 70-74 3.33 Lulus Kepujian

B 65-69 3.00

B- 60-64 2.67

Lulus Baik C+ 55-59 2.33

C 50-54 2.00

C- 45-49 1.50

Gagal D 40-44 1.00

F < 40 0.00

• Bagi tujuan penggunaan sistem gred di

atas, penentuan gred adalah

berdasarkan kepada lengkuk piawai

taburan gred.

• Bagi Program Perubatan, sistem gred

adalah berpandukan buku peraturan

penilaian program tersebut.

Page 14: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

10.3 Keputusan Penilaian

10.3.1 Pencapaian seseorang pelajar bagi sesuatu semester

ditunjukkan dengan Purata Nilai Gred (PNG).

Pencapaian keseluruhan pelajar dalam sesuatu

program ditunjukkan dengan Purata Nilai Gred

Kumulatif (PNGK). Kaedah pengiraan PNG dan

PNGK adalah seperti berikut:

Purata Nilai Gred (PNG)

Jumlah Nilai Gred dalam

sesuatu semester______________

PNG = Jumlah Kredit semua kursus

untuk semester tersebut

di mana:

Jumlah Nilai Gred =

Nilai Gred x Jam Kredit Kursus

Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK)

Jumlah Semua Nilai Gred yang

diperolehi hingga kini__________

PNGK = Jumlah Semua Kredit yang

diambil hingga kini

Contoh pengiraan PNG dan PNGK adalah

seperti di Lampiran 2.

10.3.2 Semua kursus diambil kira dalam pengiraan PNG

dan PNGK kecuali kursus yang tidak diberi gred.

10.3.3 Gred dan nilai gred muktamad bagi setiap kursus

pada setiap semester yang diperolehi oleh seseorang

pelajar akan dicatat dalam rekod akademiknya.

Pelajar yang mendapat PNG 3.50 dan ke atas untuk

satu-satu semester dengan mengambil minimum 12

kredit dan bergred layak dianugerahkan Sijil

Kepujian Dekan.

Page 15: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

10.4 Penilaian Ulangan Khas

10.4.1 Penilaian Ulangan Khas bagi sesuatu kursus yang

diambil pada semester terakhir pengajian boleh

diberikan kepada pelajar yang memerlukan kurang

daripada 8 kredit untuk tujuan bergraduat.

10.4.2 Pelajar yang layak hendaklah mengemukakan

permohonan kepada Dekan Fakulti yang menawarkan

kursus berkenaan dengan menyertakan bayaran

yuran per kredit yang ditetapkan.

10.4.3 Permohonan pelajar untuk menduduki penilaian

ulangan khas adalah tertakluk kepada kelulusan

Dekan Fakulti.

10.4.4 Penilaian Ulangan Khas mesti diadakan dalam masa

dua (2) minggu selepas mesyuarat Jawatankuasa

Pemeriksa Fakulti berkenaan.

10.4.5 Silabus untuk Penilaian Ulangan Khas adalah

komprehensif, meliputi topik yang diajar dari awal

hingga akhir semester.

10.4.6 Penilaian Ulangan Khas yang berbentuk peperiksaan

secara komprehensif sahaja dibenarkan dan

pemarkahan diambil berdasarkan gred maksimum

iaitu C.

10.5 Penangguhan Penilaian

10.5.1 Pelajar yang sakit atau menghadapi masalah lain

sewaktu penilaian diadakan, boleh memohon kepada

Fakulti untuk menangguhkannya. Permohonan

tersebut hendaklah dibuat tidak lewat dari 48 jam

selepas penilaian itu diadakan.

10.5.2 Permohonan untuk menangguhkan penilaian atas

sebab kesihatan hendaklah disertakan dengan sijil

perubatan daripada Doktor Kerajaan, Pegawai

Perubatan Universiti atau Doktor Panel Universiti

sahaja. Mana-mana perakuan lain yang bukan Doktor

Panel Universiti mestilah diperaku oleh Doktor Panel

Universiti. Permohonan atas sebab lain boleh

dipertimbangkan atas budi bicara Fakulti. Penilaian

gantian boleh diatur berdasarkan kepada merit kes-

kes tertentu.

Page 16: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

10.6 Rayuan Menyemak Semula Keputusan Penilaian Kursus

10.6.1 Rayuan untuk menyemak semula keputusan

penilaian sesuatu kursus hendaklah dikemukakan

kepada Dekan Fakulti berkenaan selepas keputusan

sementara dikeluarkan oleh pihak Fakulti dengan

mengemukakan resit bayaran berjumlah RM30.00

(tidak akan dikembalikan) per kursus.

10.6.2 Keputusan penilaian semula hendaklah disahkan oleh

Jawatankuasa Pemeriksa Fakulti dan Jawatankuasa

Perancangan dan Pembangunan Akademik (JPPA)

sebelum dikemukakan untuk kelulusan Senat.

10.6.3 Setiap keputusan yang dibuat berpandukan kaedah

ini adalah muktamad dan tiada rayuan akan

dilayan selepas pengesahan Senat.

10.7 Pengumuman Keputusan Semester

10.7.1 Keputusan pencapaian akademik pelajar bagi setiap

semester akan diumumkan dalam tempoh yang

ditetapkan oleh Universiti.

10.7.2 Slip keputusan penilaian akan diedar kepada pelajar

melalui Fakulti masing-masing. Bagi pelajar tahun

akhir yang telah diluluskan oleh Senat untuk layak

bergraduat (tertakluk kepada penjelasan hutang

dengan Universiti), slip keputusan penilaian

berkenaan akan dihantar ke alamat terkini yang

terdapat dalam pangkalan data SPP Universiti.

10.7.3 Pelajar adalah bertanggungjawab untuk

memaklumkan kepada Universiti dari semasa ke

semasa sebarang perubahan maklumat peribadi

pelajar bagi tujuan pengemaskinian data dan rekod

dengan mengemaskinikan sendiri maklumat tersebut

dalam Anjung UNIMAS (alamat sementara, email

dan nombor telefon).

10.7.4 Permohonan cetakan semula slip keputusan penilaian

boleh dibuat dengan rasmi kepada pihak Universiti

dengan mengemukakan resit bayaran berjumlah

RM5.00/slip.

Page 17: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

11. STATUS AKADEMIK PELAJAR

11.1 Kelayakan Meneruskan Pengajian

Keputusan penilaian semester (kecuali bagi Program

Perubatan yang berdasarkan keputusan akhir tahun) akan

menentukan kelayakan seseorang pelajar untuk meneruskan

pengajian. Seseorang pelajar boleh diberi status Lulus, Lulus

Mengulang Kursus (LMK), Lulus Bersyarat (LB) dan

Gagal dan Diberhentikan (GB).

11.1.1 Lulus (L)

Pelajar diberi status Lulus dan dibenar meneruskan

pengajian jika mendapat PNGK 2.00 atau lebih

kecuali bagi Program Perubatan yang mempunyai

syarat-syarat tambahan seperti yang telah ditetapkan

di Fakulti berkenaan.

11.1.2 Lulus Mengulang Kursus (LMK)

Pelajar diberi status Lulus Mengulang Kursus jika

mendapat PNGK 2.00 atau lebih tetapi Gagal

dalam sesuatu kursus dan perlu mengulang semula

kursus berkenaan.

11.1.3 Lulus Bersyarat (LB)

Pelajar diberi status Lulus Bersyarat jika mendapat

PNGK di antara 1.75 dan 1.99. Pelajar sedemikian

akan diberi amaran supaya meningkatkan PNG dan

PNGKnya ke paras 2.00 atau lebih pada semester

berikutnya.

11.1.4 Gagal dan Diberhentikan (GB)

Pelajar diberi status Gagal dan Diberhentikan

(GB) jika:

(a) Mendapat PNGK kurang dari 1.75 pada

sesuatu semester; atau

(b) Gagal meningkatkan PNGK ke paras 2.00

atau lebih setelah mendapat taraf Lulus

Bersyarat pada semester sebelumnya; atau

(c) Gagal meningkatkan PNGK ke paras 2.00

atau lebih setelah mendapat status Gagal

dan Diberhentikan (GB) pada semester

sebelumnya dan dibenar untuk meneruskan

semula pengajian; atau

Page 18: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

(d) Mengulang Kursus Teras sebanyak 3 kali

tetapi masih gagal; atau

(e) Bagi Program Perubatan, mengulang tahun

pengajian selama 2 kali berturut-turut

tetapi masih gagal.

11.1.5 Gagal dan Mengulang Tahun (Program

Perubatan sahaja)

Pelajar yang gagal lebih daripada dua blok/dua

penempatan pengajian dalam satu tahun pengajian

perlu mengulang tahun pengajian kecuali Tahun

Satu. (Rujuk Buku Panduan Akademik Program

Perubatan)

11.2 Meneruskan Pengajian setelah mendapat status Gagal

dan Diberhentikan (GB)

Pelajar yang diberikan status Gagal dan Diberhentikan dan

telah diluluskan untuk meneruskan pengajian adalah tertakluk

kepada perkara berikut:

11.2.1 Tawaran Semula (Clean Slate) untuk Pelajar

Tahun 1

Pelajar tahun 1 akan ditawarkan semula secara clean

slate. Pelajar yang telah lulus dalam kursus

pengukuhan boleh memohon melalui Dekan Fakulti

masing-masing untuk memindahkan gred.

11.2.2 Tawaran lain (Bukan Clean Slate) untuk Pelajar

Bukan Tahun 1

(a) Meneruskan Pengajian dalam Program

yang Sama

Pelajar akan meneruskan pengajian dengan

menyambung pengajian ke semester yang

seterusnya berdasarkan PNGK yang terkini

sebelum status GB. Kesemua kursus yang

telah diambil dan lulus boleh diambil kira

kecuali bagi kursus yang gagal, pelajar

hendaklah mengambil semula kursus

tersebut.

Page 19: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

(b) Meneruskan Pengajian Bukan Dalam

Program yang Sama

Pelajar akan meneruskan pengajian dengan

menyambung pengajian ke semester yang

seterusnya. Pelajar boleh memohon untuk

memindahkan gred bagi kursus Pelengkap,

Generik dan Pengukuhan yang lulus sahaja

ke semester yang seterusnya.

11.3 Mengulang Untuk Menebus Kursus Gagal

11.3.1 Pelajar yang gagal dalam sesuatu kursus hendaklah

mengulang kursus tersebut sehingga lulus.

11.3.2 Menebus dengan kursus lain di bawah kategori yang

sama sekiranya kursus tersebut tidak ditawarkan

lagi.

11.3.3 Kursus Teras boleh diulang sebanyak 3 kali

sahaja. Pelajar yang masih gagal kursus teras setelah

mengulang sebanyak 3 kali akan diberi status Gagal

dan Diberhentikan (GB).

Kursus Elektif yang gagal boleh diulang atau diganti

dengan mana-mana kursus elektif lain dan kredit

kursus yang gagal diambil kira dalam pengiraan

PNGK.

11.3.4 Bagi setiap kursus yang diulang, hanya gred yang

terkini diambil kira dalam pengiraan PNG dan

PNGK. Gred lain dicatat sebagai rekod sahaja.

11.3.5 Pelajar perlu membayar yuran bagi setiap kali kursus

diulang atau diganti.

11.3.6 Yuran Kursus Ulangan tidak akan dikembalikan

sekiranya pelajar menggugurkan kursus tersebut

selepas minggu housekeeping (minggu ketiga

perkuliahan).

11.4 Mengulang Untuk Memperbaiki Gred/PNGK

11.4.1 Pelajar boleh mengulang sesuatu kursus yang telah

lulus untuk memperbaiki gred kursus berkenaan,

tertakluk kepada kelulusan Fakulti.

Page 20: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

11.4.2 Pelajar boleh mengulang semula sehingga mendapat

gred yang memuaskan dalam tempoh maksimum

pengajian yang ditetapkan.

11.4.3 Gred yang terbaik diambil kira dalam pengiraan

PNG/PNGK.

11.4.4 Pelajar perlu membayar yuran bagi setiap kali kursus

diulang/dibaiki.

11.4.5 Yuran Kursus Baiki tidak akan dikembalikan

sekiranya pelajar menggugurkan kursus tersebut

selepas minggu housekeeping (minggu ketiga

perkuliahan).

12. ETIKA AKADEMIK

12.1 Pelajar yang meniru hasil kerja orang lain atau tidak

mengiktiraf kerja orang lain (plagiat) untuk tujuan tugasan

atau ujian akan dikenakan tindakan tatatertib.

12.2 Pelajar juga tidak dibenarkan bersubahat dalam peniruan atau

penipuan yang dinyatakan dalam Perkara 12.1.

12.3 Pelajar perlu mematuhi Peraturan Kecil Penilaian Fakulti yang

berkuat kuasa semasa.

12.4 Pelajar yang melanggar peraturan Universiti dan disabitkan

kesalahan oleh Jawatankuasa Tatatertib (Akademik) Universiti

boleh dikenakan hukuman berpandukan kepada Akta

Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Pindaan

2009).

12.4.1 Pelajar yang disabitkan kesalahan tatatertib tidak

layak mendapat Kepujian Dekan bagi semester

berkenaan walaupun telah memenuhi syarat-syarat

yang dinyatakan pada Perkara 10.3.3.

13. PENANGGUHAN PENGAJIAN

13.1 Pelajar berdaftar boleh memohon untuk menangguhkan

pengajian dengan kelulusan Dekan sebelum penghujung

minggu kedua (2) sesuatu semester. Penangguhan pengajian

pelajar mengikut semester boleh dipohon berturut-turut bagi

satu sesi pengajian. Walau bagaimanapun, kelulusan untuk

pelajar menangguh pengajian adalah terhad kepada tiga kali

sahaja (3 semester) sepanjang tempoh pengajian.

Page 21: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

13.2 Permohonan penangguhan selepas minggu kedua (2)

pengajian dalam sesuatu semester tidak akan dipertimbangkan

kecuali yang melibatkan kes gangguan kesihatan dan masalah

yang terdesak sahaja.

13.2.1

Seseorang pelajar yang sakit untuk tempoh yang agak

lama boleh diberi penangguhan pengajian untuk

semester tertentu oleh Dekan Fakulti. Dalam kes

seperti ini perakuan daripada Doktor Perubatan

adalah diperlukan. Perakuan yang bukan daripada

Doktor Perubatan boleh dipertimbangkan dalam kes

tertentu selepas pelajar berkenaan menjalani

rawatan Doktor Perubatan terlebih dahulu. Dalam

kes sakit jiwa, kelulusan untuk mendaftar semula

adalah tertakluk kepada perakuan Doktor Perubatan

yang berkenaan.

13.2.2 Doktor Perubatan yang merawat pelajar berkenaan

mestilah terdiri daripada Doktor Kerajaan, Pakar

Perubatan Universiti, Doktor Universiti, Doktor

Panel Universiti atau doktor lain yang diiktiraf oleh

Universiti.

13.2.3 Seseorang pelajar yang menghadapi masalah selain

daripada Perkara 13.2.1 di atas boleh juga diberi

penangguhan pengajian untuk sesuatu semester

tertakluk kepada kelulusan Dekan Fakulti.

13.2.4 Tempoh penangguhan tidak diambil kira dalam

tempoh maksimum pengajian pelajar.

13.2.5 Pelajar yang telah diberi penangguhan pengajian

akan hilang tarafnya sebagai pelajar Universiti

selama tempoh penangguhan tersebut.

13.2.6 Bagi pelajar yang telah diluluskan menangguh

pengajian tetapi telah membuat pembayaran yuran

pengajian, yuran tersebut akan dibawa ke semester

berikutnya tertakluk kepada kadar di bawah;

Minggu

Perkuliahan

Kadar

Minggu 1 hingga 2 75%

Minggu 3 hingga 10 50%

Selepas minggu 10 0%

Page 22: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

14.

GANTUNG PENGAJIAN

14.1 Pelajar yang tidak mendaftar dan tidak memohon penangguhan

sebelum berakhirnya minggu kedua (2) akan digantung

pengajian pada semester berkenaan. Pelajar mesti mendaftar

semula pada semester berikutnya. Sekiranya pelajar gagal

mendaftar semula sebelum berakhir minggu kedua (2) dan

tidak memohon penangguhan pengajian pada semester

berikutnya, pelajar tersebut akan diberhentikan.

14.2 Tempoh gantung pengajian diambil kira dalam pengiraan

tempoh maksimum pengajian pelajar keseluruhannya.

15. PERTUKARAN PROGRAM PENGAJIAN/FAKULTI/UNIVERSITI

15.1 Pelajar yang telah mengesahkan pendaftaran dalam sesuatu

fakulti TIDAK DIBENARKAN bertukar program

pengajian/fakulti kecuali dengan syarat-syarat berikut;

(i) Pelajar telah menamatkan satu (1) semester pengajian.

(ii) Pelajar mendapat kelulusan program/fakulti yang

menerima dan mendapat pelepasan dari program/fakulti

asal (untuk kes pertukaran fakulti sahaia).

15.2 Kebenaran untuk bertukar program dalam Fakulti yang sama

dan penentuan semester untuk memulakan program baru yang

terlibat adalah tertakluk kepada kelulusan Dekan Fakulti.

15.3 Gred Penilaian kursus-kursus yang telah diikuti dalam program

sebelumnya akan lupus kecuali kursus yang diluluskan untuk

pemindahan gred oleh Fakulti penerima.

15.4 Pelajar yang telah mengesahkan pendaftaran dalam sesuatu

program di Universiti Malaysia Sarawak TIDAK

DIBENARKAN bertukar program ke universiti lain. Jika

pelajar ingin mendaftar di universiti lain, pelajar tersebut

hendaklah memohon untuk menarik diri daripada mengikuti

program pengajiannya dengan membuat permohonan bertulis

kepada Dekan Fakulti. Surat kelulusan menarik diri akan

dikeluarkan oleh Bahagian Pengajian Prasiswazah.

Page 23: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

16. RAYUAN MENERUSKAN PENGAJIAN

16.1 Pelajar yang diberi status Gagal dan Diberhentikan (GB)

bagi sesuatu semester boleh mengemukakan rayuan terhadap

keputusan tersebut.

16.2 Hanya pelajar yang berstatus GB kali pertama sahaja

dibenarkan untuk membuat rayuan meneruskan pengajian.

16.3 Setiap rayuan hendaklah dikemukakan kepada Timbalan Naib

Canselor (Akademik & Antarabangsa) dalam tempoh satu (1)

minggu selepas Senat meluluskan keputusan peperiksaan

semester berkenaan. Rayuan hendaklah disertakan dengan resit

bayaran mengikut kadar yang ditetapkan oleh Universiti.

16.4 Pelajar boleh mengemukakan surat sokongan daripada

Kaunselor yang berkelayakan/setaraf sebagai dokumen

sokongan rayuan.

17. MENARIK DIRI ATAU BERHENTI TANPA MUDARAT

17.1 Seseorang pelajar boleh menarik diri daripada mengikuti

program pengajiannya dengan membuat permohonan bertulis

kepada Dekan Fakulti. Surat kelulusan menarik diri akan

dikeluarkan oleh Bahagian Pengajian Prasiswazah.

17.2 Bagi pelajar yang telah diluluskan menarik diri daripada

pengajian tetapi telah membuat pembayaran yuran pengajian,

yuran tersebut dikembalikan tertakluk kepada kadar berikut;

Minggu Perkuliahan Kadar Dikembalikan

Minggu 1 hingga 2 75%

Minggu 3 hingga 10 50%

Selepas minggu 10 0%

Page 24: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

18. PENGANUGERAHAN IJAZAH

18.1 Seseorang pelajar mestilah memenuhi semua syarat berikut

untuk bergraduat dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda

dengan Kepujian:

(a) Lulus semua kursus yang disyaratkan bagi program

berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan;

(b) Mencapai PNGK sekurang-kurangnya 2.00;

(c) Mengumpul sekurang-kurangnya seratus dua

puluh (120) kredit atau sejumlah kredit lain yang

ditetapkan oleh Senat;

(d) Memenuhi semua kehendak Peraturan Akademik

Pengajian Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian;

(e) Diperakui supaya dianugerahkan Ijazah berkenaan oleh

Jawatankuasa Pemeriksa Fakulti serta disahkan oleh

Senat;

(f) Memenuhi syarat-syarat lain yang telah ditetapkan oleh

Senat;

(g) Syarat klasifikasi Penganugerahan Kepujian Ijazah

Sarjana Muda adalah atas pertimbangan Senat.

18.2 Permohonan mencetak semula sijil gantian boleh dibuat

dengan rasmi kepada Pendaftar Universiti Malaysia Sarawak

dengan mengemukakan:

(a) permohonan secara bertulis;

(b) dokumen asal laporan polis; dan

(c) resit bayaran/wang pos mengikut kadar yang ditetapkan

oleh Universiti.

18.3 Permohonan mencetak semula transkrip boleh dibuat

dengan rasmi kepada Pendaftar Universiti Malaysia Sarawak

dengan mengemukakan:

(a) permohonan secara bertulis;

(b) dokumen asal laporan polis; dan

(c) resit bayaran/wang pos mengikut kadar yang ditetapkan

oleh Universiti.

Page 25: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

19. YURAN

19.1 Pelajar dikehendaki membayar yuran pengajian yang telah

ditetapkan sepenuhnya sebelum atau pada waktu mendaftar.

19.2 Butiran yuran yang perlu dijelaskan oleh pelajar tempatan dan

pelajar antarabangsa adalah seperti di Lampiran 3 dan 4.

19.3 Pelajar yang mendaftar kursus Tambahan/Baiki/Ulangan/Audit

di samping kursus semasa akan dikenakan yuran berdasarkan

jumlah kredit yang diambil seperti berikut;

Kursus Tambahan/Kursus Audit/Yuran

per kredit

Sastera - RM40.00/kredit

Sains/Kejururawatan - RM50.00/kredit

Perubatan - RM70.00/kredit

Kursus Baiki/Ulangan

Sastera - RM30.00/kredit

Sains/Kejururawatan - RM40.00/kredit

Perubatan - RM60.00/kredit

19.4 Yuran berdasarkan kredit yang diambil juga akan dikenakan

kepada pelajar yang mengambil kurang daripada 12 kredit

pada semester akhir tahun akhir pengajian. Pengiraan

kredit ini adalah termasuk kredit bagi semua kursus yang

berstatus Sedang Maju (SM) dari semester sebelumnya.

Pelajar semester akhir tahun akhir pengajian perlu

menjelaskan keseluruhan yuran sebelum memohon kelulusan

bagi mendapatkan pembayaran yuran per kredit. Permohonan

hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada minggu ke-3

semester berkenaan. Kadar yuran berdasarkan jumlah kredit

adalah seperti di Perkara 19.3.

19.5 Pembayaran yuran untuk Kursus Baiki/Kursus

Ulangan/Kursus Tambahan/Kursus Audit hendaklah dibuat di

Unit Kewangan Pelajar sebelum pendaftaran kursus boleh

dibuat.

Page 26: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

Lampiran 1

Tatacara Pendaftaran Pelajar Semasa

Minggu

Perkuliahan

Peruntukan

1. Minggu

Pertama

Pelajar dikenakan bayaran pendaftaran

lewat.

2. Minggu ke-2

i. Pelajar perlu memohon kelulusan

secara bertulis kepada Dekan

Fakulti dan

ii. Pelajar dikenakan bayaran

pendaftaran lewat.

3. Minggu ke-3

dan seterusnya

Digantung pengajian (tanpa alasan

munasabah).

Tatacara Pendaftaran Antarsesi

Minggu Perkuliahan Peruntukan

1. Minggu Pertama

Dikenakan bayaran pendaftaran

lewat.

2. Minggu ke-2 dan

seterusnya

Pendaftaran tidak dibenarkan

sama sekali.

Page 27: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

Lampiran 2

Contoh Pengiraan Purata Nilai Gred (PNG) dan Purata Nilai

Gred Kumulatif (PNGK)

1. Pengiraan Purata Nilai Gred (PNG)

Semester 1

Kod

Kursus

Kredit Gred Nilai

Gred

Jumlah

Nilai

Gred

EBM1013 3 B+ 3.33 9.99

EBQ1013 3 B 3.00 9.00

EBF1013 3 A- 3.67 11.01

SSX0012 2 A 4.00 8.00

11 38.00

Purata Nilai Gred (PNG)

Jumlah nilai gred dalam sesuatu

semester__________________________

PNG = Jumlah kredit semua kursus untuk

semester berkenaan

38.00

= 11 = 3.45

Page 28: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

2. Pengiraan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK)

Semester 2

Kod

Kursus

Kredit Gred Nilai

Gred

Jumlah

Nilai

Gred

EBF1023 3 B 3.00 9.00

EBQ1023 3 B- 2.67 8.01

PBF1012 2 A 4.00 8.00

SSX0022 2 A 4.00 8.00

10 33.01

Jumlah Semua Nilai Gred yang

diperolehi hingga kini____________

PNGK = Jumlah Semua kredit yang diambil

hingga kini

38.00 + 33.01

= 11 +10

= 71.01

21

= 3.38

Page 29: 1. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM - archive.unimas.my file2. TAKRIF “Amali” ialah sesi pembelajaran di makmal/studio atau di lapangan bagi sesuatu kursus. “Antarsesi” ialah satu

Panduan Standard Program Peringkat Sarjana Muda Bil. 1

terbitan Bahagian Jaminan Kualiti, Jabatan Pengajian

Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, September

2003:

Bidang %

Teras

%

Elektif

%

Generik

Perniagaan dan

Pengurusan

50 – 60 40 – 60 -

Ekonomi 40 – 70 5 – 10 5 – 10

Teknologi Maklumat dan

Komunikasi

40 – 60 25 – 30 5 – 8

Kejuruteraan 70 – 85 2 – 7 15 – 25

Sains dan Perubatan 60 – 70 5 – 10 5 – 10

Sains Sosial 60 15 – 20 5 - 10

Peraturan Akademik

UNIMAS

50 – 85 5 – 30 5 - 25